Pagi ini saya telah berpeluang untuk menghadiri satu program yang bertajuk Diskusi Semasa: Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang anjuran Urusetia Penerangan Kerjaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Muslimat Legal Team (Muslet) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bertempat di Dewan Besar Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu.
Antara pembentang kertas kerja yang telah dijemput ialah Ass. Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz (Pensyarah Undang-Undang UIAM), Dato Haji Wan Abd. Mutalib Embong (Mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu) dan Tuan Haji Mohd. Hassan Salleh (Bekas Pegawai Kewangan Petronas).
Para peserta telah didedahkan oleh para panelis mengenai asas tuntutan royalty oleh Kerajaan Kelantan bagi menjawab beberapa kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Mustapha Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang menafikan bahawa Kelantan berhak untuk mendapatkan royalty minyak.
Penafian oleh kedua-dua menteri tersebut seolah-olah menidakkan perjanjian petroleum yang telah ditandatangan bersama. Walaupun Akta dan Perjanjian tersebut tidak pernah menyebut perkataan royalty, namun disana terdapat perkataan ‘cash payment’ atau bayaran tunai sebanyak 5% yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan negeri. Kalau tidak mahu beri royalty pun tidak mengapa, tapi berikan bayaran tunai sebanyak 5% tersebut yang menjadi hak rakyat Kelantan.
Program ini telah memberikan penjelasan yang cukup baik kepada rakyat Kelantan mengenai status sebenar hak yang sepatutnya mereka perolehi dari negeri mereka. Ramai yang ingin mendapatkan penjelasan daripada ahli penal mengenai isu ini.
Apa hendak jadi dengan dua menteri yang mengaku sebagai anak Kelantan tapi menafikan hak rakyat Kelantan sendiri.
No comments:
Post a Comment