hasbunallah

hasbunallah

Friday, May 29, 2009

Along...Oh..Along

Saya pasti semua orang mengetahui berita sama ada melalui radio, tv mahu pun akhbar mengenai tindakan 'Along' yang memenjarakan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka. Rancangan '999' memaparkan visual sebenar keadaan peminjam yang menjadi tahanan 'Along' tersebut yang diperlakukan lebih daripada binatang. Kaki dan leher mereka dirantai seperti anjing dalam bilik sel yang sempit serta meloyakan. Ketika diselamatkan oleh pihak polis, keadaan mereka cukup lemah serta terdapat kesan lebam-lebam pada badan mereka.

Dalam kes seperti ini, siapakah sepatutnya dipersalahkan sehingga 'Along' ini berani memperlakukan demikian yang jelas dan nyata berlawanan dengan undang-undang negara? Sudah menjadi kerja utama 'Along' memberi pinjaman dengan janji manis yang tersembunyi niat jahat lintah darah mereka sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja untuk membuat para peminjam membayar balik pinjaman mereka dengan peratusan bunga atau faedah yang berlipat kali ganda. Saya percaya, semua orang tahu keadaan ini.

Namun begitu, dalam pengetahuan yang amat jelas mengenai kekejaman 'Along' ini, masih ada orang yang sanggup meminjam daripada 'Along'. Pada mereka sepatutnya tahu bahawa sekali mereka meminjam daripada 'Along', sebenarnya mereka bukan sahaja meletakkan nyawa mereka dalam bahaya bahkan nyawa ahli keluarga mereka juga turut terancam sama.

Pihak Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap golongan 'Along' ini yang nampaknya sekarang amat berleluasa menjalankan kegiatan mereka. Semoga rakyat negara ini membuka mata dengan kejadian yang baru sahaja berlaku itu dan mengambilnya sebagai satu pengajaran berharga agar tidak terlibat dengan 'Along'.

Thursday, May 28, 2009

Gelagat Seorang Habib

Bila terkenang tentang anak saudara saya, Habib Ahmad pastinya saya akan tersenyum sendirian. Anak yang berumur dua tahun lebih itu amat memikat hati saya dengan gelagat keanakkannya. Antaranya ialah tatkala solat berjemaah bersama keluarga, ada ketikanya dia membaca ayat-ayat atau surah al-Quran dengan pelat dan telornya itu.

Lagi, dia amat sukakan kuih atau kek yang dibuat oleh isteriku yang dipanggilnya mama. Setiap kali kek yang diberikan kepadanya, dia akan bertanya: Kek mama buat ke?. Pernah suatu ketika dia membaling kek yang dibuat oleh uminya sendiri sambil berkata: Tak sedap!

Semasa Family Dinner baru-baru ini, dia sanggup tak makan nasi disebabkan nak makan kek sempena hari ibu yang dibuat oleh isteri saya. Sebab itulah setiap kali isteri saya membuat kek, pasti akan ada bahagian untuk Habib Ahmad.


Habib Ahmad yang cute sedang minum air

Sunday, May 24, 2009

Benarnya Sebuah Firasat


Hari Jumaat yang lalu, hati saya berdebar-debar menantikan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Dua Menteri Besar Perak diumumkan. Internet pula asyik bermasalah sahaja ketika cuba mencari khabar-khabar yang tersebar dialam maya. Namun ketika saya hendak bertolak ke tempat kuliyah maghrib, jiran sebelah rumah saya bertanya: Macam mana Nizar boleh kalah?

Soalan tersebut tidak dapat saya jawab kerana saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Lalu saya layari internet melalui handset saya untuk mencari pengesahan dan jawapan. Dan ternyata, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Walaupun keputusan tersebut sudah dapat diagak sebelum ini, namun ia tetap membuatkan saya sedikit kecewa. Namun bila difikirkan kembali, ALLAH tetap akan membela orang yang benar. Tambahan lagi, pasukan peguam yang mewakili Nizar sudah memaklumkan bahawa mereka akan memfailakn rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Jadi kita tunggu sahaja keputusan Mahkamah Persekutuan pula nanti.




Selembar Puisi Untukmu Ibu


Pada 15/05/2009 yang lalu, Usrah Jamadilkubra telah mengadakan majlis makan malam keluarga bertempat di Restoran Chiangmai, Kota Bharu sempena meraikan Hari Ibu.

Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan oleh anak cucu yang terlibat. Tidak ketinggalan juga saya telah diarahkan oleh pihak pengurusan program untuk mempersembahkan sebuah puisi untuk Bonda. Puas saya fikirkan, puisi apa yang ingin saya deklamasikan pada malam itu sehinggalah timbul idea untuk saya mencarinya di internet.

Maka saya temui sebuah puisi yang amat menarik bagi saya sebagaimana berikut:-


Selembar Puisi Untukmu Ibu


Dentang nafasmu menyeruak hari hingga senja
Tak ada lelah menggores diwajah ayumu
Tak ada sesal kala semua kau lalui
Langkah itu terus berjalan untuk kami
Dua bidadari kecilmu...

Desah mimpimu berlari
Mengejar bintang
Berharap kami menjadi mutiara terindahmu
Dalam semua peran yang kau mainkan dibumi
Ini peran terbaikmu

Dalam lelah kau rangkai kata bijak untuk kami
Mengurai senyum disetiap perjalanan kami
Mendera doa disetiap detik nafas kami
Ibu..kau berlian dihati kami

Relung hatimu begitu indah
hingga kami tidak sanggup menggapai dalamnya
Derai air matamu menguntai sebuah harap
Disetiap solat malammu

Ibu..
Kami hanya ingin menjadi sebuah impian untukmu
Membopong semua mimpimu dalam pundak kami

Ibu..
Jangan benci kami
Jika kami membuatmu menangis


dipetik dari Toppuisi.blogspot.com




Tuesday, May 12, 2009

Kuala Lumpur Kota Raya Kebudayaan Islam???


