hasbunallah

hasbunallah

Friday, August 19, 2011

al-Asr : Allah Bersumpah Dengan Masa


'Demi Masa!' (103:1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -' (103:2) -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.' (103:3)

Surah al-Asr adalah antara surah yang Allah swt mulakan sumpah dengan masa. Saya percaya, surah ini adalah tidak asing bagi kita terutamanya para pejuang Islam yang selalu mengakhiri setiap pertemuan kita dengan membaca surah ini.

Namun begitu, sejauh manakah penghayatan dan pengertian yang kita ambil dari surah tersebut? Jika dilihat daripada gerak kerja serta amalan kita, didapati agak jauh tersasar dan seolah-olah kita tidak pernah merenung serta memerhati intisari rahsia surah tersebut.

Sebagai contoh, mesyuarat dimulakan tidak pada masa yang ditetapkan malah terlalu lewat dari waktu asal. Kenapa perkara begini boleh terjadi? Padahal kita adalah para Muslim yang menjadi pejuang agama Allah swt. Sehinggakan wujudnya 'peribahasa' JANJI MELAYU kerana sikap kita yang selalu lalai dalam menepati masa.

Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Jepun, kita terlalu jauh ketinggalan. Sepatutnya isu ini tidak timbul kerana kita dibekalkan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup. Padahal kita sering membacanya, namun kita tidak mengambil saripati surah tersebut untuk diterapkan dalam amalan hidup kita.

Imam Ibn Kathir menyebut dalam Tafsirnya bahawa Imam as-Syafie ada berkata bahawa “ Jika Allah swt tidak turunkan al-Quran kecuali Surah al-Asr sahaja, nescaya sudah cukup bagi umat ini.”

Dari Ibn Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
 Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang. (Riwayat Bukhari 6412)

Syeikh Abdullah Ba’alawi pernah berkata:
“Saudara-saudaraku sesama Muslim sekalian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguhkan walaupun sesaat, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singat berbanding kehidupan di akhirat nanti. “

Kesimpulannya, bersamalah kita mengambil pengajaran daripada surah yang sentiasa kita baca diakhir majlis ini supaya kehidupan dan amalan harian kita adalah selari dengan ajaran Islam. Diharapkan sikap kita dengan tidak menepati masa itu tidak akan membuatkan orang bukan Islam memandang rendah terhadap agama Allah swt.

Semoga ada kebaikan untuk kita semua.

Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan.

Tuesday, August 16, 2011

Antara Larangan Bacaan al-Quran & Saman Judi


Antara isu hangat yang diperkatakan sekarang adalah larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Pelbagai pihak tampil memberikan pandangan termasuk parti politik sama ada menyokong atau sebaliknya.

Namun dalam memberikan pendapat atau pandangan, kadang-kadang kita seolah-olah terlupa mengenai perkara lain. Oleh kerana keghairahan kita terhadap isu tersebut, ia mengaburi pandangan kita mengenai isu yang lebih besar lagi. Ada ketikanya, pandangan yang kita berikan itu akan menampakkan lagi kebodohan kita.

Memetik laporan sebuah portal, “Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam.”

Adakah Menteri tersebut tidak dapat membezakan antara Kerajaan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang? Larangan tersebut adalah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang dan bukannya JHEAIPP sebagaimana dakwaannya. Manakala Mufti Pulau Pinang adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong. Saya percaya bahawa Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri dalam membuat larangan tersebut.

Setahu saya, larangan bacaan al-Quran tersebut masih terbuka perbincangan mengenainya serta banyak pandangan dan pendapat ulama yang berbeza-beza dengannnya. Isu ini seolah-olah telah menenggelamkan isu saman judi oleh ahli MCA terhadap Kerajaan Negeri Kelantan padahal judi adalah disepakati secara ijmak tentang pengharamannya jika hendak dibandingkan dengan larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara tersebut.

UMNO dan PERKASA yang kononnya menjuarai isu larangan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang itu diam seribu bahasa mengenai saman yang difailkan oleh tiga orang ahli MCA terhadap Kerajaan Negeri Kelantan itu. Nampaknya mereka seolah-olah cuba melarikan isu dan hanya membangkitkan isu terpilih sahaja. Jika mereka benar-benar memperjuangan agama Islam, kenapa mereka tidak membantah saman tersebut kerana pengharaman judi adalah berdasarkan nas yang qat’ie.

Akhir sekali, sekadar pandangan saya yang tidak berilmu ini mengenai larangan Jabatan  Mufti Pulau Pinang tersebut masih terbuka untuk diperbincangkan serta diperhalusi dengan pelbagai pendapat dan pandangan ulama terutamanya dalam menjaga ‘izzah agama Islam itu sendiri. 

Friday, August 12, 2011

Jais & Gereja

Lebih kurang seminggu berlalu, 'serbuan' JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) masih lagi diperkatakan orang. Sama ada dari kalangan pemimpin mahupun rakyat bawahan. Ada yang menyokong serta mempertahankan tindakan JAIS tersebut dan tidak kurang juga mereka yang mempertikaikannya dengan pelbagai alasan dan hujah tersendiri.

Memang terdapat pro dan kontra tindakan tersebut. Setelah meneliti kenyataan akhbar yang dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Dr. Hassan Ali, Khalid Samad, Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai isu tersebut saya jga turut terpanggil untuk melontarkan pandangan peribadi saya sendiri yang mungkin dipersetujui dan mungkin juga turut dibantah oleh orang lain.

Kita perlu melihat isu tersebut dengan lebih teliti atas asas mashlahat agama yang lebih utama dari segala kepentingan dunia dan peribadi. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab JAIS sebagai pihak berkuasa agama untuk mengawal pengembangan aqidah lain kepada penganut Islam. Saya percaya, tindakan JAIS tersebut hanyalah untuk menyekat penganut Islam terjebak dalam gejala murtad dan bukannya hendak menghalang agama lain untuk diamal serta disebarkan dikalangan penganut agama tersebut.

Saya lebih tertarik dengan kenyataan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa sekiranya maklumat yang diterima JAIS itu benar, maka tindakan JAIS itu tepat. JAIS juga perlu berhati-hati dalam menyaring maklumat agar tindakan susulan yang dibuat mereka benar-benar tepat dan tidak menjadi isu pertikaian. Manakala orang Islam yang dikatakan berada dalam majlis tersebut juga perlu dipersoalkan. Walau apapun alasannya, sehingga ketahap itukah keimanan yang berada di dalam dada? Sudah habiskah usaha yang dilakukan?

Saya juga bersetuju dengan pandangan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengenai kemana perginya wang zakat sehinggakan tidak dapat membantu orang Islam yang memerlukan dan terpaksa mendapatkan pertolongan dari masyarakat agama lain? Adakah karenah birokrasi menyebabkan mereka yang benar-benar memerlukan seperti berputus asa kerana permohonannya selalu ditolak? Banyak yang perlu dimuhasabahkan pihak berkuasa yang menguruskan zakat mengenai perkara ini. Apa gunanya mengumumkan jumlah kutipan zakat yang begitu besar saban tahun, namun asnaf yang layak menerimanya seolah-olah sedang meniti diatas jurang iman dan kufur.

Kesimpulannya, umat Islam perlu peka mengenai isu ini tanpa melibatkan kepentingan politik semata-mata. Pihak berkuasa agama perlu tegas dalam penguatkuasaan sekiranya terdapat bukti kukuh wujudnya cubaan mengganggu-gugat agama Islam. Setiap orang Islam adalah bertanggungjawab untuk mempertahankan kesucian aqidah Islam dan akan dipersoalkan di hadapan Allah swt di akhirat nanti.
Published with Blogger-droid v1.7.2