hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, August 16, 2011

Antara Larangan Bacaan al-Quran & Saman Judi


Antara isu hangat yang diperkatakan sekarang adalah larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Pelbagai pihak tampil memberikan pandangan termasuk parti politik sama ada menyokong atau sebaliknya.

Namun dalam memberikan pendapat atau pandangan, kadang-kadang kita seolah-olah terlupa mengenai perkara lain. Oleh kerana keghairahan kita terhadap isu tersebut, ia mengaburi pandangan kita mengenai isu yang lebih besar lagi. Ada ketikanya, pandangan yang kita berikan itu akan menampakkan lagi kebodohan kita.

Memetik laporan sebuah portal, “Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam.”

Adakah Menteri tersebut tidak dapat membezakan antara Kerajaan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang? Larangan tersebut adalah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang dan bukannya JHEAIPP sebagaimana dakwaannya. Manakala Mufti Pulau Pinang adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong. Saya percaya bahawa Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri dalam membuat larangan tersebut.

Setahu saya, larangan bacaan al-Quran tersebut masih terbuka perbincangan mengenainya serta banyak pandangan dan pendapat ulama yang berbeza-beza dengannnya. Isu ini seolah-olah telah menenggelamkan isu saman judi oleh ahli MCA terhadap Kerajaan Negeri Kelantan padahal judi adalah disepakati secara ijmak tentang pengharamannya jika hendak dibandingkan dengan larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara tersebut.

UMNO dan PERKASA yang kononnya menjuarai isu larangan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang itu diam seribu bahasa mengenai saman yang difailkan oleh tiga orang ahli MCA terhadap Kerajaan Negeri Kelantan itu. Nampaknya mereka seolah-olah cuba melarikan isu dan hanya membangkitkan isu terpilih sahaja. Jika mereka benar-benar memperjuangan agama Islam, kenapa mereka tidak membantah saman tersebut kerana pengharaman judi adalah berdasarkan nas yang qat’ie.

Akhir sekali, sekadar pandangan saya yang tidak berilmu ini mengenai larangan Jabatan  Mufti Pulau Pinang tersebut masih terbuka untuk diperbincangkan serta diperhalusi dengan pelbagai pendapat dan pandangan ulama terutamanya dalam menjaga ‘izzah agama Islam itu sendiri. 

3 comments:

الفوزاني Al-Fauzan said...

jgn amik komen juhala' sid

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Terima kasih atas nasihat Tuan Syeikh tu.

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Al-Quran wajib disampaikan tanpa halangan
Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan bahawa Al-Quran mesti disampaikan kepada semua manusia tanpa tunduk kepada apa sahaja bentuk halangan.

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab itu telah diterjemahkan dalam satu peristiwa yang berlaku ke atas Saidina Abu Bakar r.a sendiri ketika diberikan himayah (perlindungan keselamatan) oleh Ibnu Doghinah iaitu salah seorang pemimpin musyrikin pada ketika zaman permulaan Islam.

“Perlindungan keselamatan yang telah diberikan oleh Ibnu Daghinah ini telah digunakan oleh Saidina Abu Bakar r.a. untuk membaca dan mengajar al-Quran di rumah, ianya telah mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai sehinggakan menggelisahkan pemimpin musyrikin.

“Pemimpin musyrikin telah mengadukan hal tersebut kepada Ibnu Daghinah, lalu Ibnu Daghinah memanjangkakan hal tersebut kepada Saidina Abu Bakar r.a, lantas Saidina Abu Bakar memutuskan untuk tidak menggunakan himayah atau perlindungan tersebut kerana ingin meneruskan misi dakwahnya membaca dan mengajar al-Quran kepada orang ramai di rumah tersebut,” ujar beliau lagi.

Ditanya berkenaan amalan mengejutkan orang ramai sebelum Subuh, beliau seterusnya menjelaskan, pada zaman dulu diriwayatkan orang ramai agak sukar bangun pada awal pagi untuk bersolat Subuh, lalu sahabat mengambil tindakan berjalan mengelilingi kawasan tersebut untuk mengejutkan mereka sebelum Subuh.

“Dulu ada azan pertama, tapi kalau tak ada azan pertama, maka tak salah kalau menggunakan cara yang sesuai yang tidak bercanggah dengan Islam untuk mengejutkan orang ramai terutamanya pada zaman sekarang yang mana manusia agak jauh dari amalan Islam,” ujar beliau lagi.