Semenjak isu hudud yang
cuba dilaksanakan di Kelantan dibangkitkan oleh pihak media, maka
berduyun-duyunlah para manusia yang ingin memperkatakan mengenai perkara
tersebut. Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah malah memperlekeh hukum
tersebut dengan pelbagai label yang tidak patut. Kenyataan dan percakapan
diucapkan oleh para pemimpin yang berada diatas kerusi empuk di pejabat-pejabat
yang berhawa dingin sehinggalah rakyat bawahan yang kerjanya menanam padi
disawah dan adakalanya sekadar menolak buah dam aji di kedai kopi.
Dalam keghairahan
berkata-kata tersebut, ada diantara kita yang lupa mengenai batas-batas bicara
yang sepatutnya dijaga tatkala memperkatakan mengenai sesuatu hukum yang telah
ditetapkan oleh Allah swt. Malah kebanyakan kita yang memberikan komentar
tersebut tidak mempunyai ilmu mengenai hudud sekalipun namun bertindak seolah-olah
mereka begitu alim dalam sistem perundangan Islam.
Yang paling sedih sekali
apabila orang yang mengaku Islam sendiri bertindak memberi komen yang cukup
celupar mengalahkan orang bukan Islam. Sepatutnya sebagai Muslim kita wajib
mempertahankan hukum tersebut daripada dicela atau dicerca oleh orang bukan
Islam. Kalau kita tidak mempersetujui perlaksanaannya janganlah sampai kita
bertindak seolah-olah mempertikaikan hukum ketetapan Allah tersebut. Ingatlah bahawa,
segalanya akan dipersoalkan Allah swt tatkata pertemuan di mahsyar nanti. Allah
swt telah berfirman:-
Dan janganlah Engkau
mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan
ditanya tentang apa Yang dilakukannya. (al-Israa’ : 36)
Al-Hafiz Imam Ibn Kathir
menyebut dalam tafsirnya bahawa dalam ayat ini Allah swt telah memberikan
amaran kepada kita agar janganlah kita bercakap tentang sesuatu yang kita tidak
mempunyai ilmu mengenainya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ali krw
daripada Ibn Abbas r.a.
Oleh yang demikian, biarlah kita serahkan kepada mereka yang pakar dan benar-benar ahli dalam perkara tersebut dan berhati-hatilah tatkala berbicara kerana ia bakal menempah tiket di neraka.
3 comments:
Ahli agama perlu lbh pranan unt sampaikan tntg kindahan hukum Islam...
setuju..
kemas abesid..
Post a Comment