hasbunallah

hasbunallah

Friday, August 19, 2011

al-Asr : Allah Bersumpah Dengan Masa


'Demi Masa!' (103:1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -' (103:2) -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.' (103:3)

Surah al-Asr adalah antara surah yang Allah swt mulakan sumpah dengan masa. Saya percaya, surah ini adalah tidak asing bagi kita terutamanya para pejuang Islam yang selalu mengakhiri setiap pertemuan kita dengan membaca surah ini.

Namun begitu, sejauh manakah penghayatan dan pengertian yang kita ambil dari surah tersebut? Jika dilihat daripada gerak kerja serta amalan kita, didapati agak jauh tersasar dan seolah-olah kita tidak pernah merenung serta memerhati intisari rahsia surah tersebut.

Sebagai contoh, mesyuarat dimulakan tidak pada masa yang ditetapkan malah terlalu lewat dari waktu asal. Kenapa perkara begini boleh terjadi? Padahal kita adalah para Muslim yang menjadi pejuang agama Allah swt. Sehinggakan wujudnya 'peribahasa' JANJI MELAYU kerana sikap kita yang selalu lalai dalam menepati masa.

Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Jepun, kita terlalu jauh ketinggalan. Sepatutnya isu ini tidak timbul kerana kita dibekalkan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup. Padahal kita sering membacanya, namun kita tidak mengambil saripati surah tersebut untuk diterapkan dalam amalan hidup kita.

Imam Ibn Kathir menyebut dalam Tafsirnya bahawa Imam as-Syafie ada berkata bahawa “ Jika Allah swt tidak turunkan al-Quran kecuali Surah al-Asr sahaja, nescaya sudah cukup bagi umat ini.”

Dari Ibn Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
 Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang. (Riwayat Bukhari 6412)

Syeikh Abdullah Ba’alawi pernah berkata:
“Saudara-saudaraku sesama Muslim sekalian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguhkan walaupun sesaat, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singat berbanding kehidupan di akhirat nanti. “

Kesimpulannya, bersamalah kita mengambil pengajaran daripada surah yang sentiasa kita baca diakhir majlis ini supaya kehidupan dan amalan harian kita adalah selari dengan ajaran Islam. Diharapkan sikap kita dengan tidak menepati masa itu tidak akan membuatkan orang bukan Islam memandang rendah terhadap agama Allah swt.

Semoga ada kebaikan untuk kita semua.

Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan.

No comments: