Mukadimah
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti
jejak langkah Baginda SAW.
Pada
Khamis, 27 Julai 2017 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa
Jabatan Pendaftaran Negara boleh membenarkan permohonan anak tidak sah taraf
untuk dibinkan atau dibintikan bapa biologinya. Rayuan yang melibatkan
seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilahirkan selepas 5 bulan 24 hari
(atau 5 bulan 27 hari mengikut kalendar Qamariah) selepas ibu bapanya bernikah.
Mana-mana anak yang dikandung semasa luar nikah, boleh dibinkan kepada nama
bapa mereka dan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, tidak
mempunyai kuasa undang-undang.
Keputusan
tersebut agak mengejutkan ramai pihak. Justeru, kami cuba menekuni isu ini
untuk melihat dengan lebih tuntas dan mendalam berdasarkan nusus syara’ bagi
menghuraikan permasalahan ini dengan lebih teratur dan tepat. Oleh itu,
kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan “Isu Penamaan “Bin/Binti
Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan.”
Semoga
kenyataan yang kami kemukakan ini menyelesaikan polemik ini kerana kami yakin,
kesemua dalam kalangan kita terkhususnya umat Islam ingin mencari kebenaran dan
melihat pendapat fiqh berasaskan nas yang tidak bertentangan dengan hukum
sebenarnya. Kami juga amat menghormati pandangan semua pihak tetapi biarlah
perkara yang diputuskan berasaskan kaedah yang sebenar dan pendapat yang paling
tuntas serta meraikan suasana mazhab setempat yang menjadi pegangan majoriti
umat Islam di Malaysia iaitu mazhab Syafie.
Fatwa-Fatwa
Yang Berkaitan
·
Muzakarah Fatwa
Kebangsaan
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah
membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti
berikut:
1.
Anak Tak Sah Taraf ialah:
Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia
bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
2.
Anak dilahirkan kurang
dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
Anak
tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan
kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak
tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram
dan tidak boleh menjadi wali.
Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan
Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (hal.
206-207)
·
Fatwa Wilayah-Wilayah
Persekutuan
Jawatankuasa
Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada tarikh 2 Januari 2001
telah memutuskan dan mewartakan fatwa bahawa “Anak yang dilahirkan lebih
daripada 6 bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan ini diakadnikahkan ialah
anak sah taraf”.
Rujuk Buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan
1987-2010 (hal. 8, 37 & 38)
·
Fatwa Kerajaan Negeri
Selangor
Jawatankuasa
Fatwa Selangor bertarikh 17 Januari 2005 telah memutuskan bahawa sighah
berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah :
1.
Anak yang dilahirkan
tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang
bertentangan dengan hukum syara’.
2.
Anak yang dilahirkan
kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan
bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.
3.
Anak yang dilahirkan
lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul”
selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah
anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan
isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang
memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[1]
·
Fatwa Kerajaan Negeri
Sembilan
Pada
menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum
Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh
Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak
(Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas
nama Jawatankuasa Syariah, pada 12 Januari 2002, telah mengeluarkan fatwa
berikut:
1.
Jika seorang bayi itu
dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram
dinasabkan kepadaa suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan anak
tersebut.
2.
Seorang bayi yang
dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh
tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku
sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan
mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami
ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak
tersebut.
3.
Wajib bagi suami tersebut
menafikan bahawa bayi berkenaan adalah anaknya.
4.
Pihak berkuasa yang mendaftarkan
kelahiran ditegah daripada membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam
perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan
kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.[2]
·
Fatwa Negeri Sarawak
Ahli
Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dalam penyelarasan Sighah Fatwa Anak Tak Sah Taraf
yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-64 pada 27 Julai 2004 bersetuju menerima
Sighah Pewartaan Anak Tak Sah Taraf adalah seperti berikut :
Anak
zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan
perkahwinan kedua pasangan ibu “bapanya” atau tidak hendaklah dibinkan atau
dibintikan kepada “Abdullah”.
“Anak
Tak Sah Taraf” ialah :
1.
Anak yang dilahirkan di
luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan
syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
2.
Anak yang dilahirkan
kurang dari 06 bulan 02 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh
akad nikah.
3.
“Anak Tak Sah Taraf”
tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada
sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak
boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.
Setelah
meneliti pandangan dan cadangan yang dikemukakan, Mesyuarat bersetuju menerima
keputusan yang telah diambil oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal
Agama Islam Malaysia Peringkat Kebagsaan Kali Ke-64 pada 27 Julai 2004.[3]
·
Fatwa Negeri Perlis
Mengikut
peruntukan subseksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, setelah diperkenankan oleh Raja
Pemerintah dan memaklumkan Kerajaan Negeri, dengan ini menyebabkan fatwa
berikut disiarkan, iaitu: "Anak yang lahir kurang 6 bulan selepas ibunya
berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si
suami."[4]
Akta-Akta
Berkaitan
·
Akta Undang-Undang
Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
Seksyen
110. Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa
“Jika
seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang
anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau
dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada
oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu
pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa
anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan
anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.[5]
·
Akta Pendaftaran
Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) atau “Births and Deaths Registration Act
1957”
Section
13. Provisions as to father of illegitimate child
“Notwithstanding
anything in the foregoing provisions of this Act, in the case of an
illegitimate child, no person shall as father of the child be required to give
information concerning the birth of the child, and the Registrar shall not
enter in the register the name of any person as father of the child except at
the joint request of the mother and the person acknowledging himself to be the
father of the child, and that person shall in that case sign the register
together with the mother.”
Section
13A. Surname of child
13A.
(1) The surname, if any, to be entered in respect of a legitimate child shall
ordinarily be the surname, if any, of the father.
(2) The
surname, if any, to be entered in respect of an illegitimate child may where
the mother is the informant and volunteers the information, be the surname of
the mother; provided that where the person acknowledging himself to be the
father of the child in accordance with section
·
Akta Kesahtarafan 1961
(Akta 60) atau “Legitimacy Act 1961”
Section
4. Legitimation by subsequent marriage of parents
Subject
to section 3, where the parents of an illegitimate person marry or have married
one another, whether before or after the prescribed date, the marriage shall,
if the father of the illegitimate person was or is at the date of the marriage
domiciled in Malaysia, render that person, if living, legitimate from the
prescribed date or from the date of the marriage, whichever is the later.
Pandangan
Para Mufti
Dikemukakan
beberapa kenyataan para mufti sebagai respon dengan isu ini.
·
Sahibus Samahah Tan Sri
Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak
“Di
dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa agama Islam digunapakai, jadi
macam mana Mahkamah Rayuan boleh kata fatwa diketepikan tidak boleh dipakai.
Jika dikatakan bahawa fatwa (Muzakarah Fatwa Kebangsaan) tidak mengikat, fatwa
yang diwartakan (di negeri) menjadi undang-undang dan mengikat pendaftaran. Dia
mengikat semua.”[6]
·
Sahibus Samahah Dato'
Setia Hj. Mohd. Tamyes b. Abd. Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor
“Ketetapan
itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-Quran yang
menjelaskan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada
enam bulan selepas tarikh perkahwinan.”[7]
·
Sahibus Samahah Datuk Dr
Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
“Jika
ia perkara membabitkan Islam dan umatnya seperti ini, kita kena ikut fatwa.
Bagi jabatan mufti, kami juga perlu mengikut keputusan peringkat nasional. Kami
tidak boleh buat keputusan sendiri. Ia akan menyebabkan kekeliruan”[8]
·
Sahibus Samahah Datuk
Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan
“Jika
anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan pada bapanya, ia akan menimbulkan
kekeliruan dan pelbagai masalah seperti ketika mahu berkahwin dan pengagihan
harta pusaka. Bapa berkenaan tidak boleh menjadi wali kepada anak tidak sah
taraf dan jika ia berlaku, perkahwinan itu tidak sah. "Jika berlaku
kematian pula, bapa atau anak itu tidak layak menerima harta pusaka dan jika
diberikan juga, ia dikira merampas hak orang lain. "Saya menghormati
keputusan mahkamah, namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dibuat berdasarkan
pandangan Mazhab Shafie," katanya. Ada pendapat lain membenarkan anak itu
dibin atau dibintikan pada bapa, namun setiap keputusan perlu berpandukan Mazhab
Shafie yang diamalkan di negara ini.”[9]
·
Sahibus Samahah Dato’
Mohd. Yusuf bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
“Keputusan
Mahkamah Rayuan itu akan menyebabkan keturunan masyarakat Islam cacamarba malah
tidak mustahil untuk berlakunya perkahwinan antara adik-beradik kerana
keturunan tidak diketahui. Dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu,
anak luar nikah tidak boleh dinasabkan seperti anak yang lahir daripada
pernikahan sah kerana Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa,
akal, keturunan, harta benda dan maruah. Perundangan Islam itu juga bertujuan
mendisiplinkan umat Islam supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan
sebarang tindakan selain mendahulukan hukum syarak daripada logic akal.”[10]
·
Sahibus Samahah Prof.
Madya Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri
Perlis
“Semoga
keputusan mahkamah rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat,
tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti
'islam agama hukuman'. Islam merupakan rahmat untuk sekelian alam.”[11]
Kenyataan
Tokoh Politik
Dikemukakan
juga pendapat beberapa tokoh politik dalam isu ini. Antaranya:
·
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, Timbalan Perdana Menteri
Beliau
bersetuju dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), membuat rayuan di
Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak
tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.[12]
·
Mejar Jeneral (B) Dato'
Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Pensabitan
nasab kanak-kanak hendaklah mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh hukum
syarak dan fatwa yang dimuktamadkan demi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat
Islam.[13]
·
Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Hukum
Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana Garis
Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf Dari Segi Syarak yang
diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan
Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998.
Menurut
Garis Panduan Penamaan ini, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah
hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asma Al-Husna
berpangkalkan Abdul. Ini kerana Syarak dan Maqasid Syariah amat mementingkan
pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek
keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah
dan lain-lain.
Khalayak
umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut
perundangan dan perspektif Hukum Sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan
prinsip Syariah dan Maqasid Syariah.[14]
·
Dato' Dr Mohd Khairuddin
bin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus
Keputusan
Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf
kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik tentang sejauh mana Islam
dan Hukum Syarak menjadi panduan dan mengikat sesuatu penghakiman di Mahkamah Sivil
yang melibatkan isu-isu Hukum Syarak.
Di
sinilah perlunya satu Akta dicadangkan di parlimen untuk memberikan kuasa
undang-undang kepada fatwa-fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat
Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit dengan Islam.
Kesimpulannya,
usaha memperkasakan Islam dari sudut perundangan dan perlembagaan masih
berliku. Kesatuan umat dalam isu-isu sebegini adalah sangat diperlukan.
Keinginan politik yang kuat yang ditunjang oleh kehendak rakyat Muslim yang
bersatu boleh menjadi pemangkin untuk usaha-usaha jihad perundangan ini.[15]
PERBAHASAN
FIQH
Definisi
Nasab
Daripada
sudut bahasa, nasab berasal daripada kalimah نسب – ينسب, jika disebut ينسبه (yansibuhu) adalah
menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna
qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أنسب (ansab). Rujuk Lisan
al-Arab (1/755)
Makna
nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah
‘pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya,
nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di
sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan
nasab, pewalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.
Kebanyakan
fuqaha’ tidak mentakrifkan nasab. Tetapi mereka banyak membincangkan
permasalahan dan solusinya tanpa mendefinisikan nasab.
Imam
Raghib al-Asfahani (w.502H) mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan
pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab
antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara
saudara-mara dan bapa-bapa saudara. Rujuk al-Mufradat fi Gharib
al-Quran (hal. 801).
Ini
selari dengan firman Allah SWT:
وَهُوَ
الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ
رَبُّكَ قَدِيرًا
Maksudnya: Dan
Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai)
titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu
berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
(Surah al-Furqan: 54)
Syeikh
Ahmad al-Maraghi (w.1371H) rahimahullah pula menghuraikan bahawa hubungan nasab
dinisbahkan melalui para lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum
wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. Lihat Tafsir
al-Maraghi (19/26).
Guru
kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “nasab merupakan penyandar yang paling
kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan
ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak
sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan
nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab
adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” Lihat al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuh (10/7247).
Berdasarkan
keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat
penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan
dengan hubungan perkahwinan. Justeru, para ulama seperti Imam al-Ghazali dan
Imam al-Syatibi telah meletakkannya sebagai salah satu tujuan syarak iaitu hifz
al-nasab (penjagaan nasab), yang juga terkait dengan hifz al-nasal (penjagaan
keturunan) dan hifz al-`arad (penjagaan maruah).
Adakah
Dinasabkan Anak Zina Kepada Bapa Biologi Mereka?
Para
fuqaha’ telah menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab. Antara:
·
Perkahwinan
·
Persaksian
·
Pengakuan (ikrar)
·
Qiyafah (pengecaman
melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)
Kaedah
perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau mem’bin’/’binti’kan
anak. Bahkan, kaedah ini disepakati oleh semua fuqaha’ tanpa terdapat khilaf.
Kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah
lain jika berlaku pertembungan.
Namun
begitu, para ulama’ khilaf tentang perlaksanaan kaedah pensabitan nasab melalui
perkahwinan ini kepada beberapa pendapat;
·
Majoriti ulama yang
terdiri daripada mazhab Maliki, Syafie, Hanbali menyatakan bahawa akad nikah
mensabitkan nasab dengan syarat wujud kemungkinan berlaku persetubuhan dari
aspek zaman dan tempat. Sekiranya tidak mempunyai kemungkinan tersebut, maka
nasab tidak dapat ditetapkan. Contohnya:
o . Faktor zaman: jika seseorang berkahwin kemudian bercerai
setelah akad nikah, maka nasab anak tidak boleh ditetapkan kepada suami. Begitu
juga jika anak itu lahir kurang enam bulan qamariyyah selepas akad nikah, maka
anak itu tidak boleh dinasabkan kepada ayah biologinya kerana sekurang-kurang
hamil adalah enam bulan.
o Faktor tempat: jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang
wanita melalui walinya tetapi tidak pernah bertemu dengan wanita itu. Kemudian
selepas enam bulan, wanita berkenaan melahirkan anak. Anak berkenaan tetap
tidak boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.
·
Mazhab Hanafi menyatakan
bahawa ikatan perkahwinan semata-mata sudah cukup untuk menetapkan nasab.
·
Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpegang bahawa nasab boleh disabitkan dengan
membuktikan persetubuhan hakiki sekalipun zina. Ini juga pendapat ulama’ salaf
terkemuka seperti Ishak bin Rahuyah, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar,
al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Ibrahim al-Nakhaie. Rujuk Zaad
al-Ma`ad (5/381). Ini juga pandangan Ibn Muflih dalam al-Furu’ (9/255),
Ibn al-Qasim dalam Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ (7/45).
Dalam
kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (16/222), Syeikh
Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu bahawa
anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak
tersebut dan mereka tidak saling mewarisi. Mazhab Syafie dan Maliki tidak
mengharamkan pernikahan antara mereka berdua tetapi memakruhkannya. Manakala
mazhab Abu Hanifah dan Hanbali mengharamkannya.
Imam
Ibn Rusyd al-Maliki (w.595H) berkata: “Telah bersepakat jumhur bahawa anak-anak
zina tidak dinasabkan kepada ayah-ayah mereka melainkan jika berlaku semasa
zaman Jahiliyyah kerana terdapat riwayat daripada Umar al-Khattab berkenaan
khilaf para sahabat tentang perkara ini. Manakala satu sebahagian pihak
memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan bahawa anak zina boleh
dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam.” Rujuk Bidayah
al-Mujtahid(4/142).
Imam
Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: “Anak zina tidak
dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri)
dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika
ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh
mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan
sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan
kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar.
Ali bin
Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah
bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil
akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas
wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.”Rujuk al-Mughni (6/345).
Haram
Menisbahkan Nasab Kepada Bukan Sebenarnya
Sebenarnya
syara’ telah menegah mana-mana bapa mengingkari nasab anak. Begitu juga
mengharamkan wanita menisbahkan anak kepada bukan bapanya yang hakiki. Ini
berasaskan hadith daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
أَيُّمَا
امْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ، فَلَيْسَتْ مِنَ اللَّهِ
فِي شَيْءٍ، وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنَّتَهُ، وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَدَ
وَلَدَهُ، وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ، وَفَضَحَهُ عَلَى
رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ
Maksudnya: Mana-mana
perempuan yang memasukkan kepada satu kaum sedangkan ia bukan daripada mereka,[16] maka tiadalah daripada Allah
sesuatu pun. Dan Allah pasti tidak memasukkannya (perempuan tersebut) ke
syurga. Mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya sedangkan dia mengetahui
hakikatnya, maka Allah akan menghijabkannya daripada-Nya dan menghinanya di
khalayak mereka yang terdahulu hingga akhirnya.
Riwayat Abu Daud (2263), al-Nasaie, (3481) dan Ibn Hibban
(4108).
Begitu
juga syara’ menegahkan anak-anak menisbahkan diri kepada selain bapanya seperti
bukan bapanya yang sebenar atau hakiki. Hal ini berdasarkan dua hadith:
Pertama: Daripada
Abi Bakrah dan Sa’d bin Abi Waqas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ
ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ،
فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ
Maksudnya: Siapa
yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui
bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.
Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn
Majah (2610) dan Ahmad (1553).
Rasulullah
SAW juga bersabda:
مَن ادَّعى
إلى غيرِ أبيهِ، أو انتَمَى إلى غيرِ مواليه، فعلَيه لعنَةُ اللهِ المتتابعةُ إلى
يومِ القِيَامَةِ
Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada
selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan maulanya, maka ke atasnya
dilaknat oleh Allah secara berterusan hingga hari kiamat.”
Riwayat Abu Daud (5155)
Haram
Menjadikan Anak Angkat Dibinkan Atau Dibintikan Kepadanya
Hal ini
amat jelas bilamana syariat sendiri mengharamkan nizam tabanni dengan
menjadikan anak angkat dibinkan atau dibintikan kepadanya. Ini kerana
Rasulullah SAW telah mengambil Zaid bin Harithah sebelum nubuwwah menjadikannya
anak angkat. Ia digelar Zaid bin Muhammad sehingga turunnya nas Ilahi
مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ
وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ
وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم
بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ﴿٤﴾
ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا
آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ
جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ
وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٥﴾
Maksudnya: “(Diperintahkan
dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang
mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri
yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak
menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu
dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu
dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia
lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu
dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang
lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa
mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan
sebagai "maula-maula" kamu.
(Surah al-Ahzab: 4-5)
Imam
al-Qurtubi (w.656H) rahimahullah berkata: “Telah berijma’ ahli tafsir
bahawa ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Para imam meriwayatkan
bahawa Ibn Umar berkata, ‘Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali
Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini.” Lihat Mukhtasar Tafsir
al-Qurtubi (3/450).
Syeikh
al-Maraghi berkata, “Hal itu dianggap lebih adil menurut hukum Allah
dan lebih benar daripada kamu memanggilnya dengan nama orang yang mengambilnya
sebagai anak angkat. Lihat Tafsir al-Maraghi (21/128)
Pada
frasa (ادْعُوهُمْ
لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ) yang memberi maksud
“Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa
mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” Dr. Wahbah
al-Zuhaili (w.1436H) berkata, “Ia lebih adil bahkan lebih berhak di
sisi Allah. Maka keadilan yang diputuskan dan hak yang mewajibkan nisbah anak
kepada bapanya yang hakiki dan bukan bapanya yang palsu. Ini kerana, Islam
adalah agama yang sebenar dan adil. Unsur yang asing daripada keluarga samada
lelaki atau wanita tidak bersamaan dan sesuai secara qat’ie pada akhlak dan
agama. Ini sudah barang tentu akan menatijahkan kerosakan dan kemungkaran
kepadanya. Hal ini tidaklah menyebabkan Islam menegah untuk mentarbiyah anak
pungut, mendidik dan mengajarnya. Lihat al-Fiqh al-Islami
wa Adillatuh (10/7248-7249).
Sebuah
Kisah
Diriwayatkan
bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak
selepas 6 bulan daripada perkahwinan. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA
maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas, “Adapun
sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab Allah,
nescaya aku menang. Ini kerana firman Allah SWT, (وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ
ثَلَاثُونَ شَهْرًا) maksudnya “dan tempoh hamilnya
serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan”(وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ) maksudnya “dan berpisah dari susu ibunya dalam tempoh
2 tahun. Justeru, hamil di sini hanya 6 bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil
pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. Lihat al-Bada’i`
al-Sana’i` (3/211)
Sabitan
Nasab Dengan Sebab Perkahwinan Yang Fasid
Perkahwinan
yang rosak atau fasid dalam mengisbatkan nasab sama seperti
perkahwinan yang sahih.[17] Tetapi nasab diihtiyatkan pada
sabitannya untuk menghidupkan anak dan memeliharanya. Disyaratkan pada
perkahwinan fasid ini tiga;
·
Lelaki yang mampu untuk
menghamilkan isterinya iaitu baligh di sisi mazhab Maliki dan Syafie. Atau
baligh atau remaja di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali.
·
Berlaku dukhul dengan
perempuan tersebut pada mazhab Maliki dan jika tiada, tidak mungkin disabitkan
nasab.
·
Hendaklah perempuan itu
melahirkan anak selepas 6 bulan atau lebih daripada tarikh dukhul atau
bersama di sisi mazhab Maliki.
Perbahasan
Hadith
Kami
kemukakan sebuah hadith yang menjadi perbincangan hangat di kalangan ulama’
berkenaan isu ini. Daripada Aisyah RAnha berkata:
كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ: أَنَّ ابْنَ
وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي، فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ، فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ
أَخَذَهُ سَعْدٌ، فَقَالَ: ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ ، فَقَامَ عَبْدُ
بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ،
فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي، قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ
عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ،
فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ
زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ» ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ
بِنْتِ زَمْعَةَ: «احْتَجِبِي مِنْهُ» لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ،
فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ
Maksudnya:
Adalah ‘Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sungguh kepada saudaranya
Sa’d bahawa anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan Zam’ah adalah anaknya.
Justeru, ambillah dan peliharalah. Tatkala tahun pembukaan kota Mekah, Sa’d
mengambilnya seraya berkata, “Ini anak saudaraku yang diminta kepadaku untuk
memeliharanya.” Kemudian ‘Abd bin Zam’ah bangkit dan berkata, “Dia adalah
saudaraku dan anak isteri ayahku.” Kemudian kedua-duanya berlumba-lumba menuju
kepada Nabi SAW. Maka kata Sa’d, ‘Ya Rasulullah, dia anak saudaraka yang
diwasiatkan kepadaku untuk memeliharanya.’ Kemudian Abd bin Zam’ah mencelah,
‘Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku yang dilahirkan pada masa
perkahwinan.’ Maka jawab Nabi SAW, ‘
هُوَ لَكَ
يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: “Dia bagi kamu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Ini
kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina adalah
keaiban.”
Kemudian
sabda Baginda SAW kepada Saudah binti Zam’ah, ‘Hendaklah kamu berhijab
daripadanya. Ini kerana Rasulullah SAW mendapati anak tersebut amat menyerupai
‘Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu Allah atau
mati.
Fiqh
Hadith
Hadis
di atas adalah disepakati kesahihan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Kami
kemukakan beberapa fiqh hadith daripada kitab Fath al-Bari (12/32-40)
oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani (w.852H) rahimahullah.
·
Perkataan (عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ) memberi maksud ‘ia telah mewasiatkan kepada saudaranya.’
·
Perkataan (وَلِيدَةِ) memberi maksud ‘hamba perempuan yang dikatakan beliau daripada
Yaman’. Perkataan (وَلِيدَةِ) atas wazan fa’ilah adalah
daripada wiladah iaitu kelahiran. Al-Jauhari berkata, ‘Iaitu anak perempuan
kecil dan juga hamba perempuan. Ia dikatakan nama lain bagi Ummu Walad.
·
Perkataan (زَمْعَةَ) boleh dibaca dengan zama’ah iaitu zai dibaris
atas atau zam’ah dengan baris mati. Imam al-Nawawi berpendapat
dengan
·
Perkataan (عَاهِرِ) dengan makna penzina
sedangkan makna (حَجَرُ) pula dengan dua makna iaitu kerugian dan
pendapat yang kedua dengan makna direjam dengan batu. Tetapi pendapat ini
lemah.
·
Perkataan (فِرَاشِ) pula dengan maksud
lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan menjadi hamparan baginya.
Dengan makna, anak yang lahir daripadanya menjadi anaknya.
·
Dalam mazhab Syafie dan
Malik, seseorang hamba perempuan menjadi فِرَاشِ dengan sebab wati’ bukan semata-mata
pemilikan.
·
Ketahuilah hadith ‘Abd
bin Zam’ah ditanggung bahawa sabit hamba ayahnya sebagai firash kepada
Zam’ah. Dengan sebab itu, Nabi SAW menisbahkan anak kepadanya. Sabitan ini
samada dengan bukti atas ikrarnya atau pengetahuan Nabi SAW. Ini menjadi dalil
kepada mazhab Syafie dan Maliki.
·
Hadith ini menunjukkan
dalil bagi mazhab Syafie berkenaan menasabkan anak kerana Imam Syafie
berpendapat, harus menasabkan waris dengan syarat ia berhak menerima pusaka.
Begitu juga yang dinasabkan anak bagi si mati dan syarat yang tidak diketahui
nasab selain daripadanya. Begitu juga hendaklah yang menasabkan dibenarkannya
jika dia berakal lagi baligh. Ini syarat semuanya, wujud bagi anak ini sehingga
Nabi SAW menasabkannya kepada Zam’ah.
·
Bagi yang berzina, maka
jika ibu mengiktiraf bahawa ia daripada penzina maka hendaklah dinasabkan
kepadanya. Kemudian Islam datang membatalkan. Dengan sebab itu, nasab anak
dengan sebab perkahwinan syarie. Tatkala berhujah ‘Abd bin Zam’ah dan Sa’d bin
Abi Waqqas, Rasulullah SAW memberikan hak kepada ‘Abd bin Zam’ah.
·
Hukum melalui penyerupaan
yang nyata atau qafah hanya dikira jika tiada sebarang dalil
yang kuat seperti perkahwinan kerana Nabi tidak menghukum dengan penyerupaan
semata-mata dalam kisah Li’an.
·
Hadith ini juga
menunjukkan bahawa hukum hakim atau keputusan mahkamah tidak melihat kepada
yang batin.
·
Manakala dalam al-Minhaj
Syarh Muslim (10/39), Imam al-Nawawi (w.676H) rahimahullahmenyebut
bahawa Rasulullah SAW menyuruh Saudah untuk berhijab adalah sebagai langkah
berhati-hati dan hukumnya sunat.
Kenyataan
Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah
meneliti pelbagai dalil dan pendapat samada yang membolehkannya atau
sebaliknya, kami dapati isu ini merupakan persoalan ijtihadiyyah yang mana
setiap pihak memiliki hujah dan kekuatan dalil masing-masing. Kami
berpendapat bahawa hujah yang melarang dibinkan atau dibintikan anak tak sah
taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an,
hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.
Nasab
anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara
syarie atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali
melalui pernikahan yang sahih atau fasid (seperti yang telah kami kemukakan
syaratnya) atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. Islam
telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan
anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Fahaman yang sebenar
berkenaan dengan sabda Rasulullah SAW (الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ) adalah dengan makna bahawa anak dinasabkan kepada bapa yang
berada dalam perkahwinan yang sahih. Sedia maklum bahawa al-firash dengan
maksud perempuan mengikut kebanyakan ulama’ dan dita’birkan dengan maksud dalam
keadaan iftirasy. Adapun zina maka tidak harus menjadi
penyebab untuk mensabitkan nasab. Sebaliknya, yang berhak kepada yang berzina
adalah direjam dengan batu.
Begitu
juga zahir hadith menunjukkan anak dihubungkan dengan bapa atau dibinkannya
selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu tidak sabit kecuali selepas
berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid. Inilah
pendapat jumhur. Sedangkan riwayat Abu Hanifah bahawa sabit semata-mata
dengan akad ini kerana semata-mata zhan sudah memadai. Pendapat ini ditolak
kerana tertegah hasilnya dengan sebab akad berdasarkan zahir hadis. Bahkan
mesti adanya imkan al-wat’i atau kelebihan bersetubuh.
Pendapat
jumhur juga menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi. Fatwa al-Lajnah al-Da’imah
Kerajaan Arab Saudi dalam fatwa bernombor 3408 dan 3056 menyebut bahawa
yang sahih daripada pendapat ulama bahawa tidak boleh disabitkan nasabnya
kepada yang menyetubuhi ibunya kecuali nikah yang sah atau fasid, nikah
syubhah, perhambaan atau syubhah perhambaan.
Isu
menutup malu dan aib bukanlah alasan yang kuat kerana syariat Islam jelas
menunjukkan larangan membinkan atau membintikan kepada selain bapanya yang sah
melalui perkahwinan. Ini kerana, banyak hukuman dalam Islam diperintahkan
supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.[18]
Jika
yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan
itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan
wali nikah bagi wanita.Sebenarnya, punca utama masalah ini adalah
tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal. Isu penamaan anak ini hanyalah
simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat. Betapa
lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada
bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan
ajnabi. Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti
mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga.
