hasbunallah

hasbunallah

Sunday, July 31, 2011

Hadis Qudsi : Redha dan Sabar

Berkata Abu Hind ad-Daarimi r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Allah swt telah berfirman

Barangsiapa yang tidak redha dengan hukumKu dan tidak bersabar dengan balaKu maka carilah tuhan yang lain selain Aku.

(Riwayat Ibn Hibban, at-Thabarani dan Ibn Asakir)

Huraian:
Setiap orang yang diuji hendaklah ia bersabar menerima ujian itu dengan hati yang cekal dan tidak putus asa, kerana segala keputusan Allah itu tetap ada hikmahNya yang terlindung kepada kita. Yang wajar, hendaklah kita serahkan perkaranya kepada Allah s.w.t tidak membangkang atau merungut.

Kalau kita tidak dapat bersikap demikian, bermakna kita tidak bertuhankan Allah swt sebab kita tidak mendengar perintahNya. Lantaran itulah, maka Allah telah menyuruh kita mencari tuhan yang lain. Sebab tiada gunanya kita mengaku Allah s.w.t sebagai tuha, tetapi kita tidak sanggup untuk menerima ketetapan hukumNya. 

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 : Kebenaran dan Pembohongan


Semalam telah berlalu dengan jayanya Himpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya yang lebih bersih dan adil daripada pihak kerajaan yang memerintah. Walaupun berlaku banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak pengajur dan juga peserta himpunan tersebut, tetapi ianya tidak mematahkan semangat untuk melihat Malaysia Negara yang kita cinta ini ditadbir oleh para pemimpin yang adil dan telus.

Namun begitu, pelbagai pandangan dilontarkan mengenai perkara ini sama ada yang menyokong Himpunan Bersih tersebut dan tidak kurang juga yang menentangnya dengan berbagai-bagai alasan serta hujah. Antara hujah mereka ialah:-

1.      Kenapa perlu mengadakan demonstrasi jalanan?
Mereka tegaskan kenapa ianya tidak diselesaikan dimeja rundingan sahaja tanpa perlu kepada tunjuk perasaan begitu? Telah banyak kali rundingan dengan pihak terbabit terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai 8 tuntutan BERSIH tersebut. Namun ianya tidak diendahkah oleh SPR. Kecacatan proses pilhan raya yang diajukan oleh BERSIH bukanlah omongan kosong semata-mata. Malah ianya turut dikemukakan dengan bukti-bukti kukuh.
Malah, Himpunan BERSIH tersebut bukanlah satu demonstrasi jalanan yang sebagaimana yang dihebohkan oleh UMNO/BN serta media. Tetapi ia hanya satu himpunan rakyat semata-mata untuk menyerahkan memorandum kepada YDPA.

2.       Sekiranya SPR tidak adil, kenapa pihak pembangkang dapat memerintah 5 negeri?
Negeri yang diperintah pembangkang adalah bukan isunya di sini. Cuba perhatikan 8 tuntutan yang dikemukakan BERSIH:-

                    i.            Bersihkan senarai undi
Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal. Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

                 ii.            Mereformasikan undi pos

SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi. Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi. Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

               iii.            Gunakan dakwat kekal
Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

               iv.            Masa kempen minima 21 hari
 Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja. Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

                 v.             Akses media yang bebas dan adil
RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding. Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

               vi.             Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia

            vii.             Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.


          viii.            Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor

Adakah kesemua 8 tuntutan BERSIH tersebut memihak dan menguntungkan pihak pembangkang semata-mata? Bila pihak kerajaan menolak perkara tersebut, maka timbul perasaan curiga kenapa ianya ditolak? Pasti ada sebab, dan adakah ianya berkaitan dengan pembangkang semata-mata? Cuba fikirkan.

3.      Kenapa tidak dibuat di stadium sahaja?

UMNO/BN sentiasa berdolak dalik dalam perkara ini. Pada mulanya mereka sendiri yang mencadangkan supaya himpunan tersebut diadakan di stadium sahaja dan mereka akan benarkan kalau ‘nak melalak sampai pagi pun’.
Tapi setelah ajk pemandu BERSIH mengadap YDPA, himpunan tersebut telah di pindahkan ke Stadium Merdeka sebagai mematuhi titah YDPA. Namun pihak-pihak yang berkenaan dengan pelbagai alas an dan karenah tetap menghalang dan cuba untuk menggalkan himpunan tersebut. Sekarang, siapakah sebenarnya yang menderhakai YDPA?

4.      Himpunan BERSIH hanya topeng politik pembangkang sahaja.

Secara realitinya cuba perhatikan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH. Ianya diketuai oleh Datuk S. Ambiga serta turut dianggotai oleh sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan turut disokong oleh sejumlah NGO yang mahukan pilihan raya yang lebih adil dan telus di Malaysia ini.
Namun tindakan kerajaan menggunakan pihak polis serta FRU dalam menyuraikan himpunan aman tersebut dilihat sebagai satu tindakan yang amat tidak wajar sekali. Pihak media kerajaan menayangkan bahawa tindakan polis dan FRU dalam menyuraikan penunjuk perasaan adalah tepat kerana peserta himpunan tersebut telah membuat provokasi terhadap pihak polis dan mengganggu ketenteraman awam.
Malah pihak polis bertegas bahawa mereka tidak melepaskan gas pemedih mata kearah peserta himpunan tersebut. Ironinya, clip video yang di uploadkan ke youtube menyatakan sebaliknya. Kenapa perlukan pembohongan tersebut? Pihak polis sepatutnya mengawal himpunan tersebut dan bukannya membuat provokasi. Kemudian menunding jari kearah peserta himpunan tersebut yang kononnya pencetus provokasi. Walaupun pihak polis dan FRU adalah penegak undang-undang, namun mereka juga terikat dengan undang-undang. Mereka tidak boleh sesuka hati bertindak diluar perikemanusiaan seolah-olah hanya mereka yang betul. Sebagaimana kenyataan Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat:  Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti.

5.      Kenapa Ambiga?
Orang Islam terutamanya mempertikaikan Himpunan BERSIH tersebut kerana ianya diketuai oleh Ambiga yang dikatakan sebagai sedangkan beliau adalah seorang yang disifatkan anti Islam berdasarkan rekodnya yang tersebar, sebahagiannya benar, manakala sebahagian lagi adalah bohong dan fitnah. Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz telah menjawab dalam blognya sebagaimana berikut:-
Pertama, Bolehkah kita berketuakan seorang non muslim? Ini soalan yang jawabannya agak mudah, cuma mudah juga untuk dikelirukan oleh pengeliru yang suka menyusahkan dan menjalani hidup hipokrit.

Untuk institusi dan kumpulan kehidupan sosial, samada dalam masyarakat Islam yang majoriti atau sebaliknya, Islam tidak pernah melarang berketuakan seorang non muslim, lelaki atau perempuan, jika institusi dan kumpulan itu bertujuan baik dan tidak bercanggah dengan agama. Itu dapat dilihat melalui ‘ijmak’ ulama masa kini yang membiarkan penglibatan umat Islam di dalam pelbagai pertubuhan sosial yang bertujuan membina kehidupan manusia yang lebih baik.

Contoh terbaik adalah pertubuhan peringkat antarabangsa seperti PBB. Ia selalunya diketuai non muslim dan tujuannya baik walaupun sering tunduk kepada kekuasaan yang acap kali memusuhi Islam seperti Amerika. Tiada fatwa yang mengharamkan negara-negara Islam – sedangkan mereka adalah ketua-ketua umat Islam – menganggotainya. Jika begitu, anda bolehlah kiaskan secara mudah betapa pertubuhan-pertubuhan yang lebih kecil adalah lebih layak dan syar’ie bagi umat Islam untuk menyertainya.

Maka, pada asasnya, penyertaan PAS di dalam BERSIH 2.0 yang diketuai seorang non muslim adalah harus kerana tujuannya yang murni, malah merupakan tunjang kehadiran Islam di muka bumi, iaitu menegakkan keadilan dan kebebasan hidup.

