Pada 07 Ogos 2010 baru-baru ini, Badan Perhubungan Pas Negeri Kelantan telah menganjurkan satu program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2010 peringkat Negeri Kelantan bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK).
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Ahmad Bin Yaacob, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan. Manakala pembentang dari Pas Pusat ialah Ybhg Dato’ Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Naib Presiden Pas Pusat. Penutupnya pula disempurnakan oleh YB Dato Mohd Amar Bin Nik Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Saya yang telah diamanahkan sebagai pembentang mewakili Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dengan bantuan Bendahari DPPNK, Ustaz Wan Azimin Wan Adnan telah membuat pembentangan dari perspektif pemuda.
Walaupun kemunculan saya dihadapan hadirin yang memenuhi dewan Putik itu pada mulanya sedikit menggemparkan apabila seorang pemuda berambut panjang separas bahu bangun sebagai pembentang untuk mewakili DPPNK. Namun, dalam ucapan pembuka bicara saya lontarkan secara berseloroh ‘Jika saya yang berambut panjang pun menyertai PAS, takkanlah orang yang berambut pendek tak nak. Inilah kepelbagaian yang ada dalam PAS.”
Diantara isi pembentangan saya dalam program tersebut adalah seperti berikut:
Ucapan dan tema tersebut didasarkan satu firman Allah s.w.t ayat 8 dari surah al-Maidah:
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Maka ianya dapat dirumuskan sebagaimana berikut:
1. Syeikh Yusuf al-Qardhawi menyifatkan keadilan itu sebagai : memberikan hak kepada setiap yang berhak sama ada yang berhak tersebut individu atau sekumpulan manusia. Hak tersebut dalam bentuk apa pun sama ada bernilai atau tidak, tanpa melebihi atau mengurangi, sehingga tidak mengurangi haknya dan tidak pula menganiyai hak orang lain.
2. Islam mengarahkan setiap Muslim agar berlaku adil terhadap jiwanya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.
3. Setiap manusia mempunyai hak masing-masing tanpa mengira bangsa dan agama. Ianya wajib dihormati agar tidak dicalar dengan sikap tidak menghormati hak orang lain. Apatah lagi apabila ianya melibatkan hak-hak agama Islam yang kita imani.
4. Dalam ucapan Dato Seri Presiden tersebut ada menyebut mengenai kebobrokan UMNO serta kesilapan dan kesalahan mereka menyebabkan banyak kerosakan dan malapetaka yang menimpa Negara sama ada dari segi pembangunan insane, ekonomi, keharmonian masyarakat dan sebagainya. Jika ingin bicarakan satu persatu mengenainya, maka memadailah hanya saya seorang sahaja yang diberikan peluang bercakap hari ini, manakala perwakilan lain hanya sekadar mendengar, terangguk-angguk, tersengguk-sengguk dan terus lena.
5. Tapi saya kira para perwakilan hari ini sepakat dengan saya bahawa UMNO itu sebuah parti yang tidak dilandaskan ajaran Islam, tuturnya hanya manis sekadar dibibir sahaja namun hakikatnya hati mereka busuk umpama najis-najis yang berada dalam usus mereka.
6. Namun begitu, ingatlah bahawa kita ini adalah Ummatul Dakwah dan bukannya Ummatul Qada’. Nah, antara metode dakwah yang paling berkesan sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w adalah dakwah bil hal.
7. Oleh yang demikian, sebagai pendokong perjuangan Islam seharus dan sepatutnya kita mengamalkan serta menunjukkan aklak Islamiyah dalam diri kita sendiri agar mad’u kita akan tertarik dengan keindahan Islam yang terpancar dari akhlak dan budi kita.
8. Janganlah disebabkan kita, sasaran dakwah kita semakin jauh malah ada juga antara rakan-rakan seperjuangan kita turut menjauhkan diri dari kita akibat akhlak dan sikap kita yang tidak melambangkan diri sebagai pejuang Islam.
9. Jika kita selusuri sejarah, maka akan kita temui bahawa bukan sedikit manusia yang memeluk Islam oleh kerana tertarik dengan akhlak Islamiyah yang ditunjukkan oleh orang Islam dan tidak kurang juga sebaliknya.
10. Ditekankan bahawa setiap dewan, pimpinan, dan ahli parti dipelbagai peringkat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memperkasakan perjuangan menegakkan keadilan.
11. Setiap cabang dewan mempunyai tanggungjawab yang tersendiri perlu ditunaikan walaupun ia mungkin Nampak kecil dari satu sudut namun ia cukup besar dari sudut yang lain. Seumpama tahi mata, jika dilihat sepintas lalu ianya tidak mempunyai sebarang nilai malah Nampak tidak senonoh sekiranya dibiarkan sahaja tertampal disudut mata. Namun, jika dikaji peranan besar tahi mata itu adalah mengeluarkan segala kotoran yang telah terperangkap di dalam mata. Dikala itu pasti akan terbersit rasa kesyukuran di hati kita.
12. Maka kita perlu bergerak selari dalam satu langkah demi menegakkan perjuangan yang kita dokong ini. Janganlah ada sembah tari yang tidak selari dengan langkah kaki dan sumbang dari tingkah gendangnya, nescaya natijahnya aka nada yang jatuh tersungkur jatuh di tengah gelanggang sendiri.
13. Tarbiyah perlulah dijadikan agenda penting dalam memantapkan aqidah perjuangan. Kita tidak mahu perjuangan yang kita sertai ini hanyalah atas dasar semangat semata-mata kerana ia akan menyebabkan kita jauh tersasar dari hakikat sebenar sebuah perjuangan.
14. Bertemakan Islam Adil Untuk Semua, biarlah ia betul-betul adil untuk rakyat, masyarakat, penyokong, pendokong, pejuang serta diri kita sendiri.
15. Selesaikanlah sebarang pertelingkahan antara kita dengan sikap tasamuh yang tinggi serta dengan penuh semangat persaudaraan kerana agenda Islam yang kita bawa adalah lebih besar dan utama dari agenda parti dan kepentingan peribadi kita sendiri.
16. Biarlah masyarakat melihat kita sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam tentunya lebih baik daripada UMNO yang kita katakan sekular itu dan jangan biarkan masyarakat menilai dan merasakan bahawa kita dan UMNO tiada bezanya.
No comments:
Post a Comment