Negara kita
sekali lagi dikejutkan dengan satu kejadian yang menyayatkan hati apabila
sebuah Pajero yang dinaiki oleh sepasang suami isteri dan seorang bayi yang
berusia lebih kurang 6 bulan telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan
raya pada 02 Mei yang lalu akibat dilanggar oleh sebuah Myvi.
Difahamkan,
kemalangan maut yang berlaku pada jam 12.30 pagi berpunca dari 6 buah Perodua
Myvi yang berlumba sesama mereka dan salah satu daripada Myvi tersebut terbabas
lalu melanggar sebuah Pajero Sport menyebabkan Pajero itu terbalik manakala
penumpang tercampak keluar.
Ketua Trafik
Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata kes disiasat mengikut
Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tahukah anda
hukuman dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tersebut?
41. (1) Mana- mana orang yang memandu suatu kenderaan
motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang,
setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis,keadaan
dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau
mungkin ada di jalan itu, adalah merbahaya kepada orang awam, menyebabkan
kematian mana-mana orang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan
boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Ini bermakna,
sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut maka Mahkamah hanya
mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya pemandu Myvi tersebut membayar denda
yang tidak melebihi RM10,000 ataupun memerintahkan supaya dia dipenjarakan
untuk suatu tempoh yang tidak melebihi 5 tahun ataupun Mahkamah boleh
memerintahkan supaya pemandu tersebut membayar denda dan turut dipenjarakan
secara serentak.
Bagaimana pula
dengan nasib dua orang anak pasangan malang tersebut yang masih hidup? Siapakah
yang akan membela mereka, menampung kesemua keperluan hidup mereka sehingga
mereka mampu untuk berdikari? Denda yang dikenakan Mahkamah sebanyak RM10,000
maksima itu akan masuk ke perbendaharaan kerajaan dan bukannya diberikan kepada
kanak-kanak tersebut sebagai waris mangsa.
Ketika inilah
peri pentingnya undang-undang syariat Islam yang terkandung di dalamnya Qisas
dan diyat. Qisas adalah hukuman balas yang sama dengan yang dilakukan ke atas
mangsa. Manakala diyat pula ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh
penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan
jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah
hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia
sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan
anggota badan atau melukakannya.
Dalam kes
ini, Mahkamah mungkin boleh mempertimbangkan diyat setelah dipersetujui oleh
waris atau wali bagi kedua-dua anak mangsa tersebut sebagai suatu jaminan masa
depan untuk anak yatim tersebut. Kedua-dua anak yatim tersebut telah hilang
tempat bergantung dan sumber kewangan, jadi sekiranya diyat dikenakan keatas
pemandu Myvi tersebut sekurang-kurangnya ia boleh menjadi sumber kewangan untuk
kedua-dua anak yatim tersebut meneruskan kehidupan mereka yang suram.
Itulah keindahan
hukum Islam yang mengambil kira pelbagai aspek maqasid syariah, bukan sekadar
mangsa tetapi orang-orang yang terkesan secara langsung dengan mangsa turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Bayangkan sekiranya
mangsa itu saudara mara kita, apa yang akan kita rasa? Bayangkan sekiranya
kedua-dua anak mangsa itu adalah anak saudara kita, apa yang akan kita lakukan?
Saat itulah baru kita akan merasakan bahawa hukum syariat Islam yang sepatutnya
dilaksanakan demi keadilan untuk semua pihak.
Mohd. Abd. Rashid Bin Yah
Bertarikh : 05 Mei 2015
No comments:
Post a Comment