hasbunallah

hasbunallah

Monday, August 31, 2009

Merdekakah Kita?


1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan itulah tema sambutan Hari Kemerdekaan negara kita yang ke 52 hari ini. Sambutan diadakan secara sederhana di dataran Parlimen kerana 31 Ogos kali ini tibanya pada bulan Ramadhan. Tambahan pula pihak kerajaan mengambil sikap berhati-hati bagi mengelak penularan wabak H1N1 yang masih melanda negara kita.

Setiap tahun kita akan mengadakan sambutan ulang tahun kemerdekaan apabila tanggalnya 31 Ogos. Namun satu persoalan yang semestinya kita tanyakan pada diri kita ialah 'Adakah kita benar-benar merdeka?'. Dalam akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan bahawa kira-kira 200 orang remaja lelaki dan perempuan dalam satu operasi diambang merdeka kerana berkelakuan tidak senonoh serta menjolokkan mata.

Merdekakah kita tatkala kita lebih menjunjung undang-undang karangan manusia dan lebih memahami dari peraturan syariat yang diturunkan Allah? Tidakkah fikiran kita masih terjajah dengan candu-candu moden yang dicipta barat yang dilabelkan dengan pelbagai jenama termasuklah idealogi, hiburan, kebebasan, hak asasi, hak sama rata dan sebagainya yang tidak didasarkan kepada agama.

Mungkin benar kita telah merdeka dari segi penjajahan fizikal, namun bolehkah kita katakan bahawa kita telah bebas merdeka dari penjajahan fikiran? Sejak saya mengenali politik, setiap Perdana Menteri mempunyai idea pemerintahan masing-masing. Tun Dr. Mahathir dengan Wawasan 2020 nya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan terbaru pula Dato' Seri Najib dengan 1 Malaysia.

Namun adakah dengan setiap idea tersebut telah membuktikan kita semua tidak lagi terjajah? Entahlah..

Wednesday, August 26, 2009

Suara-Suara Sumbang Yang Kedengaran


Sekali lagi isu model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah dikenakan hukuman 6 kali sebatan kerana meminum arak menjadi isu hangat diperkatakan. Sebelum ini saya telah mengulas mengenai perkara tersebut dalam entry yang lalu. Tapi isu ini kembali hangat susulan pihak berkuasa menangguhkan hukuman tersebut dengan alasan tiada kepakaran menyebat dari perspektif syariah.

Nampaknya, undang-undang mengenai hukuman bagi kesalahan tersebut telah ada. Namun cara aplikasi hukuman tersebut pula masih belum dibuat. Ini yang membuatkan seolah-olah undang-undang tersebut menjadi pelik. Sekadar hukuman sahaja yang dapat dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai kepakaran.

Persoalan yang agak pelik juga ialah terdapat suara-suara sumbang yang menyuruh atau menasihatkan supaya model tersebut membuat rayuan terhadap hukuman sebatan itu. Padahal model itu sendiri redha dan pasrah dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah serta bersedia untuk menerimanya. Ini orang lain yang tidak ada kena mengena pulak macam terasa seolah-olah mereka yang akan kena sebat. Ataupun memang mereka takut akan kena sebat suatu hari nanti sekiranya tertangkap dan disabitkan meminum arak?

Sohibus Somahah Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan bahawa sepatutnya kesalahan minum arak ini dihukum 80 kali rotan. Kalau setakat enam kali sebatan itu, apa yang nak diriuhkan. Terapat juga pemimpin negara kita yang masih tidak faham dengan hukuman syariah ini. Kita canangkan sampai luar negara bahawa Malaysia ini sebagai sebuah negara Islam model Madinah al-Munawwarah seperti zaman Rasulullah, tapi yang peliknya pemimpin tidak seperti Rasulullah.

Entah apa hendak jadi pun saya tidak tahu tapi perlbagai khabar angin yang berlalu seolah-olah ada tangan-tangan ajaib yang turut mencampuri urusan perlaksanaan hukuman tersebut. Hanya Allah sahaja Yang Maha Tahu.

