hasbunallah

hasbunallah

Sunday, March 28, 2010

Pendidikan Seks Di Sekolah


Cadangan kerajaan untuk mewujudkan mata pelajaran pendidikan seks di sekolah mengundang pelbagai reaksi dari ibu bapa dan masyarakat. Ada yang menyokong cadangan tersebut dan tidak kurang pula yang tidak bersetuju. Antara tujuan kerajaan untuk mengadakan subjek tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai perkara-perkara berkaitan seks dan anatomi tubuh badan manusia. Ini adalah kerana bagi menangani gejala sosial dikalangan remaja terutamanya jenayah rogol, cabul,zina serta pembuangan bayi yang telah menjadi masalah utama negara masa kini.

Pada pandangan saya, pihak kerajaan perlu membuat suatu kajian yang teliti berkenaan pro dan kontra serta efek yang mungkin timbul daripada implimentasi mata pelajaran pendidikan seks di sekolah tersebut. Masyarakat tentunya tidak mahu kerajaan memutuskan perkara ini dengan tergesa-gesa tanpa membuat penilaian yang rapi kerana perancangan yang tidak matang (premature) dalam isu yang besar ini akan menyebabkan timbulnya isu yang lebih besar diluar jangkaan kita. Kerajaan juga perlu mengambil pengajaran daripada negara-negara yang telah menjadikan pendidikan seks sebagai salah satu pelajaran yang diajar di sekolah seperti Amerika Syarikat.

Sebelum dilaksanakan cadangan tersebut, pihak kerajaan perlu jelas dalam menentukan matlamat akhir dalam perlaksanaan pembelajaran subjek pendidikan seks tersebut. Adakah ianya untuk mengelak para remaja terjebak dengan jenayah zina atau hanya sekadar untuk mengatasi masalah rogol dan pembuangan bayi semata-mata. Kita yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t perlu jelas dalam perkara ini bagi menentukan hala tuju kita mengenai cadangan tersebut. Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk membendung jenayah rogol dan pembuangan bayi, saya percaya dengan adanya pendidikan seks disekolah akan meningkatkan lagi indek jenayah tersebut.

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (at-Tahrim: 6)


Ayat diatas adalah antara ayat-ayat al-Quran yang menjadi dasar dalam mendidik ahli keluarga terutamanya anak-anak agar mematuhi segala suruhan Allah s.w.t dan menjauhi segala laranganNya.

Ibn Jarir dan Ibn Munzir meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a mengenai sabda Rasulullah s.a.w:

Taatlah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah serta suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-laranganNya. Kerana hal itu akan memelihara mereka dan kamu dari api neraka.[1]

Oleh yang demikian, sebagai orang yang mengaku sebagai Muslim perlu menjadikan kedua-dua nas ini sebagai asas pendidikan anak-anak. Sebagaimana kepercayaan kepada Rasulullah dan kitab yang diturunkan Allah menjadi antara rukun-rukun iman yang wajib kita imani, maka kita kenapa harus kita ingari perintah-perintah tersebut.

Allah s.w.t telah menjelaskan dalam firmanNya:

Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.(al-Isra’ : 32)


Saya percaya bahawa ramai orang dikalangan masyarakat risau dengan perkara ini kerana ditakuti mata pelajaran tersebut akan mencetuskan lagi keinginan para remaja untuk mengetahui malah untuk melalui sendiri keseronokan seks tersebut.

Sebagai orang Muslim, kita wajib mendidik anak-anak kita ini melalui garis panduan yang telah ditetapkan Islam dan bukannya meniru mana-mana bangsa yang tidak sedikitpun ambil berat mengenai pendidikan Islam. Kenapa perlu kita ikuti masyarakat lain sedangkan kita mengatakan bahawa kita ini beriman dengan segala-gala rukun Iman? Padahal Allah s.w.t telah menyebut di dalam al-Quran,

Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21)


Allah sw.t. telah menjamin bahawa Rasulullah itu merupakan tauladan ikutan yang baik untuk dicontohi dalam kehidupan manusia. Dalam perkara ini adakah pihak kerajaan yang mencadangkan mata pelajaran seks tersebut mengambil kira perkara-perkara ini dalam menetapkan silibus mata pelajaran tersebut.

Ada antara penyokong cadangan tersebut menghujahkan bahawa Dr. Abdullah Nashih Ulwan ada menyebut dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyatul Awlad, bahawa pendidikan seks anak-anak adalah antara pendedahan ilmu yang patut diajar.

Namun perlu diteliti bahawa Dr. Abdullah meletakkan pendidikan seks kepada anak-anak disenaraikan pada tempat ketujuh dalam senarai seperti berikut:
1.      Tanggungjawab pendidikan Iman
2.      Tanggungjawab pendidikan akhlak
3.      Tanggungjawab pendidikan fizik
4.      Tanggungjawab pendidikan intelektual
5.      Tanggungjawab pendidikan Psikologi
6.      Tanggungjawab pendidikan sosial
7.      Tanggungjawab pendidikan seksual

Jadi, sekiranya kita mahu mengadakan pendidikan seks untuk anak-anak, dimanakah kita tinggalkan enam tanggungjawab pendidikan yang lain yang telah disenaraikan terlebih dahulu.

Model pendidikan anak-anak seperti yang dinyatakan oleh Dr. Abdullah Nashih Ulwan adalah antara yang termasyhur disebut oleh para ulama-ulama. Jika dilihat dalam kitab beliau, pendidikan iman adalah paling utama perlu diterapkan kedalam jiwa anak-anak. Ia dengan sendirinya menunjukkan betapa peri pentingnya iman sebagai asas pendidikan manusia. Berapa banyak kita lihat manusia yang mempunyai pendidikan tinggi namun ianya sesat dalam ilmu kerana tidak mempunyai asas keimanan yang kukuh. Malah ada diantara mereka kelihatannya menentang hukum-hukum yang telah ditentukan Allah s.w.t dengan menganggapnya kuno dan bertentangan dengan hak asasi manusia!

Jadi, sekiranya kita hanya menerapkan pendidikan seks kepada anak-anak yang kononnya boleh mengelakkan merebaknya gejala sosial sedangkan tiada asas keimanan yang kukuh dan sempurna diterapkan, saya percaya ia bukan sahaja akan menemui kegagalan malah akan meningkatkan lagi gejala sosial tersebut.

Kenapa tidak sahaja kita perkenalkan pendidikan akhlak Islam kepada anak-anak yang merangkumi aspek pergaulan dan batasan-batasan yang perlu dijaga. Saya yakin dan percaya, jika kita cari jalan penyelesaian yang tidak diteraskan kepada agama ianya pasti akan menemui kegagalan.

Oleh yang demikian, cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan sebenar-benarnya dengan mengambil kira pendapat para ulama-ulama agar ianya selari dengan kehendak Islam sebagai sebuah agama yang kita imani.   


[1] Dr. Abdullah Nashih Ulwan, Pedoman Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. Penerbit Asy- Syifa’, Bandung. Cetakan Kedua 1995; 152.

No comments: