hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, March 30, 2011

Penggantungan Che Hartini : Rayuan Dibenarkan

Hari ini, panel Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan YAA Dato' Aria Diraja Dato' Daud Muhammad bersama Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya YAA Tan Sri Arifin Bin Zakaria dan YAA Dato’ Dr Johari Mat telah dengan sebulat suara untuk membenarkan rayuan yang dibuat oleh Che Hartini Che Omar dan membatalkan perintah yang dibuat oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu Abu Bakar Abdullah Kutty.

Pada 06/03/2011,  YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu Abu Bakar Abdullah Kutty telah membuat perintah penggantungan terhadap Che Hartini Che Omar daripada menghadiri perbicaraan dan sebagai peguam syarie mana-mana Mahkamah Syariah di Negeri Kelantan selama sehingga 14/06/2011 berdasarkan seksyen 19 (2) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan No 2 Tahun 1982.

Dalam penghujahan lisan yang diutarakan oleh En. Norazham Bin Haji Yahaya yang bertindak sebagai ketua tujuh orang peguam mewakili Che Hartini Che Omar menyatakan bahawa ada dua isu penting yang patut dipertimbangkan oleh panel rayuan dalam kes ini iaitu:-

1. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila membuat perintah penggantungan Che Hartini Che Omar berdasarkan 19 (2) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan No 2 Tahun 1982 kerana sub seksyen tersebut telah dimansuhkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1986. Oleh yang demikian perintah tersebut adalah bersalahan dengan peruntukan undang-undang yang terpinda dan diguna pakai masa sekarang.

2. Sekiranya YA Hakim Mahkamah Tinggi ingin mengambil tindakan ‘menghina Mahkamah’ terhadap Che Hartini Che Omar, Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 sepatutnya diguna pakai oleh Mahkamah. Itu pun Mahkamah perlu memberi notis, membacakan pertuduhan serta memberikan peluang kepada Che Hartini Che Omar untuk menjawab serta membelas diri. Namun begitu, tiada satupun prosedur tersebut dipatuhi oleh Mahkamah ketika itu.

Maka setelah mendengar hujah-hujah panel peguam, Panel Rayuan telah dengan sebulat suara membenarkan rayuan serta membatalkan perintah YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang dibuat pada 06/03/2011.

Ucapan syukur dan puji meniti dibibir semua panel peguam yang terlibat terutamanya Che Hartini Che Omar sendiri kerana perintah tersebut memberi kesan yang mendalam bagi karier dan kehidupan beliau. 

Tuesday, March 22, 2011

Video Seks Anwar: Laporan Polis & Kenyataan Menteri

Hari ini saya dan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) yang diketuai Ketua DPPNK YB Ustaz Haji Abdul Latif Abd Rahman telah mengiringi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kelantan untuk membuat laporan polis berkaitan video seks Dato Seri Anwar Ibrahim di IPD Kota Bharu.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Azhar Bin Hasan, Timbalan Ketua AMK Kelantan agar pihak polis menyiasat mengenai ‘Datuk T’ yang memiliki dan menayangkan kepada umum video tersebut yang masih belum jelas kesahihannya.

Tayangan video tersebut telah dibuat oleh seseorang yang dikenali oleh Datuk T kepada wartawan pada 21/03/2011 di Hotel Carcosa Seri Negara. Tindakan Datuk T tersebut telah melanggar seksyen 292 Kanun Keseksaan, seksyen 5 Akta Penapisan Filem dan seksyen 211 Akta Komunikasi dan Mulimedia.

Namun begitu, Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz telah membuat kenyataan sebagaimana dipetik Malaysiakini sebagaimana berikut:-

"Kamu beritahu saya apa yang salah. Semua kata ia bertentangan dengan undang-undang, tetapi beritahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang maklum patut datang ke depan untuk maklumkan kepada kita," katanya.

Saya menjadi tergamam dengan kenyataan seorang Menteri yang dikatakan berkelulusan undang-undang serta bertanggungjawab mengenai hal ehwal undang-undang Malaysia boleh berkata begitu! Jika rakyat biasa yang buta undang-undang membuat kenyataan begitu, mungkin tidak mengapa. Baginikah layaknya seorang Menteri?!

Ada pula juak-juak UMNO yang mempertikaikan kenapa kita sibuk buat laporan polis supaya polis siasat video seks tersebut dibawah Akta-akta yang berkaitan? Adakah jika ada video seks pemimpin UMNO, kita juga turut akan meminta polis untuk menyiasat dibawah Akta yang sama?

Jawapan saya, kita minta suruh siasat mengenai kesahihan video berkenaan dan bukan hanya menuduh video seks individu tertentu begitu sahaja. Malah sewaktu tersebarnya video seks Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, pihak kita juga memohon polis menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut cuma tiada sebarang laporan polis dibuat kerana Chua Soi Lek dengan rela hati mengakui lelaki dalam video tersebut. Yang menjadi musykilnya, kenapa UMNO atau BN tidak membuat laporan polis berkaitan video seks tersebut?

Ada juga kawan-kawan yang bertanya kenapa kita perlu terlibat dalam kes ini? Jawapan saya, sekiranya tidak diambil sebarang tindakan mengenai isu ini tidak mustahil sesiapa sahaja selepas ini termasuk saya dan anda semua akan mempunyai video seks tersendiri yang disebarkan oleh pihak tertentu. Padahal video tersebut merupakan satu fitnah jahat yang jauh dari kesahihannya.  

Monday, March 21, 2011

Serangan Tentera Bersekutu: Libya bakal berkubur

Tentera Bersekutu yang diketuai oleh Amerika dan Perancis telah mula menyerang Libya atas alasan tindakan Muammar Gaddafi yang mengarahkan tenteranya bertidak keras keatas para penunjuk perasaan yang menyebabkan kematian rakyat Libya.  

Serangan udara tentera Britain, Peranchis dan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah Libya diseleraskan menerusi ibu pejabat tentera AS di Jerman. Operasi multilateral ini diseleraskan oleh Tentera Pemerintah Udara AS yang berpangkalan di Eropah di ibu pejabatnya di Stuttgart, Jerman.

Namun begitu, sekiranya kita ukur kemusnahan dan kematian yang disebabkan oleh serangan Tentera Bersekutu adalah jauh lebih dahsyat dan teruk serta kejam jika hendak dibandingkan dengan tindakan kasar tentera pimpinan Muammar Gaddafi.

Adakah tindakan Muammar Gaddafi itu sudah cukup untuk menjustifikasikan tindakan Tentera Bersekutu yang mendapat mandat PBB untuk mencampuri urusan dalaman Negara Libya yang berdaulat dengan melancarkan serangan udara tersebut?

Saya rasakan bahawa Tentera Besekutu yang diketuai Amerika itu mempunyai niat tertentu serta dendam yang membara terhadap pemimpin tertinggi Libya, Muammar Gaddafi itu. Sepatutnya PBB dan semua bala tenteranya hanyalah sekadar perlu memantau pergolakan yang berlaku di Libya itu tanpa perlu campur tangan secara serius. Campur tangan tersebut merupakan satu pencabulan dan pencerobohan ke atas sebuah negara yang berdaulat.

Saya amat yakin dan percaya sekira Tentera Bersekutu berterusan mencampuri urusan dalaman Libya itu, maka tidak mustahil Libya akan mendapat nasib seperti Iraq dan Afghanistan.

Oleh yang demikian OIC perlu memainkan peranan segera dalam menghentikan serangan dan campur tangan Tentera Bersekutu dalam konflik dalaman Libya itu. 

Tuesday, March 15, 2011

Bila MCA Bersuara: Di mana mufti dan ulama UMNO?

Kita dikejutkan dengan kenyataan terbuka Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempertikaikan Kerajaan Kelantan yang mengharamkan penjualan tiket loteri di negeri ini.

Beliau turut menghentam Kerajaan Kelantan yang telah mengambil tindakan keatas premis judi haram yang wujud di Negeri Kelantan. Malah beliau turut menyokong usaha untuk membawa isu ini ke Mahkamah bagi mendapatkan perintah bahawa larangan yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan itu adalah tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang.

Dalam keadaan begini, di manakah para mufti dan ulama UMNO yang selama ini kononnya begitu menonjol untuk mempertahankan kesucian dan kedaulatan hukum Islam? Setakat ini tidak ada satu pun kenyataan yang dibuat oleh mereka mengenai perkara ini.

