JANGAN
SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA TELEFON BIMBIT
Oleh : Mufti
Brunei
بسم االله ، والحمد الله ، والصلاة والسلام
على رسول االله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama
Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Dalam era
perkembangan sains dan teknologi zaman ini, berbagai-bagai peralatan baru dan
canggih muncul bagaikan cendawan. Salah satu daripada peralatan tersebut, yang
dimiliki oleh kebanyakan orang pada masa kini ialah telefon bimbit. Tidak
dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba canggih dan moden
ini menjadikan penggunaan telefon bimbit seakan-akan satu kemestian kerana
kewujudannya banyak membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan. Di samping
itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan sesama kaum keluarga,
sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya. Selain aplikasi-aplikasi perhubungan,
terdapat juga berbagai jenis dan bentuk aplikasi yang lain seperti
aplikasi-aplikasi peringatan waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat,
berita, permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan beberapa
petikan jari sahaja.
Penggunaan
telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana kemudahannnya tidak
digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum Syara‘. Namun apa yang
merungsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya
boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik sehingga mereka
sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat.
Bahkan ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama
tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih dahulu.
Maka akan
kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan
mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah yang lain jika
bersembahyang jemaah. Bukti yang paling nyata dapat dilihat dengan jelas ketika
perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah
Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan
telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui
halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan
sebagainya. Apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?
Tuntutan
Diam Ketika Khatib Membaca Khutbah Jumaat Khutbah merupakan salah satu daripada
lima syarat sah Sembahyang Fardhu Jumaat. Ia adalah wasilah terbaik untuk
menyampaikan dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan
duniawi kepada masyarakat Islam. Ini kerana pada hari Jumaat, kaum muslimin
duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain,
tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.
Sunat bagi
orang yang menghadiri Sembahyang Fardhu Jumaat menghadapkan muka ke arah imam
(ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, ini
adalah adab, dan selain itu ianya sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap
qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus lebih mempermudahkan seseorang itu untuk
menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh
khatib.
Disunatkan
juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka
berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat daripada
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada
sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang
berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia”
di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan mengakibatkan rugi pahala
dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih
dikira sah.
Dapatlah
difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis katakata mahupun perbualan
adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan atau
disampaikan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang
jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan
sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah
kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.
Akan tetapi
tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika
terdapat darurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir
terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking
atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang
orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya
melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan
isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Menurut Imam
An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam
mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an,
berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan
bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.
Adapun bagi
orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh
daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama
baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya Surah Al-Kahfi,
bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan
supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.
Hukum
Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat
Adapun
perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh
diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa
yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk
menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika
khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat
itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang
bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat
sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits
ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan
bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah
Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam
hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan
dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan
Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Menurut
ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain
dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua
perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.
Jika dinilai
dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini
adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana
perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi
melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih
menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.
Jadi sangat
jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca
khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab
yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh
menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya
ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan
pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.
Perhimpunan
Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika
telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam
masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang
kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota
tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa
khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa
Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu
Jumaat
No comments:
Post a Comment