Tuesday, August 25, 2009

Allahu Akbar...Tahniah Ustaz Salleh Man


Allahu Akbar... segala puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah kerana dengan rahmat dan bantuanNya, Pas masih lagi memenangi kerusi Dun Permatang Pasir apabila Ustaz Salleh Man telah diumumkan sebagai menang dalam Pilihan Raya Kecil N.11 Permatang Pasir hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS Ustaz Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi. Majoriti yang diraih Ustaz Salleh 4,551, kurang 882. Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.

Tahniah kepada semua jentera parti yang terlibat sepanjang tempoh kempen sehingga ke hari pembuangan ini yang telah bertungkus lumus menyumbang tenaga terutamanya kepada Legal Team.

Ya Allah...Bantulah Kami


Saya sangat terkilan kerana tidak dapat bersama dengan sahabat-sahabat peguam yang lain untuk bertugas di PRK N. 11 Permatang Pasir hari ini. Bukan disengajakan tetapi hambatan kes bicara di Mahkamah Kota Bharu menyebabkan saya terhalang untuk ke sana.

Sahabat yang telah berada disana menghubungi saya bertanyakan kehadiran saya kesana. Hanya doa saya sahaja yang mampu saya titipkan buat sahabat-sahabat yang sedang berjuang di sana.

Ya Allah...bersempena bulan yang dimuliakanMu ini, kami mohon bantuanMu dalam perjuangan ini. Bantulah kami menghadapi segala musuh dan rintangan demi menegakkan kalimahMu yang Maha Tinggi. Jangan Engkau biarkan agama terus dihina tanpa pembelaan.

Ya Allah...bantulah kami...

Monday, August 24, 2009

Kalam Hikmah 2

al-Haq (Allah Yang Maha Besar) melihat segala rahsia dan zahir hambaNya pada setiap nafas dan keadaan. Maka mana-mana hati yang dilihat oleh Allah mengutamakanNya daripada yang lain, nescaya Allah memeliharanya daripada kedatangan – kedatangan ujian dan kesesatan- kesesatan fitnah yang memesong pandangannya kepada yang lain.

Ini adalah salah satu peningkatan perjalanan Ahli Tariqat yang dinamakan dengan Maqam Muraqabah dan Maqam Ihsan. Dia mengetahui bahawa Allah s.w.t melihatnya pada setiap ketika dan mengetahui apa yang terdapat di dalam dirinya. Maka jadilah keadaannya sentiasa bersama Allah zahir dan batin, di dalam khallwat (ketika bersendirian di tempat yang sunyi) dan juga jalwat (ketika bersama manusia di tengah orang ramai).

Dia tidak melihat pada segala perbuatannya melainkan Maulanya. Begitu juga dia tidak menghadapkan segala hajatnya melainkan kepadaNya. Dengan ini, terhasilah perkataan Syeikh Abi Madyan bahawa intipati perjalanan itu ialah:
Mengetahui orang yang salik bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang melihat segala rahsianya dan zahirnya pada setiap nafas dan kelakuan.

Di petik dari Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki.

Saturday, August 22, 2009

Siapakah Yang Benar?

Bermula sejak hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 11 Permatang Pasir, pelbagai kenyataan dibuat oleh calon BN, Rohaizat Ibrahim dan juga para pemimpin BN/ UMNO mengenai calon mereka yang kena 'struck off' oleh Majlis Peguam Malaysia atas kesalahan pecah amanah.

Pada mulanya pihak BN/ UMNO menyatakan bahawa calon mereka itu hanyalah 'mangsa keadaan' kerana rakan kongsi calon tersebut yang sebenarnya melakukan perkara tersebut. Namun ia telah perjelaskan oleh Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan serta dijawab sendiri oleh bekas rakan kongsi calon BN, Yusri Ishak. Yusri juga turut mendedahkan bahawa beliau hanyalah mengurus dan menyelia firma guaman mereka di Ipoh sahaja, manakala Rohaizat pula menumpukan pengurusan firma di cawangan Butterworth.

Sekarang nampaknya Rohaizat kelihatannya tersepit dengan keadaan ini apatah lagi rayuannya ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Badan Disiplin Majlis Peguam Malaysia yang membatalkan beliau dari senarai pengamal guaman telah ditolak. Selepas ini entah apa lagi 'defence' yang akan dibuat oleh Rohaizat dan BN dalam isu ini.

Thursday, August 20, 2009

Bila Amanah Dianggap Ghanimah

Dunia sekarang ini sedang menuju kehancuran disebabkan ramai manusia yang menganggap jawatan yang diberikan kepada mereka untuk dipertanggungjawab dan ditunaikan selayaknya seolah-olah ghanimah (harta rampasan perang) yang boleh dimiliki untuk kegunaan diri sendiri.

Mereka lupa bahawa jawatan tersebut merupakan amanah Allah s.w.t dan ianya akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah s.w.t di akhirat kelak mengenai amanah kepimpinan tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-
Abu Dzar r.a berkata: Ya Rasulullah tidakkah engkau memberi jawatan apa-apa kepadaku? Maka Rasulullah memukul bahuku sambil berkata: Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah dan jawatan itu sebagai amanah yang pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya. (Riwayat Muslim)[1].

Yang menjadi masalah paling besar sekali ialah apabila orang yang tidak layak berebut-rebut untuk mendapatkan amanah tersebut seolah-olah ianya suatu alat kuasa untuk mencapai hajat atau niat tertentu. Maka terjadilah perebutan yang akan mendatangkan kemusnahan sekiranya amanah tersebut akhirnya diperolehi oleh orang yang tidak layak untuk memikulnya. Hasilnya berlakulah penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, diktator serta huru- hara dalam masyarakat.

Dari Abdullah bin Amru bin al-Ash berkata bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati sanubari manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang-orang berpengetahuan (ulama). Apabila orang berpengetahuan telah punah, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang jahil menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang jahil ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan.[2]

Allah s.w.t telah memberikan perintah supaya amanah itu diserahkan kepada ahlinya sebagaimana ayat: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.[3]

Berdasarkan ayat diatas, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menyerahkan sebarang amanah kepada orang yang benar-benar layak untuk memikulnya. Ianya tidak boleh diserahkan kepada orang yang sembarangan kerana ia boleh disalah gunakan oleh mereka. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda : Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran. Dia bertanya: Bagaimana orang tidak memegang teguh amanah itu Ya Rasulullah?. Baginda menjawab: Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran.[4]

Hadis diatas mengandungi amaran Rasulullah s.a.w mengenai kehancuran yang bakal dihadapi manusia sekiranya amanah itu diserahkan kepada orang yang tidak selayaknya. Antara masalahnya ialah apabila orang yang meminta untuk memegang amanah tidak mengambil kira sama ada mereka memang benar-benar layak untuk memikulnya atau tidak. Maka berlakulah perebutan yang tidak sepatutnya yang akan membawa kepada kepada perpecahan.

Kadang-kadang kita hanya menilai tahap kemampuan manusia sama ada seseorang itu layak untuk memikul amanah atau tidak hanyalah melalui mata kasar kita semata-mata. Kita lupa kepada panduan al-Quran, sunnah Rasulullah dan pendapat ulama mengenainya. Hasilnya, orang yang tidak layak diberikan amanah.

Allah s.w.t telah berfirman dalam ayat berikut:-

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahui.”[5]

Al-Kalbi mengatakan bahawa maksud berkhianat kepada Allah s.w.t dan RasulNya iaitu membuat maksiat kepada keduanya. Sedang berkhianat kepada amanah itu maka setiap orang memang diamanahkan untuk menunaikan apa yang diperintahkan Allah s.w.t ke atasnya. Jika mahu dikhianatinya, dan jika mahu dirunaikannya,tiada seorang pun yang tahu akan rahsianya ini selain Allah s.w.t. [6]

Rasulullah s.a.w telah bersabda riwayat Abu Dzar r.a:-
Bahawa itu adalah suatu amanah dan ia pada hari kiamat akan menjadi kerugian dan penyesalan,kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan cara hak serta menunaikan kewajipan yang terpikul di atas bahunya.[7]

Satu panduan yang amat penting untuk kita hayati bersama mengenai sesetengah manusia yang berlumba-lumba untuk meminta jawatan iaitu tidak boleh diberikan kuasa atau jawatan kepada yang memintanya atau tamakkannya. Ini kerana jawatan di dalam Islam adalah amanah dan ianya diterima dengan tanggungjawab dan perasaan takutkan Allah sedang mereka yang memintanya atau tamakkannya, adalah tanda golongan yang tidak merasai besarnya tanggungjawab di hadapan Allah. Maka menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang mempunyai kuasa menentu dan memilih untuk tidak memilih mereka yang tamakkan kuasa.[8]

