hasbunallah

hasbunallah

Monday, August 2, 2010

Berita Pembebasan Tahanan Candle Light GMI


KOTA BHARU, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa dukacita ekoran tindakan polis menahan dua wartawan yang bertugas pada perhimpunan aman membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam tadi.

Mereka menyifatkan tindakan menahan wartawan sedang bekerja mencabuli kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tidak sepatutnya wartawan yang sedang bertugas ditahan.

Katanya ia langsung tidak mencerminkan semangat 1Malaysia seperti dilaung-laungkan perdana menteri.

“Pasukan keselamatan kena membezakan di antara orang awam dengan petugas media kerana mereka datang untuk bertugas dan bukan hanya seronok-seronok.

“Bukti kad media yang dipakai sudah cukup untuk membezakan di antara orang awam atau wartawan, namun dalam kes malam tadi polis enggan menerima penjelasan diberi sehingga mahu segala kes diselesai di balai,” katanya di sini.

Malam tadi dua wartawan akhbar alternatif Salmah Mat Hussain dari Harakah dan Rizal Tahir (harakahdaily) ditahan ketika sedang bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA.

Lebih mengejutkan lagi apabila anak mereka berusia 15 tahun yang berada dalam kereta juga ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

Difahamkan mereka ditahan ketika berjalan ke kereta untuk pulang selepas polis meminta orang ramai yang hadir bersurai.

Beliau kemudian dibebaskan kira-kira jam 2.45 pagi dengan jaminan polis setelah disoal siasat.

Mohd Zaki dan seorang peguam, Abdul Rashid Yah hadir ke IPK menjaminkan lima yang ditahankan termasuk wartawan terbabit.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, beliau difahamkan penganjur yang terdiri di kalangan anak-anak muda menghentikan program berkenaan setelah diarah pihak polis.

Katanya, hanya deklamasi sajak dan membaca deklarasi membantah ISA yang sempat diadakan sebelum diarahkan polis bersurai.

”Saya berasa dukacita dengan apa yang berlaku malam tadi kerana tidak sepatutnya petugas media turut diheret sama. Ini boleh memberi tanggapan buruk masyarakat kepada anggota keselamatan.

”Sedangkan dalam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu petugas media dilindungi ketika membuat liputan di medan perang,” katanya.  

Seorang wartawan yang enggan dikenali melahirkan rasa terkejut terhadap apa yang berlaku.

Kata beliau soal program berkenaan ada permit atau tidak itu tanggungjawab pihak penganjur dan bukannya perlu dibeban kepada petugas media.

Dipetik dari Harakahdaily


Di KOTA BHARU, wartawan Harakah dan Harakahdaily, Salmah Mat Husain dan Rizal Tahir bersama seorang anak mereka berusia 15 tahun serta dua lagi ditahan polis ketika bertugas pada perhimpunan membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke-IV, di sini malam tadi.
Mereka dibebaskan kira-kira jam 2.00 pagi tadi selepas dijamin oleh Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim dan peguam.
Mereka diminta datang ke ibu pejabat kontinjen polis di sini, tengah hari ini.
Polis bertindak keras menghalang perhimpunan yang dimulakan selepas Isyak itu. Pasukan keselamatan itu memberi amaran akan menangkap sesiapa sahaja yang pergi ke himpunan itu. Walaupun dalan keadaan hujan, ramai juga yang datang ke perhimpunan tersebut.
"Ditahan kerana menghadiri program dan ada bahan bercetak tentang ISA itulah dalam bag Kak Ma," ujar Salmah ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Bagaimana pun, beliau sekeluarga tidak mengenali dua peribadi lain yang turut ditahan bersama-sama mereka.
Difahamkan, mereka ditahan polis ekoran mereka dianggap menyertai perhimpunan tanpa permit walaupun perhimpunan anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung secara aman.
Yang meragukan, katanya lagi, polis turut menahan anak mereka yang nyata berada di dalam kereta, walaupun anaknya itu tidak menyertai perhimpunan tersebut.
"Dah tahu perhimpunan itu tak ada permit, 9.15 malam memang nak turun keluar dah, tetapi dalam perjalanan nak keluar, dalam lima hingga enam orang anggota polis, antaranya berseragam dan berpangkat pegawai pergi ke kereta dan masa itu anak Kak Ma ada dalam kereta itu.
"Anak memang duduk dalam kereta pun, dia tak turun,"  beliau menambah.
Ujarnya lagi, mereka yang terbabit kemudiannya dibebaskan sekitar jam 2 pagi hingga 2.50 pagi dengan jaminan polis.
"Kami dibebaskan dengan jaminan polis, tapi urusan dengan polis dilakukan oleh YB Mohd Zaki Ibrahim, Timbalan Speaker (Dun Kelantan) dan seorang peguam bersama empat anak buahnya," ujarnya.

Dipetik dari Harakahdaily

No comments: