hasbunallah

hasbunallah

Friday, October 28, 2011

Jom Heboh : Dua Pandangan Sisi


28 & 29 Oktober 2011, sebuah karnival yang agak masyhur di negara kita iaitu Jom Heboh anjuran TV3 telah diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Ramai individu, kumpulan dan pergerakan yang membantah penganjuran karnival tersebut diadakan di Kelantan atas alasan bahawa karnival tersebut lebih mendatangkan banyak kemudharatan daripada kebaikan. Perbandingan dibuat dengan karnival yang sama yang telah dianjurkan pada 26 & 27 Mac 2010 dikatakan banyak kelemahan dan perlanggaran terhadap Enakmen Hiburan Negeri Kelantan. Bahkan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS sendiri pernah melancarkan kempen boikot TV3 kerana penyiaran berita yang berat sebelah dan tidak benar mengenai Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPPKKB) sendiri telah menghantar satu memorandum bantahan terhadap penganjuran karnival Jom Heboh tersebut kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan bagi menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini. Malah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) juga mempunyai pendirian yang selari dengan DPPKKB serta turut menyokong memorandum yang telah dihantar tersebut.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan penganjuran karnival tersebut kerana bagi saya akan banyak mudharatnya serta bertentangan dengan prinsip saya. TV3 yang kita boikot selama ini tetapi kemudiannya kita memberikan mereka peluang untuk penganjuran karnival Jom Heboh tersebut. Malah dalam masa yang sama, berita yang memburuk-burukkan Kelantan terus disiarkan melalui siaran TV3 tersebut.

Namun begitu, telah berlaku sedikit perbahasan antara saya dan salah seorang ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan mengenai perkara tersebut. Salah satu hujah yang diberikannya ialah, sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kebenaran secara rasmi kepada TV3 untuk menganjurkan karnival Jom Heboh tersebut, mereka tetap akan menganjurkannya di Kelantan sebagaimana yang berlaku pada tahun 2006. Pihak TV3 telah menganjurkan Karnival Jom Heboh dengan jenama baru sebagai Perkampungan Hadhari di Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab. Pelbagai program dianjurankan yang bertentangan dengan enakmen hiburan negeri tetapi tidak dapat dikawal oleh kerajaan negeri. Oleh yang demikian, kebenaran rasmi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada TV3 untuk menganjurkan Karnival Jom Heboh tersebut adalah bersyarat dan perlu mematuhi enakmen hiburan negeri. Dengan kebenaran rasmi tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai kuasa bertindak sekiranya pihak penganjur melanggar syarat-syarat yang diberikan.

Setelah memikirkan hujah tersebut, masuk akal juga kenapa Kerajaan Negeri Kelantan memberikan kebenaran rasmi kepada TV3 untuk menganjurkan karnival tersebut. Ia merupakan pandangan sisi lain yang tidak saya nampak sebelum ini.

Namun begitu, saya tetap dengan pendirian saya membantah penganjuran Karnival Jom Heboh anjuran TV3 tersebut. 

No comments: