Dr Mohd Asri
Zainul Abidin
10:47AM Jun
7 2013
Saya baru
sahaja pulang dari umrah dua hari lepas. Lima hari saya di Mekah.
Alhamdulillah, setelah hampir setahun saya tidak ke Mekah, saya direzekikan
Allah untuk kembali ke sana. Bumi Mekah itu sentiasa menjadi kerinduan jiwa.
Kita tidak
mencari Tuhan di Mekah kerana Tuhan itu hadir di mana sahaja kita berada. Ia
lebih dekat kepada kita dari urat tengkok kita sendiri. Tuhan sentiasa hampir
kepada mereka yang memanggil dan mengharapkannya sekalipun seseorang itu berada
begitu jauh dari Mekah.
Kita ke
Mekah untuk menunaikan ibadah. Kita ke Mekah untuk mencari limpahan keberkatan
yang Tuhan janjikan. DIA telah melimpahkan keberkatanNYA kepada beberapa tempat
dan waktu yang disebut dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dan Mekah adalah
ibu tempat limpahan keberkatan.
Bergambar
Zaman telah
berubah. Dahulu, tidak ramai orang kita yang dapat sampai ke Mekah. Namun hari
ini, atas kurniaan rezeki yang Allah berikan kepada penduduk muslimin dalam
negara ini, orang Malaysia melimpahi Mekah dan Madinah setiap waktu cuti. Di
sana-sini saya bertemu orang Malaysia dan sering kali mereka meminta untuk
bergambar bersama.
Seingat saya
dalam empat hari di Mekah, ratusan gambar saya yang diambil. Walaupun saya
sebenarnya tidaklah begitu ‘seronok' kerana saya tahu tiada apa yang istimewa
bagi seseorang bergambar dengan saya. Siapalah saya ini? Tiada keberkatan,
tiada pula harga di pasaran. Saya sama seperti mereka juga, mencari keberkatan
Tuhan di sana.
Bahkan
mereka yang bergambar itu mungkin jauh lebih mulia di sisi Allah dibandingkan
saya. Terkenal nama, bukan bererti mulia. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui
hakikat hamba-hambaNYA. Namun, jika itu hasrat mereka, sebagai insan yang
bersosial maka saya izinkan saja. Saya rasa mereka pun faham hakikat itu.
Mungkin bagi
mereka sekadar kenangan di samping gambar pelbagai latar dan manusia lain yang
mereka perolehi. Namun, dukacita jika ada yang lebih sibuk dengan kamera dari
menumpukan perhatian kepada ibadah di tempat yang berkat tersebut sedangkan
tempoh mereka di sana tidaklah lama.
Liberalisme
Semasa di
Mekah baru-baru ini saya menginap di Hotel Hilton. Setiap pagi, hotel itu
membekalkan akhbar Saudi Gazette. Kalau berdasarkan berita-berita akhbar
berkenaan, perjuangan hak wanita di Arab Saudi makin rancak. Saya tahu, agak
lama gerakan yang dilabelkan oleh ulama konservatif Saudi sebagai liberalism
berjalan di Saudi.
Golongan
agamawan yang menguasai banyak institusi kerajaan Saudi cuba menghadapi arus
ini. Namun, ia bukannya mudah. Makin berkembang atas banyak faktor. Antaranya,
golongan bangsawan sendiri ramai yang menyokong.
Juga,
disebabkan corak pemikiran agama yang dikatakan agak beku di Arab Saudi, Raja
Abdullah telah menghantar ramai para pelajar Saudi termasuk dalam bidang agama
ke universiti-universiti di Barat. Mereka mendapat biasiswa dan akan menjadi
tenaga pengajar di universiti-universiti di Arab Saudi.
Faktor
bahasa Inggeris yang begitu berkembang di negara-negara Teluk seperti Qatar dan
UAE amat menyumbang. Saudi juga terkena tempiasan walaupun belum sekuat
negara-negara tersebut. Buku-buku yang mengkritik keadaan di Saudi juga mula
dibaca oleh golongan muda.
Novel
‘Princess' yang merupakan international bestseller tulisan Jean Sasson yang
mendedahkan tentang keadaan wanita dalam keluarga di Raja Saudi sudah dibaca
o
leh banyak pihak.
Walaupun ada
pihak yang mempertikaikan sejauh manakah keaslian cerita tersebut, namun banyak
perkara yang disebutkan itu berasas yang dapat dirasai oleh wanita Saudi.
Berita-berita pro-aliran pembaharuan ini banyak dalam akhbar berbahasa
Inggeris.
Ini dapat
mengurangkan serangan dari golongan konservatif agama yang tidak membaca atau
mampu membaca akhbar dalam bahasa tersebut. Jika tidak tentu pelbagai fatwa
akan diistiharkan. Itu pun dah banyak ‘hukuman' telah dikeluarkan.
Faktor
internet juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan minda perubahan di
Saudi. Maklumat tentang dunia, hak wanita dan rakyat sudah tidak dapat disekat.
Twitter dan Facebook membantu usaha pembaharuan golongan muda.
Kegagalan
Ada satu
faktor yang ingin saya tegaskan ialah soal kegagalan golongan agamawan untuk
menangani masalah semasa yang dihadapi oleh umat. Kecenderungan kepada
mengharamkan perkara-perkara baru tanpa memberikan jalan keluar ataupun
alternatif kepada masalah menjadikan agama kelihatan tidak relevan pada mata
mereka yang salah faham.
Umpamanya,
sekian lama ulama Saudi mengharamkan wanita memandu kereta kononnya itu boleh
membawa kerosakan akhlak ataupun fitnah. Demikian soal mewajibkan purdah.
Sekarang segolongan ulama Saudi sibuk pula menentang cadangan membenarkan
wanita Saudi bekerja di premis perniagaan seperti di kedai ataupun supermarket.
Alasannya
sama, membawa fitnah. Dukacitanya, dalam masa yang sama mereka tidak sibuk
untuk memperkatakan tentang keganasan rumahtangga secara bersungguh seperti
mereka sibuk menghalang wanita memandu dan berniaga. Akhirnya dilihat agama
bagaikan berat sebelah. Hanya asyik menghukum wanita tetapi memberikan pelbagai
kuasa ‘penindasan' kepada lelaki.
Dalam akhbar
Saudi Gazette bertarikh 2 Jun 2013 bertajuk: ‘Hit her if you dare'.
Ia
menceritakan sekumpulan muda wanita melancarkan kempen anti-domestic violence
(anti keganasan rumahtangga). Kumpulan ini diusahakan oleh Libra Productions,
sebuah studio pengeluar audio dan muzik di Jeddah.
Usaha yang
seperti ini sepatutnya dijuarai oleh para ulama khususnya mereka yang ternama
dan berkedudukan. Fatwa-fatwa membela wanita sepatutnya jelas kedengaran dan
diedarkan secara meluas seperti mana kesibukan mereka dengan fatwa-fatwa yang
mengongkong wanita.
Walaupun
sebahagian fatwa itu mempunyai asas dalil yang kuat, namun sebahagian yang lain
hanya atas sentimen semata tanpa hujah yang kukuh seperti isu memandu dan
melarang wanita berniaga. Sementara yang lain, hanya sentiment mazhab seperti
isu purdah.
Wanita Saudi
patut membaca buku Tahrir al-Mar'ah fi ‘Asr al-Risalah tulisan Abd al-Halim Abu
Suqqah yang menggambarkan kehidupan wanita pada zaman Nabi SAW. Maksud buku itu
ialah Pembebasan Wanita di Zaman Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya
membebaskan wanita dari kongkongan jahiliah dan kekejaman lelaki. Apa yang
berlaku dalam sesetengah masyarakat beragama seakan membawa kepada sebaliknya.
Wahabi
Arab Saudi
sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Asalnya, ia merujuk kepada gerakan
Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan pembaharuan yang
sepatutnya menghidupkan 'reform'. Antara yang bagus dalam gerakan itu ialah
keluasan bermazhab dan melihat dalil dari pelbagai pihak.
Dalam
sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi inspirasi kepada banyak gerakan lain
di dunia ini. Sehingga para ulama Deoband India yang beraliran Asha'irah dan
Maturidiyyah juga dituduh Wahabi oleh penduduk di sana. Golongan pembaharuan di
Indonesia dan Tanah Melayu juga dituduh Wahabi sejak dahulu sehingga hari ini.
Prof Hamka
dituduh Wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita Melayu dalam pelajaran
dan rumahtangga dilabel sebagai wahabi dan pelbagai lagi. Padahal - walaupun
ada beberapa sudut persamaan - di Tanah Melayu pengaruh Muhammad Abduh dan
Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah dijadikan jenama untuk golongan
konservatif menuduh musuh-musuh mereka.
Ini
menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu kuat.
Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : "Sesuatu yang tiada syak padanya,
menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang
kepada ayat al-Quran yang agung yang bermaksudnya:
"Jangan
kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa
suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah
(pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada
berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin
‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan
Muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah
dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan
agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah
yang bersih."
(Dr Wahbah
al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).
Namun
malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan jenama
‘salafi' memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami nas-nas agama.
Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada konteksnya yang
sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga gagal menghidangkan Islam
yang dapat menangani perkembangan masyarakat hari ini.
Maka,
‘wahabi' menjadi jenama kejumudan bukan lagi keluasan. Ia telah seiras dengan
golongan konservatif agama yang sedia ada walaupun berbeza dalam beberapa
perkara. Bahkan segelintir golongan yang dinamakan wahabi itu mengharamkan Fiqh
al-Waqi' ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda
dan kedangkalan memahami Usul al-Fiqh.
Di samping
sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik, mengklasifikasikan orang,
menyesatkan mereka yang tidak sealiran, sebahagian mereka yang menggelar diri
salafi itu pula sibuk menjadi lidah yang membela para pemerintah yang mungkar.
Mereka
mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah dalam
apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil tentang haramnya
kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak dan pelbagai perkara
yang lain.
Mereka gagal
melihat dalil dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka
mahu, dan meninggalkan salaf dalam perlara yang bertentangan dengan nafsu
penguasa yang mereka patuhi.
Maka jadilah
jenama salafi ataupun ‘wahabi' itu makin disalahfahami dan mengelirukan.
PROF MADYA
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas
mufti Perlis.
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui
laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya
menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
No comments:
Post a Comment