Adapun untuk sebuah negara, berketuakan non muslim dalam sebuah negara yang umat Islam Islam memiliki kekuatan untuk melantik dan memilih seorang muslim sebagai ketuanya adalah tidak harus. Ini kerana adalah mustahil seorang non muslim akan memandu negara tersebut untuk patuh tunduk kepada syariat Islam di dalam bernegara.

Sebaliknya, jika umat Islam tiada memiliki kekuatan tersebut, seperti memiliki jumlah minoriti, maka berketuakan non muslim adalah harus selagi mereka bebas menjalani hak mereka sebagai seorang muslim. Contoh mudah ialah kerajaan nabi Yusuf alaihissalam. Baginda adalah menteri kepada kerajaan yang kufur. Ada beberapa persoalan mungkin timbul, saya ketepikan dulu untuk memberi laluan kepada topik asal perbincangan.

Kedua, bagaimana jika ketua itu anti Islam? Ada beberapa keadaan. Pertama, jika pertubuhan itu bermaksud anti Islam, maka jelas haram menyertainya. Jika tidak, bahkan untuk turut menyokong matlamat Islam, maka hukum adalah sebaliknya. Kedua, jika ketuanya anti Islam dan secara jelas dilihat begitu, maka hendaklah dilihat kesan baik dan buruknya. Jika keburukan mendahului atau sama atau ditakuti buruknya, maka hukumnya tidak harus. Ini soal ijtihadiah dalam siyasah syar’ieyah.

Lihat juga perbahasan ulama dan fatwa mereka dalam penyertaan umat Islam di dalam pertubuhan-pertubuhan tajaan zionis misalnya. Walaupun zahirnya kelihatan baik, tetapi keraguan adalah besar disebabkan matlamat zionis terhadap Islam adalah jelas, apatah jika ketua pertubuhan tersebut dilihat pro zionis.

Adapun jika ketua tersebut dilihat anti Islam kerana beberapa tindakannya yang menunjuki demikian, maka ia bergantung kepada matlamat pertubuhan tersebut dan perjalanannya, bukan pada ketuanya. Semua bukan Islam adalah biasa dan natural jika beberapa tindakannya dilihat bercanggah atau memusuhi Islam. Jika tidak, terbantutlah kehidupan yang dicanang agama Islam yang sejagat agar Islam menghubungkan sesama manusia, bukan memutuskan! Islam dengan itu akan hanya relevan dalam masyarakat Islam sahaja, bukan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya.

Sebagai kesimpulannya, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan himpunan tersebut namun ianya telah membuka mata pihak tertentu mengenai keperluan untuk meneliti 8 tuntjtan yang dikemukakan BERSIH. Adakah kita ingin wariskan Negara kita ini kepada anak cucu kita nanti sebuah Negara yang dipimpin serta ditadbir oleh sekumpulan pemimpin yang korup yang dipilih melalui sistem yang penuh kecacatan dan pembohongan.  

Saturday, June 25, 2011

Datuk T : Wira Yang Benar?

Trio Datuk T yang menjadi dalang utama penayangan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Rahim Thamby Chik bersama dua lagi tertuduh, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur iaitu tiga bulan selepas mereka menayangkan video tersebut di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan. Shazryl Eskay dan Shuib mengaku salah atas tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 bawah undang-undang sama. Rahim didenda RM1,000 manakala Shazryl Eskay dan Shuib pula masing-masing didenda RM3,000 dan RM1,500.

Kompleks Mahkamah Jalan Duta turut di hadiri oleh penyokong Datuk T tersebut sebagai menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap tiga orang wira negara yang kononnya sanggup berdepan dengan undang-undang negara demi menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran!

Sebagaimana yang dilaporkan portal Malaysiakini yang memetik Rahim sebagai berkata:

"Rahim yang mengaku salah bersubahat menayangkan rakaman hubungan seks itu juga berkata, beliau sanggup berbuat demikian demi mendedahkan kes didakwa melibatkan Anwar dan "mempertahankan kepentingan dankeselamatan negara."