Cuba bayangkan kalau larangan tersebut dipertikaikan oleh DAP atau seumpamanya dalam Pakatan Rakyat, saya yakin dan percaya bahawa bukan setakat mufti dan para ulama UMNO sahaja yang mengutuk serta memberikan kenyataan yang menunjukkan seolah-olah mereka adalah pejuang agama yang tulin malah seluruh menteri Islam, cina dan india juga turut membantah kenyataan yang dibuat oleh DAP tersebut!!

Bukan sikap sedemikian juga tergolong dalam mempolitikkan agama? Bila isu agama yang terkena keatas batang hidung mereka sendiri, mereka diam seribu bahasa. Bila ada kenyataan yang nampak bercanggah dari Pakatan Rakyat, tidak hanya sekadar Majlis Fatwa Kebangsaan diminta bersidang untuk mengeluarkan fatwa berkaitan perkara tersebut malah UMNO turut mengheret institusi Raja untuk campur tangan.

Adakah pengharaman judi ini memerlukan satu fatwa khusus barulah UMNO dan konco-konconya akan bangkit mengatakan bahawa judi itu haram? Tidakkah sudah memadai dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

UMNO seolah-olah tersepit diantara kemahuan politik dan isu agama. Jika mereka menyokong tindakan pengharaman judi yang dibuat Kerajaan Kelantan, mereka akan kehilangan sokongan MCA. Jika mereka menyokong bantahan yang dibuat MCA, mereka akan akan kehilangan sokongan orang Islam dan dakwaan bahawa mereka adalah pejuang Islam yang sebenar.

Ini adalah isu kedua yang telah ditimbulkan oleh Chua Soi Lek selepas isu bersalaman calon PAS Cikgu Normala semasa PRK Tenang dahulu. Dan UMNO masih berdiam tidak berkutik walau sedikit. 

Kesimpulannya, dimanakah para ulama UMNO dan apakah hujah mereka??!!

Monday, March 14, 2011

Fahami akta sebelum bincang isu Islam


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
2011/03/14

Usah jadikan alasan Bible tulisan Melayu sebagai usaha untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

PERKARA 11 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap rakyat menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tetapi Perkara 11 juga memberi sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam.

Ini disebabkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain di Malaysia. Hal itu diakui penghakiman mahkamah seperti dalam kes Meor Atiqurrahman dan Lina Joy.

Perkara 11(4) Perlembagaan menyatakan undang-undang boleh digubal badan perundangan negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

Setakat ini, empat negeri masih belum menggubal undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam itu mewujudkan kesalahan yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan menyatakan dengan terperinci kalimah serta frasa yang tidak boleh digunakan bukan Islam bagi merujuk agama mereka.

Ramai cuba berhujah berkaitan undang-undang ini walaupun mereka sendiri tidak pernah membaca undang-undang itu. Undang-undang ini bukan menghalang orang bukan Islam menyebut kalimah dan frasa mempunyai asal agama Islam tetapi menjadi kesalahan jika kalimah dan frasa itu dirujuk untuk agama bukan Islam.

Umpamanya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat jika dirujuk kepada agama Islam tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam mengucapkannya. Ia hanya menjadi kesalahan jika kalimah itu dirujuk kepada agama bukan Islam seperti Allah sebagai tuhan penganut Kristian, Baitullah sebagai gereja orang Kristian ataupun solat sebagai upacara sembahyang penganut Kristian.

Selain kalimah dan frasa, undang-undang itu melarang penerbitan bahan agama bukan Islam diberikan kepada orang Islam.

Timbul kembali isu mengenai Bible berbahasa Melayu yang dirampas pihak berkuasa. Bible berbahasa Melayu ini sarat dengan perkataan dan frasa yang dilarang dirujuk bagi agama bukan Islam.

Undang-undang menghalang penggunaan perkataan dan frasa itu pula masih lagi berkuat kuasa dan tidak dimansuhkan di sesetengah negeri. Oleh itu, tindakan pihak berkuasa merampas Bible mengandungi perkataan terlarang itu sejajar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Hak mengembangkan agama bukan Islam melalui Bible berbahasa Melayu ini sebenarnya tertakluk kepada peruntukan Perkara 11(4). Ia tidak boleh diberikan, dijual atau dicetak untuk orang Islam. Sekiranya Perlembagaan ini dapat diikuti dan perkataan terlarang itu dikeluarkan mungkin ia boleh dibenarkan.

Mungkin sudah menjadi aliran sekarang ini agama lain langsung tidak boleh disentuh tetapi apabila berkaitan dengan agama Islam semua mahu menjadi mufti mengeluarkan fatwa termasuklah orang bukan Islam.

Ada kalangan bukan Islam melabelkan sesetengah orang itu lebih fakih Islamnya berbanding orang lain semata-mata kerana orang itu mengeluarkan pandangan agak liberal. Tanpa segan silu mereka mempersoalkan isu Islam tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam termasuklah mufti yang mengeluarkan fatwa.

Dalam kalangan orang Islam juga ada yang terlalu takjub dengan logika akal dalam isu Bible berbahasa Melayu ini dalam erti kata mendaulatkan bahasa kebangsaan. Persoalannya apakah dalam isu Bible ini saja kita mahu mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak dalam aspek lain seperti pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan dokumentasi perundangan?

Mengapa tidak pula mereka memimpin isu ini? Kenapa hanya dalam isu Bible berbahasa Melayu saja mahu ditegakkan penggunaan bahasa Melayu?

Bagi saya, isu agama Islam hendaklah diletakkan kepada pakar agama Islam. Saya sendiri agak kekok untuk mengeluarkan hukum kerana saya bukan graduan lulusan agama. Undang-undang kawalan agama adalah hasil dari permesyuaratan ahli agama.
Ia bukanlah suatu yang dipolitikkan seperti sering ditohmah. Masyarakat kini terlalu mudah menuduh sesuatu perkara itu dipolitikkan pihak kerajaan sedangkan ia tidak benar, dalam hakikat sebenar orang yang menuduh itulah yang mempolitikkan isu agama ini.

Saya menyarankan supaya sebelum isu enakmen kawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam atau Bible berbahasa Melayu diperkatakan, bacalah dulu undang-undang berkenaan.

Tidak cukup dengan undang-undang itu, bacalah juga hansard (perbahasan di Parlimen/ dewan undangan negeri) ketika undang-undang itu digubal bagi mengetahui undang-undang dan falsafahnya. Membuat sanggahan atau komentar terhadap sesuatu undang-undang yang seseorang itu sendiri tidak pernah membacanya adalah amat memalukan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi: zainul.rijal@abubakar.my

Thursday, March 3, 2011

Saman Ekor Tanpa Kepala


Saya yakin, pasti dan percaya bahawa rakyat rasa terbeban akibat kerajaan menyenarai hitamkan mereka yang tidak menjelaskan saman ekor. Pada mulanya kerajaan memberikan ‘peluang’ kepada rakyat untuk menjelaskan saman tertunggak sehingga 28/02/2011 baru-baru ini dengan memberikan potongan sebanyak 50%. Bermula dari 12/08/2010 sehingga tarikh tersebut, kerajaan BN (Barang Naik) telah berjaya mengutip sebanyak RM5.5 juta. Namun begitu saman trafik yang masih belum dibayar sebanyak RM17.3 juta menyebabkan Kerajaan Barang Naik melanjutkan tempoh pembayaran saman serta diskaun sehingga 10/03/2011.    

Walaupun mendapat tentangan dan bantahan dari pelbagai pihak termasuklah NGO dan parti politik, Kerajaan Barang Naik tetap meneruskan penindasan terhadap rakyat ini. Namun begitu, para penyokong kerajaan mempertikaikan bahawa kalau kita salah bayar sahajalah saman tu! Yang dipertikaikan disini bukanlah pasal saman tu, tapi isu kerajaan menyenai hitamkan mereka yang tidak membayar saman tersebut.

Bahkan, Mahkamah Tinggi Sarawak sendiri dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Kerajaan sendiri telah bertindak menentang keputusan Mahkamah tersebut serta seolah-olah menidakkan hak asasi setiap warganegara untuk mendapatkan keadilan kerana penyenaraian hitam dibuat tanpa sebarang keputusan atau perintah Mahkamah!

