hasbunallah

hasbunallah

Thursday, November 13, 2014

LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA DARI SUDUT HUKUM SYARAK





PENDAHULUAN

Allah S.W.T menjadikan makhluk itu berpasang-pasangan. Firman Allah S.W.T dalam surah Yaasiin ayat 36.

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menciptakan makhluk –makhluk semua berpasangan sama ada yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka, atau pun dari apa yang mereka tidak ketahui.

Begitulah jua diciptakan manusia.  Allah S.W.T. menjelaskan tentang kejadian lelaki mahupun perempuan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat  ayat 13.

Maksudnya: Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Dinyatakan lagi bahawa kejadian manusia merupakan sebaik-baik ciptaan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Tin ayat 4.

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Hikmah manusia dijadikan secara berpasangan adalah untuk mengembangkan zuriat keturunan manusia yang diredhai Syarak.

Oleh yang demikian, setiap manusia itu hendaklah bersyukur dengan ciptaan Allah S.W.T. Maka janganlah diubah daripada lelaki yang dilahirkan hakikinya sebagai lelaki menyerupai  perempuan begitulah sebaliknya.

MAKSUD LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Maksud lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya ialah meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti wanita, dari segi perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung atau dari segi gaya bercakap seperti bercakap dengan suara yang halus dan lanjut  atau dari segi  berjalan seperti berlenggang-lenggok dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi  perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala, dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki.

Sehubungan dengan itu, perkara-perkara yang dilarang lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:

1.     Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina,
2.     Gaya berjalan dan gerak badan.
3.     Percakapan dan suara.
4.     Perhiasan.
5.     Pakaian

HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa besar berdasarkan terdapatnya dalil yang mela‘nat orang yang melakukannya.

Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang telah merebak dengan meluas di kalangan umat Islam.

HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA DENGAN CARA PERUBATAN

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya dengan cara perubatan sama ada dengan pengambilan hormon atau membuat pertukaran jantina adalah haram. Ianya termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah. Hal ini berdasarkan hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ  بْنِ مَسْعُودٍ  رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ،  قَالَ:  لَعَنَ  اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ  وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ، مَا لِي لاَ أَلْعَنُ مَنْ لَعَنَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَهُوَ فِي كِتَابِ اللَّهِ : (وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا)

Yang bermaksud, Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a  katanya, “Allah mela‘nat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dila‘nat oleh Rasulullah SAW sedangkan di dalam al-Qur’an Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud... Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta ‘amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya…”

Hikmah pengharaman mengubah-ngubah ciptaan Allah adalah kerana terdapatnya pemalsuan, penipuan dan menimbulkan sangkaan yang tidak benar seperti menganggap ciptaan Allah tidak sempurna.

DALIL PENGHARAMANNYA

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan haram berdasarkan hadith,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.

Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Abbas, katanya, “Rasulullah saw mela‘nat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.”

Begitu juga hadith,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ وَقَالَ: أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُم.

Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Abbas. katanya, “Nabi saw mela‘nat lelaki yang berperangai pondan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu.”

Begitu juga hadith,

عن أبي هريرة رضي الله عته قال: لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبِسُ لِبْسَةَ المَرْأَةِ، وَالمَرْأَةَ تَلْبِسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ.

Yang bermaksud : Daripada Abi Hurairah r.a berkata :Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.

(Hadith Riwayat Abu Daud: 4098 muka surat 27 dalam Bab libas An-nisak Juzuk 4)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabrani, Abdullah bin Amru bin al-As r.a telah melihat Ummu Sa‘id binti Abu Jahal berjalan seperti seorang lelaki dengan pedang tersisip di pinggangnya lalu Abdullah berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِالرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ، وَلاَ مَنْ تَشَبَّهَ بِالنِّسَاءِ مِنَ الرِّجَالِ.

Yang bermaksud, Bukanlah daripada kalangan umatku perempuan meniru lelaki dan lelaki meniru perempuan.

Laknat dalam hadith di atas merupakan celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ianya menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat (  لعن  ) bermakna tidak harus    (  لا يجوز  ) iaitu haram. Manakala al-Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata: Laknat (  اللعن  ) itu menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

HIKMAH DISEBALIK PENGHARAMAN INI

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan mengubah-ngubah ciptaan Allah sebagaimana hadith di atas.

Selain itu, ianya diharam bagi mengelakkan perbuatan homoseksual dan lesbian sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s. Hal disebutkan dalam surah al-Naml ayat 54 dan 55,



Yang bermaksud, Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?


Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”.

KEDUDUKAN LELAKI YANG MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Bagi lelaki menyerupai perempuan dari segi ibadah, mualamah, munakahat sehinggalah kepada urusan jenazah adalah kekal sebagaimana hukum ke atas seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

KEPENTINGAN HUKUM FIQH ISLAM

Hukum fiqh penting kepada umat Islam kerana:

Kaitan Antara Fiqh dan ‘Aqidah Islamiyah

Antara keistimewaan Fiqh Islam sebagaimana yang telah dijelaskan ialah hukum-hukum syara‘  yang mengatur segala perbuatan dan perkataan mukallaf. Ia mempunyai hubungan yang sangat kukuh dengan iman kepada Allah dan mempunyai kaitan yang  rapat dengan asas-asas ‘aqidah Islamiyah, terutamanya yang berkaitan dengan ‘aqidah keimanan kepada hari akhirat.