"Kita korbankan diri kita tiga orang untuk memastikan kita mencapai matlamat ini. Supaya rakyat dapat menimbang dan menghakimi.

"Pemimpin yang korup dari segi moral akan terdedah kepada perkara-perkara korup yang lain.

"Sebab itu kita berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrisi ini tidak layak memimpin," kata Rahim lagi yang disambut sorakan oleh kira-kira 100 orang penyokongnya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Rahim dan gengnya dilihat sebagai wira dengan pendedahan video seks tersebut sekaligus menutup lipatan sejarahnya yang turut melibatkan Lim Guan Eng ketika itu.

Sememangnya situasi ini telah saya jangkakan. Datuk T cuba membersihkan nama mereka terutamanya Rahim Tamby Chik serta untuk mendapatkan political mileage mereka. DSAI tidak akan di dakwa dalam masa terdekat ini atas tuduhan berkaitan video seks tersebut kerana kertas siasatan yang dibuka pihak polis di bawah Seksyen 292(a) dan 34 Kanun Keseksaan adalah terhadap Datuk T dan bukannya terhadap DSAI.

Saya bersetuju dengan tulisan Wira Arjuna dalam portal Malaysiakini yang bertajuk "Perbicaraan Datuk T atau pesta serang Anwar?" Perbicaraan pada hari tersebut seolah-olah menjadi medan untuk 'mendedahkan' segala-segalanya mengenai video seks yang dikaitkan dengan DSAI tersebut tanpa ada sedikit ruang pun untuk DSAI membela diri ketika itu.

Saya menjadi sangsi dan ragu terhadap pendedahan tersebut apatah lagi setelah melihat track record geng Datuk T tersebut. Ingatlah firman Allah Taala yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujurat: 6)

Friday, June 24, 2011

BERSIH Polis

BERSIH 2.0 semakin hangat dan hampir. Pelbagai pandangan diberikan oleh pelbagai pihak sama ada menyokong atau menentang Himpunan BERSIH tersebut. Malah Perkasa dan Pemuda Umno juga turut menyatakan hasrat mereka untuk turut berhimpun tetapi untuk menentang Himpunan BERSIH.
Himpunan rakyat yang menuntut pilihan raya yang lebih adil dan telus itu menuntut lapan perkara daripada pihak kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana berikut: 

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI
2. MENREFORMASI UNDI POS
3. GUNA DAKWAT KEKAL
4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI
5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL
6. KUKUHKAN INSTITUSI AWAM
7. HENTIKAN RASUAH
8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Pihak polis pula telah mengeluarkan amaran supaya tidak menyertai himpunan tersebut. Tindakan akan diambil sekiranya ada pihak yang engkar. Malah yang paling mengejutkan lagi apabila pihak polis bertindak merampas baju-baju BERSIH yang dijual serta mengarahkan agar ianya ditanggalkan oleh orang yang memakainya sebagaimana yang berlaku semasa ceramah Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub di Dun Kelaboran pada 24/06/2011.

Pada mulanya pihak polis mengarahkan supaya baju tersebut disimpan serta tidak dijualkan kepada umum. Namun mereka kemudian bertindak merampas baju tersebut walaupun arahan mereka supaya baju tersebut disimpan sebelum ini dipatuhi. Bahkan anggota polis juga turut mengarahkan orang yang memakai baju BERSIH agar menanggalkannya dengan segera. Amaran turut diberikan kepada penceramah agar tidak menyentuh isu Himpunan BERSIH 2.0 sekiranya pihak penganjur tidak mahu permit ceramah dibatalkan oleh polis.

Apakah justifikasi yang boleh diberikan oleh polis terhadap tindakan mereka sehingga ke tahap tersebut? Tidakkah ianya bertentangan dengan hak asasi manusia berhak untuk memilih pakaian yang mereka hendak pakai asalkan tidak bertentangan dengan agama?

Published with Blogger-droid v1.7.2

Monday, June 20, 2011

DPPNK Serah Memorandum Kepada Utusan Malaysia

Hari ini (Isnin 20 Jun 2011), Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DDPNK) diketuai oleh Ketuanya YB Ustaz Haji Abdul Latiff Abd. Rahman diiringi oleh ahli jawatankuasa DPPNK dan para pemuda telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada wakil Utusan Malaysia Cawangan Kelantan di Jalan Che Su, Kota Bharu.

Memorandum bantahan itu dibuat ekoran penyiaran kartun oleh akhbar milik UMNO Utusan Malaysia pada 15 Jun 2011 yang bertajuk 'Kekeliruan kes rogol'  itu, dianggap banyak pihak sebagai menghina dan mempersenda Islam dan hukum-hakamnya.

Antara isi kandungan memorandum tersebut, DPPNK menuntut Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di atas penyiaran karikatur tersebut dalam tempoh 14 hari. Jika Utusan Malaysia gagal berbuat demikian, DPPNK akan melancarkan boikot secara besar-besaran lagi. 

Wednesday, June 15, 2011

Daurah at-Ta’lim Bersama Habib Zein Bin Sumaith

Alhamdulillah sejuta syukur kerana walaupun dalam kesibukan tanggungjawab, saya masih diberikan Allah kesempatan untuk menghadiri Daurah a-Tailim bersama al-Alim al-Allamah al-Habib Zein Bin Ibrahim Bin Sumaith, Pengetua Rubath Abd. Rahman al-Jufri Madinah al-Munawwarah.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan & Majlis Muwasolat Negeri Kelantan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2011 bertempat di Dewan Besar, Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu Kelantan. Habib Zein mensyarahkan kitab Kitab Bahjatu al-Tholibin fi Muhimmah Usuluddin karangan beliau sendiri.

Program ini merupakan peluang keemasan bagi para pencinta ilmu untuk belajar secara talaqqi daripada ulama hebat Madinah al-Munawwarah ini. Sepengetahuan saya, ini adalah kali pertama ulama Madinah ini datang ke Kelantan secara rasmi.

Syukur juga saya panjatkan kepada Allah swt kerana telah diijazahkan dua kitab karangan beliau sendiri iaitu kitab Bahjatu al-Tholibin fi Muhimmah Usuluddin dan Hidayatu at-Thalibin fi Bayani Muhimmah ad-Din.

Semoga banyak lagi program-program ini dianjurkan di masa akan datang. Dan sedikit latar belakang al-Alim al-Allamah Habib Zein Bin Ibrahim Bin Sumaith sebagaimana berikut:-

Habib Zain lahir di ibukota Jakarta pada  tahun 1357 H/1936 M. Ayahnya Habib Ibrahim adalah ulama besar di bumi Betawi kala itu, selain keluarga, lingkungan tempat di mana mereka tinggal pun boleh dikatakan sangat religius.

Guru-gurunya ialah Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz, Habib Umar bin Alwi al-Kaf, Al-Allamah Al-Sheikh Mahfuz bin Salim, Sheikh Salim Said Bukayyir Bagistan, Habib Salim bin Alwi Al-Khird, Habib Ja’far bin Ahmad Al-Aydrus, Habib Muhammad Al-Haddar (mertuanya).

Pada usia empat belas tahun (1950), ayahnya memberangkatkan Habib Zain ke Hadramaut, tepatnya kota Tarim. Di bumi awliya’ itu Habib  Zain tinggal di rumah ayahnya yang telah lama ditinggalkan.

Menyadari mahalnya waktu untuk disia-siakan, Habib Zain berguru kepada sejumlah ulama setempat, berpindah dari madrasah satu ke madrasah lainnya, hingga pada akhirnya mengkhususkan belajar di ribath Tarim. Di pesantren ini nampaknya Habib Zain merasa cocok dengan keinginannya. Di sana ia memperdalam ilmu agama, antara lain mengaji kitab ringkasan (mukhtashar) dalam bidang fikih kepada Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz, di bawah asuhan Habib Muhammad pula, Habib Zain berhasil menghapalkan kitab fikih buah karya Imam Ibn Ruslan, “Zubad”, dan “Al-Irsyad” karya Asy-Syarraf Ibn Al-Muqri.

Tak cukup di situ, Habib Zain belajar kitab “Al-Minhaj” yang disusun oleh Habib Muhammad sendiri, menghapal bait-bait (nazham) “Hadiyyah As-Shadiq” karya Habib Abdullah bin Husain bin Thahir dan lainnya.

Dalam penyampaiannya di Tarim beliau sempat berguru kepada sejumlah ulama besar seperti Habib Umar bin Alwi Al-Kaf, Syekh Salim Sa’id Bukhayyir Bagitsan, Habib Salim bin Alwi Al-Khird, Syekh Fadhl bin Muhammad Bafadhl, Habib Abdurrahman bin Hamid As-Sirri, Habib Ja’far bin Ahmad Al-Aydrus, Habib Ibrahim bin Umar bin Agil dan Habib Abubakar bin Abdullah  Al-Atthas.

Selain menimba ilmu  di sana Habib Zain banyak mendatangi majlis para ulama demi mendapat ijazah, semisal Habib Muhammad bin Hadi Assaqof, Habib Ahmad bin Musa Al-Habsyi, Habib Alwi bin Abbas Al-Maliki, Habib Umar bin Ahmad bin Smith, Habib Ahmad Masyhur bin Thaha Al-Haddad, Habib Abdul Qadir bin Ahmad Assaqof dan Habib Muhammad bin Ahmad Assyatiri. Melihat begitu banyaknya ulama yang didatangi, dapat disimpulkan, betapa besar semangat Habib Zain dalam rangka merengkuh ilmu pengetahuan agama, apalagi melihat lama waktu beliau tinggal di sana, yaitu kurang lebih delapan tahun.

Kemudian salah seorang gurunya bernama Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz menyarankannya pindah ke kota Baidhah, salah satu wilayah pelosok bagian negeri Yaman, untuk mengajar di ribath sekaligus berdakwah. Ini dilakukan menyusul permohonan mufti Baidhah, Habib Muhammad bin Abdullah Al-Haddar.

Dalam perjalanan ke sana, Habib Zain singgah dulu di kediaman seorang teman dekatnya di wilayah Aden, Habib Salim bin Abdullah Assyatiri, yang saat itu menjadi khatib dan imam di daerah Khaur Maksar, disana Habib Zain tinggal beberapa saat.

Selanjutnya Habib Zain melanjutkan perjalanannya di Baidhah, Habib Zain pun mendapat sambutan hangat dari sang tuan rumah Habib Muhammad Al-Haddar, di sanalah untuk pertama kali ia mengamalkan ilmunya lewat mengajar.

Habib Zain menetap lebih dari 20 tahun di Rubath Baidha’ menjadi khadam ilmu kepada para penuntutnya, beliau juga menjadi mufti dalam Mazhab Syafi’e. Setelah itu beliau berpindah ke negeri Hijaz selama 12 tahun, Habib Zain telah bersama-sama dengan Habib Salim Assyatiri menguruskan Rubath di Madinah,Setelah itu Habib Salim telah berpindah ke Tarim Hadhramaut untuk menguruskan Rubath Tarim.

Habib Zain di Madinah diterima dengan ramah, muridnya banyak dan terus bertambah, dalam kesibukan mengajar dan usianya yang juga semakin meningkat, keinginan untuk terus menuntut ilmu tidak pernah pudar.

Beliau mendalami ilmu Usul daripada Sheikh Zay dan Al-Syanqiti Al-Maliki. Habib Zain terus menyibukkan diri menuntut dengan Al-Allamah Ahmad bin Muhammad Hamid Al-Hasani dalam ilmu bahasa dan Ushuluddin.

Habib Zain seorang yang tinggi kurus. Lidahnya basah, tidak henti berzikrullah. Beliau sentiasa menghidupkan malamnya. Di waktu pagi Habib Zain keluar bersolat Subuh di Masjid Nabawi. Beliau beriktikaf di Masjid Nabawi sehingga matahari terbit, setelah itu beliau menuju ke Rubath untuk mengajar. Majlis Rauhah setelah asar sehingga maghrib.