Saya agak terkejut apabila Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan sebagai Kota Raya Kebudayaan Islam daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco). Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah, atas dasar apakah pihak Isesco memberikan pengiktiran tersebut kepada Kuala Lumpur?

Saya tidak pasti pendapat para pembaca, namun bagi saya terlalu jauh untuk menerima hakikat tersebut sekiranya kita meneliti realiti sebenar bandar raya kita itu. Isu Bukit Bintang dan Lorong Haji Taib yang tidak pernah selesai. Di tambah lagi dengan kelab malam, pub serta tempat hiburan yang sememangnya tidak menggambarkan kebudayaan Islam malah sama sekali bercanggah dengan hukum Islam.

Saya ingin memetik kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagaimana berikut:-


"Apabila Kuala Lumpur terpilih sebagai kota raya kebudayaan Islam, ia mencerminkan Islam itu mempunyai dunia seni dan budaya yang tersendiri selain kegiatan ibadah yang mengisi tuntutan agama."

"Islam mempunyai cara hidup, yang seharusnya dilihat Barat dan tamadun lain bahawa umat Islam kenal keindahan, mempunyai kesenian dan cara budaya menarik, bukannya budaya kasar, ganas,"


Cuba kita renungkan sejenak dan gambarkan, adakah Kuala Lumpur itu sebuah bandar raya yang dapat mencerminkan keindahan Islam serta budayanya? Atau ianya sekadar omongan kosong seumpama fatamorgana!

Saya berharap, oleh kerana kita telah memperolehi pengiktiran tersebut maka seharusnya kita melaksanakan misi kearah merealisasikannya. Saya tidak mahu nanti kita juga akan malu oleh kerana gelaran tersebut.


Kecelaruan Pentadbiran Perak


Semalam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan bahawa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah masih seorang Menteri Besar Perak yang sah, hati saya berasa tersenyum puas. Maka, berdasarkan keputusan tersebut bemakna perlantikan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar adalah tidak sah.

Namun begitu, saya yakin dan percaya bahawa UMNO akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Dan ternyata hari ini, UMNO telah memfailkan permohonan 'stay of execution' terhadap perintah tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Banyak perkara yang sedang berlegar dalam kepala saya setelah Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut. Apakah status kedudukan Dr. Zambry dan exconya sekarang? Bagaimana dengan segala keputusan yang telah dibuat oleh mereka sepanjang rampasan kuasa mereka itu? Bagaimana pula ketetapan atau keputusan yang dibuat ketika persidangan dewan undangan negeri sekarang ini?

Semua itu membuatkan saya jadi pening kerana setiap pihak mempunyai pendapat masing-masing. Cuma saya berharap agar pihak Mahkamah dapat membuat keputusan dalam kadar segera demi merungkaikan segala kekusutan dan kemelut yang menimpa Perak.


Monday, May 11, 2009

Mesyuarat Agung Pemuda Pas Negeri Kelantan Ke 50


Pada 09/05/2009, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengadakan mesyuarat agung kali ke 50 bertempat di Dewan Duyong, Perdana Resort Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu. Saya selaku perwakilan dari Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat turut hadir memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan ini.

Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Saudara Ahmad Sabki Yusof, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat. Satu kebanggaan buat saya apabila jawatankuasa muktamar telah membuat tayangan khas mengenai riwayat hidup bekas YDP Pas Kawasan Tumpat, Allahyarham Ust. Wan Jamil Wan Mahmood. Sekali lagi hati saya tersentuh apabila mengenangkan beliau kerana Allahyarham merupakan salah seorang guru politik saya.

Saya agak tertarik dengan ucapan aluan YB. Mohd Zaki Haji Ibrahim serta Saudara Ahmad Sabki sendiri yang turut menyentuh isu kepimpinan ulama dan profesional yang begitu hangat diperkatakan sekarang menjelang muktamar Pas. Timbul isu sama ada ulama atau profesional yang patut menerajui kepimpinan Pas. Apakah sebenarnya maksud ulama dan profesional tersebut? Pada pandangan saya, kedua-duanya tiada beza. Ulama itu bahasa arab, istilah yang diberikan kepada seseorang yang ahli dalam bidangnya tersendiri. Manakala profesional pula adalah asalnya bahasa Inggeris yang diberikan kepada seseorang yang juga ahli dan mahir dalam bidangnya. Saya bersetuju dengan pandangan saudara Ahmad Sabki, walau siapapun yang menerajui kepimpinan Pas, dia semestinya memiliki kualiti seorang ulama dan profesional.

Tahun ini juga merupakan tahun pemilihan untuk kepimpinan baru Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bagi sesi 2009/2011. YB. Ust. Abdul Latif Abd Rahman, Adun Mengkebang telah dipilih untuk mengetuai Dewan Pemuda bagi menggangtikan YB. Mohd Zaki Hj. Ibrahim yang bersara wajib setelah menewaskan pencabarnya, Ust. Nik Abduh Nik Abd Aziz.

Tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan baru. Semoga kepimpinan baru ini akan meneruskan agenda Islam dan parti.


ALLAHU AKBAR!!!!!