Justeru,
sebagai sikap bertanggungjawab, hendaklah pasangan yang terjebak dengan zina
bernikah secepat yang mungkin apabila sudah berlaku zina kali pertama sebagai
bentuk pemulihan diri dan taubat kepada Allah dan berhenti daripada melakukan
dosa kepada hubungan yang halal. Bahkan seperti mana yang telah disebutkan di
atas, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa
hendaklah ibu bapa yang berzina itu dihukum dengan hukuman syariat yakni
dirotan 100 kali sebelum dia boleh menasabkan anak tersebut kepada dirinya. Ini
kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah,
benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat. Maka, masyarakat perlu
disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada
Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka
daripada berbuat zina. Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini
dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak
zina, dan isu malu yang disebut-sebut.
Ingatlah
kita perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab atas setiap yang kita lakukan
kerana itulah tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini, bukan hanya
sekadar escapism untuk melarikan diri daripada masalah yang
berakar umbi. Sikap melarikan diri dan menyembunyikan status hanya akan
menambah masalah kemudian hari dan memakan integriti masyarakat Islam itu
sendiri.
Kami
juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum
berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada
diri sendiri da naib kepada anak serta mengganggu emosi dan perasaan tidak
selepas kepada ramai pihak. Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri
sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. Semoga kita menjadikan
golongan yang mendapat mardhatillah dalam melayari kehidupan ini.
Syor
dan Cadangan
Kami
cadangkan di sini beberapa
cadangan:
·
Anak yang tak sah taraf
dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu
seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif”
·
Nasab anak sabit kepada
ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin
Maryam, Muhammad bin bintu Syafie[19].
·
Nasab anak dinisbahkan
kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi”[20]
Kami
tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia
berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana
prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah
kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di
sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita. Perhatikan
bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui
bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu,
jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai
saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak
tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan
pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak
terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai
keluarga oleh masyarakat Islam.
Mesyuarat
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang
bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf
tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang
diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada
Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang
dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah
maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem
keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus
(yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid
al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan
yang sangat penting) di dalam Islam.
Pengecualian
juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang
diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan
dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan
sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam.
Semoga
Bayan Linnas pada kali ini menghilangkan kekusutan kepada kita semua untuk
melihat isu ini dengan lebih matang dan tepat. Pendapat jumhur ulama’
sewajarnya diambil kira dalam keadaan biasa dan suasana masyarakat Malaysia
yang menjadikan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi.
Akhukum
fillah,
Sahibus
Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti
Wilayah Persekutuan,
1 Ogos
2017M bersamaan 8 Zulkaedah 1438H
[1] http://www.muftiselangor.gov.my/86-fatwa/sosial-syariah/101-fatwa-tentang-garis-panduan-mengenai-anak-tak-sah-taraf-menurut-hukum-syara
[2] http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/169-fatwa-mufti-negeri-sembilan/502-anak-luar-nikah
[3] http://muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=webpage&sub=page&id=98
[4] http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_docman&task=doc_download&gid=225&Itemid=124
[6] https://www.youtube.com/watch?v=W1GVMmRvFys
[7] http://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/306491/keputusan-benarkan-bin-bapa-anak-luar-nikah-langgar-syarak
[8] https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/8918/
[9] http://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/306491/keputusan-benarkan-bin-bapa-anak-luar-nikah-langgar-syarak
[10] http://utusan.com.my/berita/nasional/langgar-hukum-syarak-berzina-sepanjang-hayat-1.508833
[12] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1377211
[13] https://www.utusan.com.my/berita/nasional/nasab-anak-luar-nikah-perlu-patuhi-syarak-fatwa-8211-jamil-khir-1.508849
[14] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1376971
[15] https://www.harakahdaily.net/index.php/arkib/2295-islam-dan-hukum-syarak-tidak-mengikat-mahkamah-sivil-dalam-isu-islam
[16] Berkata
guru kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili, iaitu perempuan telah melakukan zina.
Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7247).
[17] Lihat
Durr al-Mukhtar, 2/857
[19] Nama
sebenarnya Abu Muhammad Ahmad bin Muhammad. Ibunya Bintu al-Syafie adalah anak
perempuan Imam al-Syafie yang bernama Zainab.
[20] Ziyad
bin Ubaid al-Thaqafi dan Abu Sufyan menisbahkan Ziyad kepada dirinya sebagai
anaknya kecuali tidak diisytiharkannya. Pada zaman Muawiyah, beliau menisbahkan
Ziyad kepada ayahnya dan digelar dengan “Ziyad bin Abihi”