hasbunallah

hasbunallah

Sunday, May 10, 2015

Selamat Hari Ibu Buat Bonda




Di saat kita berdoa, memohon kepada Allah agar didatangkan seorang lelaki yang baik untuk menjadi suami kita, Allah tidak serta merta menurunkan suami kita dari langit begitu saja..

Tapi jauh sebelum kita memohon kehadirannya bagi kita, ada seorang wanita yang terlebih dulu memohon kehadirannya kepada Allah, dalam rahimnya.

Wanita itu, dengan segala susah payah mengandungkannya dan melahirkannya, penuh doa dan harapan terhadap keselamatan bayinya. Wanita itu, siap menukar nyawanya di bilik bersalin, demi kehidupan bayi yang dilahirkannya. Wanita itu yang menyusuinya, memberikan siang dan malam waktunya untuk merawat buah hatinya itu. Mendidik dan mengasuhnya dengan mengorbankan semua yang dimilikinya.

Menghabiskan masa mudanya, untuk membesarkan anakanda, kerana begitu besar cintanya terhadap puteranya. Anak lelaki itu tumbuh menjadi seorang pemuda yang baik dan gagah. Bayi yang telah dewasa itu adalah suami kita. Ternyata kita hanya wanita kedua dalam hidup suami kita..

Dan kini...
Wanita itu telah menjadi seorang wanita tua. Tidak ada yang dia harapkan selain cinta tulus dari puteranya. Setulus cinta wanita itu sepanjang hidupnya, semenjak mengandung dan membesarkannya hingga dewasa.

Maka...
Jangan rebut cinta suami kita dari ibunya. Biarkan dia mengisi satu tempat istimewa di hati suami kita. Satu sisi istimewa lain di hatinya pasti diperuntukkannya untuk kita. Relakan suami berbagi cinta untuk kita dan ibunya. Kerana kita hanya wanita kedua dalam hidup suami kita..

Mengalahlah, biarkan suami kita lebih mengutamakan kebahagiaan ibunya. Hormatilah dia, muliakanlah dia, sebagaimana kita menghormati dan memuliakan ibu kita. Kerana kita hanya wanita kedua dalam hidup suami kita..

Bantulah suami kita untuk berbakti kepada ibunya. Bantulah suami kita menjaga pintu syurgaNya. Nescaya kita akan mendapatkan tiga cinta sekaligus. Cinta suami kita, cinta ibunya dan yang paling utama cinta Allah. Semoga pahala yang besar akan Allah berikan untuk kita kerananya..

آمِينْ... آمِينْ... يَارَ بَّ الْعَالَمِينَ

 Selamat hari ibu.. Buat bonda tersayang.

Thursday, May 7, 2015

Keputusan Kes Saman Hudud Oleh Parti Gerakan



DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU
DI DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA
SAMAN PEMULA NO: 24 NCVC-12—03 TAHUN 2015

ANTARA
1.     TUAN MAT BIN TUAN WIL
2.     SOH HOON LEE
3.     CHUNG MON SIE                                                 PLAINTIF- PLAINTIF
DAN

KERAJAAN NEGERI KELANTAN DARUL NAIM.DEFENDAN

RINGKASAN ALASAN PENGHAKIMAN

1.     Latar belakang kes

Pihak Plaintif-Plaintif melalui peguamcaranya dari tetuan N S Leong & S T Low telah memfailkan Saman Pemula beserta Afidavit menyokong Saman Pemula tersebut yang di ikrarkan oleh Plaintif Pertama, Kedua dan Ketiga serta difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu pada 18/03/2015.

Plaintif-Plaintif memohon Perintah-perintah daripada Mahkamah sebagaimana berikut:

             (i).            Bahawa kebenaran diberi menurut Artikel 76 dan 76(A) Perlembagaan Persekutuan bagi pengisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah terbatal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan;

          (ii).            Sesuatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18/03/2015 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah bertentangan dengan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan;

        (iii).            Lain-lain deklarasi relif atau perintah yang berbangkit difikirkan wajar oleh Mahkamah Yang Mulia.

Alasan-alasan kepada permohonan tersebut telah dinyatakan bersama di dalam Notis Usul seperti berikut:

             (i).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah menyalahi undang-undang kerana ia memperuntukan berkenaan dengan perkara-perkara bahawa Dewan Undang Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

          (ii).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah ultra vires dan tidak sah dan menjadi tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan;

        (iii).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah tidak sah kerana ia membuat peruntukan berkenaan dengan perkara-perkara yang mana Dewan Undangn Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

        (iv).            Bahawa setengah peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II mewujudkan kesalahan berkenaan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;

          (v).            Alasan-alasan dan isu-isu yang lain adalah dinyatakan dalam Afidavit Sokongan yang difailkan di sini.

Pada 25/03/2015, pihak Plaintif-Plaintif telah memfailkan satu Notis Permohonan kepada Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu yang memohon sebagaimana berikut:-

             (i).            Saman Pemula ini berkenaan persoalan Perlembagaan dirujuk oleh Mahkamah Tinggi (Reference of constitutional question by High Court) ke Mahkamah Persekutuan, Malaysia selaras dengan seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 ( Court Judicature Act 1964 berdasarkan kepada isu-isu seperti berikut:

a)    Sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II Pindaan 2015 yang dibentangkan pada 18/03/2015 dan diluluskan pada 19/03/2015 oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah bertentangan dan/atau bercanggah kepada doktrin struktur asas perlembagaan berdasarkan kepada Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan, Malaysia (contravenes the basic structure doctrine housed in Article 4(1) of the Federal constitution); dan

b)    Sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk menggubal dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II pindaan 2015 pada 19/03/2015.

          (ii).             Keseluruhan prosiding di Mahkamah ini digantung sementara menunggu keputusan rujukan oleh Mahkamah Persekutuan, Malaysia;

        (iii).            Tiada perintah terhadap kos; dan

        (iv).            Lain-lain perintah dan/ atau relif lain yang diputuskan adil dan sesuai manfaat oleh Mahkamah yang mulia ini.

Alasan-alasan yang dinyatakan dalam permohonan Plaintif-Plaintif sebagaimana berikut:

             (i).            Bahawa perintah deklarasi yang dipohon dalam Saman Pemula ini adalah melibatkan isu-isu mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia;

          (ii).            Bahawa selanjutnya, adalah wajar dan adil bahawa prosiding ini digantungkan sehingga kesemua isu-isu berkenaan dirujuk dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan;

        (iii).            Bahawa isu-isu yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan melibatkan kepentingan-kepentingan dan hak-hak asasi jelata Malaysia; dan

        (iv).            Seperti yang dinyatakan dalam Afidavit Plaintif-Plaintif yang difailkan di sini.

2.     Bantahan awal oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan telah diwakili oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan telah memasukkan satu Notis Bantahan Awal terhadap Saman Pemula dan Notis Permohonan Plaintif-Plaintif di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu pada 16/04/2015 atas alasan berikut:-

             (i).            Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan perintah-perintah yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif bagi mencabar kesahan Undang-Undang Negeri;

          (ii).            Permohonan yang dibuat bertentangan dengan peruntukan dalam Perkara 4(3) dan 4(4) dan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.

3.     Penemuan yang dibuat oleh Mahkamah

Setelah meneliti hujah-hujah kedua-dua pihak dalam kes ini, Yang Arif Hakim Dato Azman Abdullah mendapati sebagaimana berikut:-

             (i).            Semasa Saman Pemula ini difailkan oleh Plaintif bersama-sama Afidavit Sokongan oleh peguamcara Plaintif-Plaintif, Dewan Undangan Negeri Kelantan masih lagi membahaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II tersebut. Dengan kata lain kausa tindakan masih tidak lagi wujud pada 18/03/2015 ketika Saman Pemula tersebut difailkan. Sedangkan Kanun Jenayah Syariah (1993) II 2015 diluluskan pada 19/03/2015.

          (ii).            Pihak Plaintif hanya boleh memulakan Saman Pemula dan Notis Permohonan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu dan bukannya memulakan di Mahkamah Tinggi dan baru memohon untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Perkara 128 menyatakan bahawa hanya bidangkuasa Mahkamah Persekutuan sahaja untuk menentukan persoalan sama ada undang-undang yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri tidak sah kerana tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

4.     Keputusan Mahkamah

             (i).            Dengan ini memutuskan bahawa kausa tindakan pada 18/03/2015 belum lagi wujud semasa pihak Plaintif memfailkan Notis Usul ini dan ianya seolah-olah “put the cart before the horse” dan Bantahan Awal Defendan diterima;

          (ii).            Dengan ini Notis Permohonan di Lampiran 6 Plaintif di tolak dan Saman Pemula Plaintif juga dibatalkan dengan kos perlu dibayar oleh Plaintif-Plaintif kepada Defendan sebanyak RM10,000.


Mohd. Abd. Rashid Bin Yah
Penolong Pengarah (Dasar & Perundangan),
Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK),
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh pada : 07 Mei 2015

Tuesday, May 5, 2015

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat



JANGAN SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA TELEFON BIMBIT


Oleh : Mufti Brunei

بسم االله ، والحمد الله ، والصلاة والسلام على رسول االله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Dalam era perkembangan sains dan teknologi zaman ini, berbagai-bagai peralatan baru dan canggih muncul bagaikan cendawan. Salah satu daripada peralatan tersebut, yang dimiliki oleh kebanyakan orang pada masa kini ialah telefon bimbit. Tidak dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba canggih dan moden ini menjadikan penggunaan telefon bimbit seakan-akan satu kemestian kerana kewujudannya banyak membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan. Di samping itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan sesama kaum keluarga, sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya. Selain aplikasi-aplikasi perhubungan, terdapat juga berbagai jenis dan bentuk aplikasi yang lain seperti aplikasi-aplikasi peringatan waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat, berita, permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan beberapa petikan jari sahaja.

Penggunaan telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana kemudahannnya tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum Syara‘. Namun apa yang merungsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat. Bahkan ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih dahulu.

Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah yang lain jika bersembahyang jemaah. Bukti yang paling nyata dapat dilihat dengan jelas ketika perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan sebagainya. Apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?

Tuntutan Diam Ketika Khatib Membaca Khutbah Jumaat Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah Sembahyang Fardhu Jumaat. Ia adalah wasilah terbaik untuk menyampaikan dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Ini kerana pada hari Jumaat, kaum muslimin duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain, tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.



Sunat bagi orang yang menghadiri Sembahyang Fardhu Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, ini adalah adab, dan selain itu ianya sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus lebih mempermudahkan seseorang itu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.

Disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

 Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Dapatlah difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis katakata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan atau disampaikan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.

Adapun bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya Surah Al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat