بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة
والسلام على سيدنا رسول الأمين وعلى أله وأصحابه أجمعين.
Sejak Negeri
Kelantan dilanda banjir besar yang menenggelam hampir keseluruhan daerah
baru-baru ini, bantuan dan pertolongan tidak putus-putus dihantar ke
daerah-daerah yang terjejas teruk di Kelantan khususnya Daerah Tumpat.
Bantuan
dihantar mencurah-curah samaada bantuan berbentuk barangan keperluan asas
mahupun tenaga dari pelbagai pihak termasuklah agensi-agensi kerajaan, pihak
swasta, ahli koperat, NGO serta individu persendirian yang dermawan bagi
meringankan beban mangsa banjir.
Selaku Ketua
Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih
kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam
membantu mangsa-mangsa banjir di Kawasan Tumpat. Sekecil manapun bantuan yang
dihulurkan semoga Allah Taala membalasnya dengan ganjaran yang setimpal. Sebagaimana firman Allah swt:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ
خَيْرًا يَرَهُ
Maka sesiapa
berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Zalzalah:8)
Tanpa
bantuan yang dihulurkan, mangsa banjir akan menghadapi kesukaran untuk
mendapatkan makanan dan keperluan asasi mereka kerana ada diantara rumah mereka
yang ditenggelami air, ada juga rumah mereka terkepung seperti pulau
menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan bekalan dan ada juga rumah mereka
hilang dihanyutkan air. Oleh yang demikian, dengan bantuan yang diberikan
kepada mangsa sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban yang
ditanggung mereka.
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ
كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ،
وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ،
وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ
الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقاً يَلْتَمِسُ
فِيْهِ عِلْماً، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طِرِيقاً إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ
قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ
بَيْنَهُمْ، إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ،
وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ
بِهِ عَمَلُهُ
لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ رَوَاهُ مُسْلِمٌ بِهذَا اللَّفْظِ
Daripada Abu
Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:
Barangsiapa
yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada
kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu
kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan
bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di
akhirat. Barangsiapa yang menutup ke’aiban seorang muslim, nescaya Allah akan
menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong
hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui
suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya
suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah
rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan
mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas
mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para
malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang
berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab
keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.
Kepada semua
mangsa banjir, diharapkan dapat bersabar dengan ujian Allah swt ini. Yakinlah
ada hikmah yang tersembunyi disebalik apa yang berlaku ini. Sekiranya kita
menerimanya dengan redha, maka iman kita akan makin bertambah.
Dalam hadis
qudsi, Syaddad bin Aus berkata, Nabi SAW: “Allah telah berfirman: Sekiranya Aku
uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas
penderitaan apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat
pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada
dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku
telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah
baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala amalannya.”
(Riwayat Ahmad)
InsyaAllah, bantuan
susulan sedang diusahakan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi meringankan
beban mangsa banjir. Semoga Allah swt mempermudahkan segala-galanya.
MOHD. ABD. RASHID BIN YAH
Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat
Bertarikh: 14 Rabiul Awwal 1436/ 05 Januari 2015
No comments:
Post a Comment