Rasulullah s.a.w sendiri melarang para sahabat dan umat Baginda daripada menagih jawatan pemimpin. Baginda tidak akan memberikan jawatang tersebut kepada sesiapa yang datang meminta kepadanya sebagaimana hadis berikut:-
“Daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.aw. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah (s.a.w)! Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya[9]

Justeru itu, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamakkannya dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka dia tidak dilantik. Ini dapat menyelamatkan dua perkara bahaya[10]:-

i. Amanah kepimpinan jatuh ke tangan mereka yang tidak takutkan Allah dan tidak memahami bahawa kepimpinan akan dipersoalkan di Akhirat.
ii. Berlakunya perebutan kuasa di kalangan umat yang akhirnya membawa kehancuran.

Namun begitu, para ulama Islam seperti al-Imam al- Mawardi (meninggal 450H) di dalam Al-Ahkam as- Sultaniyyah menyebut bahawa adakalanya meminta jawatan memperolehi pahala sekiranya tujuannya untuk menegakkan kebenaran dan dibimbangi orang yang tidak layak mendapat tempat tersebut.[11]

Bukan semua orang boleh memegang jabatan kepimpinan, ia perlulah memenuhi syarat-syarat tertentu bagi memastikan bahawa jawatan tersebut dipegang oleh orang yang benar-benar layak mengikut pertimbangan Islam. Ulama menggariskan beberapa syarat yang wajib ada untuk seseorang yang ingin memegang jawatan pemimpin seperti[12] :-
1. Muslim,'akil baligh dan laki-laki
2. Adil . Ertinya ia tidak fasik seumpama tidak meninggalkan salat beramal apa yang ia ketahui. Tidak menyalahi katanya akan perbuatannya. Tidak menyalahi akan kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.
3. Berilmu. Ertinya ia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu ai'n dan fardhu kifayah sehingga dapat membezakan diantara yang maaruf dan yang,munkar. Mengetahui perkara-perkara'yang berkaitan dengan pimpinan.
4. Mempunyai kudrat, kemampuan. Ertinya boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan samada menggunakan tenaga; perkataan, tulisan atau flkiran di dalam apa suasana pun.
5. Beradab mengikut akhlak Islam. Ertinya seseorang pemimpin haruslah mampu memberi contoh tauladan mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang di bawah pimpinannya. Selain itu di dalam dirinya mengandungi sifat ikhlas, jujur tidak angkuh, ria' dan sebagainya. Ringkasnya terkumpul di dalam dirinya sifat-sifat terpuji dan jauh dari sifat-sifat terkeji.
6. Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan.

Ciri terpenting dalam perjuagan dan kepimpinan Islam bagi meluaskan sedikit huraian syarat ketiga di atas maka seorang pemimpin yang menamakan dirinya sebagai barisan pemimpin Islam, tahap yang paling minima haruslah ia mampu membaca ayat al-Quran dan petikan-petikan hadith serta memahami maksudnya. Lebih jauh dapat menghafal ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut.

Lebih jauh lagi memahami (ilmu Al-Quran) dan ."Mustalihul Hadith". Membaca Siratul Rasul, sahabat-sahabat, salaful salihan,dan riwayat hidup ulama-ulama. Membaca dan mengenali kitab-kitab yang Muktabar di bidang Tauhid, Fikah, Tasauf, Tafsir, Hadith. Dapat memahami mana yang ijmak dan mana yang ikhtilaf, mana yang usul dam mana yang furu'. Berkaatan dengan ini sedapat mungkin haruslah seseorang pemimpin itu mengetahui bahasa arab, Kerana kitab-kitab yang asal berkaitan dengan perkara tersebut kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Akibat daripada tidak memahami dan mengetahui hal-hal tersebut, kadang-kadang boleh menimbulkan berbagai-bagai kesan yang tidak baik dalam kepimpinan, hingga merebak kepada masyarakat yang lebih besar, yang boleh mencacatkan kesempurnaan Islam.

Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu‘ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifatnya yang melayakkan memperolehi jawatan tersebut iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain.”[13]

Setiap masa kita perlu ingat bahawa kita sendiri adalah dilahirkan sebagai pemimpin. Walaupun bukan sebagai pemimpin untuk orang ramai, namun kita adalah pemimpin diri kita sendiri. Oleh yang demikian, setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan mengenai kepimpinan mereka.
Abdullah bin Umar mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas kepimpinannya. Imam itu pemimpin dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya. Laki- laki itu pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab tentang kepmimpinannya. Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya. Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya dan bertanggungjawab terhadapa kepimpinannya. Kata Abdullah: Agaknya Rasulullah s.a.w juga bersabda: Lelaki itu pemimpin bagi harta benda ayahnya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Kamu semuanya adalah pemimpin dan bertanggungjjawab atas kepimpinannya.[14]

Sebagai satu muhasabah untuk diri saya dan kita semua, saya petik satu kalam hikmah dari Syeikh Abu Madyan:-

Jadikanlah kesabaran sebagai bekalanmu, redha sebagai kenderaanmu, dan al-Haq sebagai matlamat dan penghadapanmu.[15]


______________________________________________________________________
[1] Imam Nawawi, Riyadhu Shalihin. Victory Agencie, Kuala Lumpur. Cetakan Keempat 2009. Muka Surat 503.
[2] Sahih Bukhari. Hadis no: 76
[3] An-Nisa’ : 58
[4] Sahih Bukhari : Hadis no: 1746.
[5] Al-Anfal : 27
[6] Al-Bakri, Dr. Mohamad Zulkifli, Himpunan Hadis Modal Insan. Telaga Biru, Kuala Lumpur. Cetakan Pertama Mac 2007. Muka surat: 5
[7] Al-Bakri, Dr. Mohamad Zulkifli, Himpunan Hadis Modal Insan. Telaga Biru, Kuala Lumpur. Cetakan Pertama Mac 2007. Muka surat: 6.
[8] Mohd Asri Zainul Abidin, Larangan Meminta Jawatan Pemimpin. Majalah an-Nida’ http://www.alnidaa.com.my/upload/File/buletin/baru%20nida%2011.pdf
[9] Al- Bukhari, hadis no: 1898
[10] Mohd Asri Zainul Abidin, Larangan Meminta Jawatan Pemimpin. Majalah an-Nida’ http://www.alnidaa.com.my/upload/File/buletin/baru%20nida%2011.pdf
[11] Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, ms 95, ctk Dar al-Kutub al-Ílmiyyah , Beirut.
[12] Abdul Wahab b Hj Zakaria, Konsep Pimpinan Dalam Islam. http://www.angelfire.com/in/elcom98/pimpin.html

[13] Al-Qurtubi, Al-Jami’li Ahkam al-Qur’an, 9/216, cetakan Dar al-Fikr, Beirut
[14] Sahih Bukhari. Hadis no: 482
[15] Al- Maliki, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin. Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan. Sofa Poduction, cetakan kedua Oktober 2008. muka surat: 68.

Tuesday, August 18, 2009

Ya Allah..Bantulah Aku

Bila fikirkan mengenai tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan nanti di hadapan Tuhan Rabbul Jalil, rasanya saya tidak akan bersetuju untuk memegang jawatan Pengerusi Masjid at-Tawwabeen. Namun bila memikirkan untuk mengelak dari perpecahan dari kalangan para jemaah, saya terpaksa bersetuju demi mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah.

Saya pun seperti buntu, kenapa jawatan yang tidak bergaji tersebut seolah-olah menjadi rebutan. Padahal ianya tidak memberikan sebarang habuan dunia pun untuk dibanggakan. Kenapalah kita masing-masing tidak bermuhasabah diri merenung niat hati kita sendiri. Tidakkah kita sedar apa sebenarnya tujuan hidup kita?

Ya Allah, aku bermohon kepadaMu akan pertolongan dan bantuan dalam menunaikan amanah ini. Ya Allah, leraikanlah kekusutan yang ada dan damaikanlah yang kepanasan. Ya Allah, aku hanyalah hambaMu yang terlalu lemah dalam menghadapi ujian ini. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian melalui ujian ini. Ya Allah...Bantulah aku......

Friday, August 14, 2009

Perginya Tak Kembali Lagi



al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim, vokalis kumpulan nasyid terkenal Rabbani yang meninggal dunia pada 13/08/2009. Beliau telah dilaporkan rebah sewaktu mengadakan rakaman program Syahadah musim kelima.

Saya meminati nasyid-nasyid yang beliau alunkan sejak saya berada di Maahad Muhammadi lagi. Saya membeli kaset-kaset nasyid yang ketika itu hanya berharga RM5 sahaja. Saya juga percaya semua peminat nasyid tanah air akan merasa kehilangan beliau tersebut. Seingat saya, kumpulan nasyid yang beliau pimpin telah memenangi banyak anugerah yang boleh kita banggakan. Beliau juga seharus dan sepatutnya dikenang seperti artis-artis yang telah berjasa.

Semoga Allah s.w.t merahmati roh beliau, menerima segala amal beliau, menempatkan roh beliau disamping para solehin dan dibangkitkan dengan darjah kemuliaan.

Wednesday, August 12, 2009

Kalam Hikmah 1

Berkatalah Syeikh al-Muhaqqiq Sayyidi Abu Madyan Syu'aib ibn al-Husin al-Ansori al-Andalusi al-Tulmasani:-"Tidak patut mendengar ilmu ini melainkan orang yang telah terhasil padanya empat perkara; zuhud, ilmu, tawakkal dan yakin."
Maksudnya ialah tidak layak mendengar ilmu Tasawuf melainkan orang yang memiliki empat sifat:-

1. Zuhud

Meninggalkan mengambil yang halal secara berlebihan kerana orang yang salik itu bermusafir kepada Tuhannya. Apabila dia membawa barang berlebihan daripada keperluan perjalanannya, akan membebankan dan menghalang kelancaran perjalanannya.

2. Ilmu

Ilmu syariat yang berperanan memperbaiki zahirnya. Orang yang tidak mengetahui cara memperbaiki zahirnya, tidak akan mengetahui cara untuk memperbaiki batinnya kerana orang yang tidak berhenti di pintunya, tidak akan dapat memasuki rumah Kekasihnya.

3. Tawakkal
Memadai dengan pengetahuan Allah ke atasnya daripada bergantung hati kepada yang lain. Jika kamu mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui segela perbuatan kamu, Maha Berkuasa untuk mencukupkan segala keperluan kamu, Maha Penyayang melebihi kasih sayangmu terhadap dirimu sendiri, nescaya hati kamu akan menghadap sepenuhnya kepadaNya tanpa menghadap kepada selainNya.

4. Yakin
Kepercayaan yang qatai' (putus dan bulat) terhadap segala yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya tanpa rasa syak. Dengan demikian, segala yang ghaib itu seakan-akan dilihat di depan matanya. Maka dia mengetahu dengan perasaannya, bahawa Allah tidak menjadiakn jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya, tidak dijadikan pancainderanya melainkan untuk melakukan ketaatan kepadaNya, dan tidak dijadikan hatinya emelainkan untuk mengingatiNya dan tidak berpaling kepada selainNya.
Dipetik daripada Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan karangan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Saturday, August 8, 2009

Kekecohan: Siapa Yang Salah?

Pihak kerajaan telah membuka kaunter aduan awam di sekitar Jalan Tunku Abd. Rahman (TAR) bagi menerima aduan para peniaga sekitar jalan tersebut yang terjejas akibat Demonstrasi Hapuskan ISA baru-baru ini. Mereka mendakwa bahawa para peniaga di Jalan TAR mengalami kerugian teruk akibat demontrasi tersebut kerana terpaksa menutup kedai dan tiada pelanggan.

Saya tidak pasti sejauh manakah benarnya dakwaan tersebut. Namun apa yang saya tahu ialah ramai orang telah pergi membeli-belah di Jalan TAR sebelum menyertai demontrasi tersebut sehinggakan para peniaga tidak menang tangan untuk melayan mereka. Tapi yang pastinya demonstrasi yang dirancangkan secara aman dan terkawal itu telah bertukar menjadi huru-hara akibat campur tangan pihak polis dan FRU yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan belantan dengan sewenang-wenangnya bukanlah satu tindakan bijak untuk menyuraikan satu perhimpunan aman. Kecualilah terdapat bukti bahawa perhimpunan itu akan mencetuskan keganasan sebagaimana yang berlaku di Thailand dan Indenosia.

Walaupun tindakan pihak polis dan FRU itu mungkin dibenarkan undang-undang atas dasar menyuraikan satu perhimpunan haram, namun ia juga sepatut mengambil kira perikemanusiaan. Para pesert himpunan ditangkap dan diperlukan denganm begitu kasar sekali seolah-oleh mereka adalah penjenayah besar yang dikehendaki dunia. Janganlah kita menggunakan undang-undang sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang melampaui batas kemanusiaan.

Saya yakin dan percaya sekiranya pihak polis dan FRU tidak menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan tersebut, huru-hara pasti tidak akan berlaku. Kehadiran pihak keselamatan sepatutnya atas dasar untuk menjaga keselamatan agar tidak berlaku kekecohan, namun sebaliknya telah berlaku kerana dikatakan bahawa pihak polis adalah punca berlakunya kekecohan tersebut. Nampaknya kita seperti sudah tidak selamat lagi bila berdepan dengan pihak polis dan FRU.

Wednesday, August 5, 2009

Hormatilah Sensitiviti Umat Islam


Saya merasa turut terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai dua isu yang agak hangat diperkatakan di negera kita beberapa hari yang lalu berkaitan agam yang kita imani iaitu Islam. Isu pertama ialah mengenai Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, Shah Alam baru-baru ini.

Tindakan MBSA itu berdasarkan peraturan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri serta enakmen syariah negeri Selangor. Kerajaan Selangor telah memutuskan semua minuman keras tidak dibenarkan dijual secara terbuka di kedai runcit dan 7-eleven tetapi ia perlu lesen khas untuk orang bukan Islam.

Namun begitu, exco negeri Ronnie Liu, daripada DAP, yang didakwa "campur tangan dalam hal-ehwal Islam" apabila memaksa MBSA supaya memulangkan semula arak yang telah dirampas tersebut dengan alasan bahawa minuman yang mengandungi hanya 8% alkohol sahaja tidak dianggap sebagai minuman keras.

Sepatunya Liu perlu lebih peka terhadap maksud 'arak' mengikut pandangan Islam. Apabila dikatakan arak, ia tetap haram sama ada ianya banyak ataupun sedikit. Lagipun kerajaan Selangor hanyalah tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka sahaja. Sedangkan orang cina atau bangsa lain masih boleh membeli dan meminumnya sampai mabuk sekalipun di premis yang telah dikhaskan untuk mereka. Kerajaan Selangor tidak menghalangkan penjualan arak di premis khas untuk orang-orang bukan Islam. Malah kalau mereka hendak minum sampai habis setangki pun tidak mengapa asalkan di tempat yang telah dikhaskan.

Inilah yang masih belum difahami oleh kebanyakan pemimpin yang bukan beragama Islam. Mereka terlalu meremehkan sensitiviti dan perasaan umat Islam. Saya harap Liu perlu lebih berhati-hati dalam berbuat sesuatu yang berkaitan dengan orang Islam demi menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di Malaysia ini.

Isu kedua yang turut menarik perhatian saya ialah tindakan biadap dan melampau Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi merangkap Ketua Staf Ketua Menteri Pulau Pinang , menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai 'ekstremis agama' yang disiarkan di dalam akhbar the Star Ahad lalu di mukasurat N12.

Saya pun tidak pasti apakah asas Jeff Ooi membuat tuduhan melampau begitu terhadap sebuah badan NGO yang telah sekian lama di tubuhkan untuk menjaga hal ehwal orang Islam terutamanya para pelajar. Ataupun mungkin juga Jeff Ooi rasa cemburu kerana tidak dapat menyertai JIM tersebut?

Saya agak hairan, kenapa penganut agama lain terlalu mudah untuk menuduh Islam dengan pelbagai label serta mencampuri urusan agama Islam yang mereka sendiri tidak fahami. Seingat saya, umat Islam tidak pernah membuat kenyataan atau tindakan yang menunjukkan agam lain selain dari Islam itu sebagai pelampau serta teroris atau pengganas walaupun jelas umat Islam dibunuh sebagaimana yang berlaku di negara China baru-baru ini.

Nampaknya penganut agama lain yang selalunya menghendaki supaya umat Islam menghormati hak mereka sedngkan mereka sendiri tidak menghormati hak dan sensitiviti dan perasaan umat Islam.

TOLONG FIKIRKANLAH PERKARA INI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT YANG BERBILANG AGAMA DI MALAYSIA.