Bila ada suara-suara yang mengatakan bahawa Kerajaan Barang Naik sudah hampir muflis menyebabkan mereka bertindak untuk menguatkuasakan saman ekor ini, lalu adalah juak-juak yang melenting. Dimanakah slogan ‘Rakyat Di Dahulukan’? Memang rakyat didahulukan dalam menanggung beban kesusahan.

Minggu lepas, saya telah singgah di IPD Kuala Krai. Ketika itu orang ramai beratur menunggu giliran untuk membayar saman. Saya lihat seorang lelaki tua sedang merungut apabila senarai saman yang perlu dibayarnya adalah berjumlah RM7,000!!! Sambil marah-marah beliau menghempas duit keatas meja kerani di IPD tersebut sambil berkata: “Ambilah duit ni! Aku nak bagi pada kerajaan sebab kerajaan miskin sangat! Ni duit aku pergi toireh getah sebab nak bayar saman!” Semua orang yang berada disitu melihat sambil tersenyum kearah lelaki tersebut.

Itulah dalilnya yang menunjukkan bahawa Kerajaan Barang Naik memang mendahulukan rakyat dalam segala-galanya. Saya harap semua rakyat sedar akan kesengsaraan yang mereka tanggung ini dan bukan hanya sekadar isu saman ekor dan senarai hitam sahaja mereka marah. Tapi bila masa pangkah, mereka tetap pangkah Kerajaan Barang Naik!!!

Tuesday, March 1, 2011

Sudut Pandang Berbeza Mengenai Revolusi Rakyat

Dunia sekarang ini dilanda satu fenomena ‘penggulingan kerajaan’. Bermulanya dari revolusi rakyat menjatuhkan Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali seterusnya merebak ke Mesir yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Sekarang ini rakyat Yaman bangkit untuk menjatuhkan Presiden Ali Abdullah Saleh dan di Libya untuk menjatuhkan Presiden Muamar Ghaddafi.  

Pelbagai pandangan dan pendapat diberikan oleh pelbagai pihak mengenai revolusi tersebut sama ada dari ahli ulama Islam, negarawan, pemerhati politik dan rakyat biasa. Perbincangannya di tv, dada akhbar, internet sehinggalah perdebatan hangat di kedai-kedai kopi. 

Setelah meneliti dan berbincang dengan beberapa sahabat, timbul juga sedikit persoalan dalam benak fikiran saya ini. Adakah revolusi rakyat yang sedang melanda dunia sekarang ini merupakan satu revolusi untuk mencari kebenaran demi menegakkan Islam atau sekadar untuk memenuhi agenda-agenda golongan tertentu sahaja? 

Ini adalah kerana, revolusi rakyat yang berlaku sekarang ini hanya berlaku di negara-negara rakyat Islam sahaja. Tidak nampak pun ada cetusan sebegitu di negara-negara bukan Islam yang mengamalkan prinsip kapitalis mahupun komunis. Bukan apa, saya yakin dan percaya bahawa para pendokong perjuangan Islam tidak mahu revolusi rakyat ini merupakan cetusan dari pihak-pihak tertentu yang ingin melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ terhadap negara umat Islam. Kita pastinya tidak mahu negara-negara tersebut menerima nasib seperti Iraq dan Afganistan. Sehingga sekarang negara tersebut tidak dapat pulih seperti sediakala walaupun dikatakan pemerintah dahulu adalah orang yang zalim setelah campur tangan kuasa asing seperti Amerika dan NATO.

Sebelum terjadi revolusi tersebut pun negara umat Islam terutamanya negara arab tidak pernah bersatu dalam menangani isu-isu yang melibatkan umat Islam. Kalaulah negara-negara arab boleh bersatu, nescaya Palestin dan Baitul Maqdis sudah lama dapat dibebaskan dari penjajahan zionis. Apatah lagi setelah berlakunya revolusi sebegini, saya parcaya kesatuan umat akan lagi menjadi suatu impian yang amat sukar untuk dicapai. 

Saya bukanlah ingin menongkah arus dalam memberikan pendapat mengenai isu ini. Namun sekadar pandangan dari pemerhatian yang telah menimbulkan kegusaran dihati ini. Mungkin orang lain mempunyai pandangan berbeza dengan saya, tapi itulah hak kita yang bebas untuk berpandangan dan berpendapat asalkan ianya mempunyai landasan yang betul untuk membuat suatu kesimpulan.