Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia
bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah
dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.
Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana
asalmu?
Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya
berasal dari Kampung Seberang.
Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya
hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin
berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat
Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan
pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia
umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil
kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan
menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari,
Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”
Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ?
Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “
Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi
wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka
juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil
terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda
tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah
memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil
senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai
Abdullah?
Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak
Kiyai.
Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu
ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu ,
wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka
dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul
kan Abdullah?
Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada
mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan
mereka.
Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.
Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil
bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum
daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya.
Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya
meminumnya.
Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu
persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran
dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka
kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka
ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada
al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada
kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang
kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah?
Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan
al-Sunnah.
Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah
daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada
kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran
bukan?
Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami
ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami
ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin
didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap
ayat tersebut?
Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau
lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan?
Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan
al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma
bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah
tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang
lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan
berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah
ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki
keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira
kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam
menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya
tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu
sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee
menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu,
tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah
dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie
ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan
agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang
pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan
bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada
Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di
tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku
tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya
: “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik
juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan
ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam
ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui
segalanya.
Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang
sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara
saya .
Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang
yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.
Semoga bermanfaat..
Dipetik dari Facebook.
No comments:
Post a Comment