Hal ini demikian kerana ‘aqidah keimanan  kepada  Allah  menjadikan  seseorang  muslim  itu berpegang teguh dengan segala hukum agama serta memandu mereka ke arah pelaksanaannya dengan penuh keta‘atan dan kerelaan.

Begitu  juga  orang  yang tidak beriman kepada Allah tidak terikat dengan ‘ibadat solat dan puasa. Mereka akan bertindak tanpa mengira halal dan haram. Justeru, beriltizam dengan segala hukum syara‘ merupakan satu cabang daripada beriman kepada Allah yang telah menurunkan syari‘at  kepada  hamba-hamba-Nya

Fiqh Islam Merangkumi Semua Keperluan Manusia

Tidak syak lagi bahawa kehidupan manusia merangkumi pelbagai aspek dan kebahagiaan mereka diperolehi dengan memelihara semua aspek tersebut melalui peraturan dan perundangan.

Oleh sebab Fiqh Islam merupakan hukum-hukum yang disyari‘atkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya bagi menjaga kemaslahatan dan menghindari  kerosakan, justeru Fiqh Islam datang dalam keadaan merangkumi aspek tersebut dan menyusun semua keperluan manusia dengan hukum-hukumnya.

Jika diperhatikan kitab-kitab fiqh yang mengandungi hukum-hukum syara‘ yang bersandarkan kepada kitab Allah , sunnah Rasulullah, ijma‘ ‘ulama’ dan ijtihad mereka, kita akan dapati hukum-hukum tersebut terbahagi kepada tujuh bahagian dan daripadanya dibentuk peraturan umum bagi menjamin kehidupan manusia secara  individu atau bermasyarakat.

Hukum ‘ibadat

Hukum ‘ibadat ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan ber‘ibadat kepada Allah seperti berwudhu’, solat,  puasa,  zakat,  haji dan lain-lain.

Hukum kekeluargaan

Hukum kekeluargaan ialah hukum-hukum  yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti penyusuan, nafkah,  pembahagian harta  dan lain-lain.

Hukum mu‘amalat

Hukum mu‘amalat ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan perbuatan manusia dan hubungan sesama mereka seperti jual beli, gadaian, sewaan, pendakwaan dan keterangan-keterangan, penghakiman dan lain-lain.

Hukum pemerintahan atau siasah shar‘iyah       

Hukum pemerintahan ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan tanggungjawab pemerintah seperti menegakkan ke‘adilan, membasmi kezaliman dan melaksanakan undang-undang. Begitu juga hukum yang berkaitan dengan kewajipan rakyat supaya menta‘ati pemimpin dalam perkara yang bukan ma’siat dan lain-lain lagi.

Kanun keseksaan (قَانُونُ عُقُوبَاتٍ) 

Kanun keseksaan ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan hukuman yang dikenakan terhadap penjenayah, memelihara keamanan  dan peraturan seperti hukuman kepada pembunuh, pencuri, peminum arak dan seumpamanya.

Hukum hubungan antarabangsa (سِيَر)

Hukum hubungan antarabangsa ialah hukum-hukum yang mengatur hubungan antara negara Islam dengan negara–negara lain dari segi peperangan, perdamaian dan lain-lain.

Adab dan akhlaq

Adab dan akhlaq ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlaq, maruah, pekerti yang baik dan yang buruk dan lain-lain.

Demikianlah  Fiqh Islam merangkumi segala hukum yang berkaitan dengan keperluan manusia  dan semua kemudahan hidup individu dan masyarakat.

KESIMPULAN

Perbuatan, sama ada lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya, adalah haram bahkan berdosa besar. Ianya selari dengan ajaran Islam yang melaknat perbuatan tersebut.

Bagi lelaki tulin atau perempuan tulin, penilaian Psikologi dan Psikiatri tidak diterima pakai dalam Islam untuk menentukan jantina seseorang.

Pengharaman ini juga penting bagi membendung kes jenayah Syariah yang lain seperti liwat dan membendung isu perdagangan seks.

Wednesday, October 29, 2014

MENGAPA TIDAK TERUS MINUM DARINYA??



Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.


Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”

Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Semoga bermanfaat..

Dipetik dari Facebook.

Tuesday, September 9, 2014

PRK N.01 Pengkalan Kubor : Laluan Buat Pas



Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta, buat ahli keluarga Baginda serta sahabat Baginda yang mulia.

Ribuan syukur saya ucapkan setelah membaca kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini yang memberikan laluan kepada PAS untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil N.01 Pengkalan Kubor walaupun kerusi tersebut ditandingan oleh calon PKR sebelum ini.

Saya percaya bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keadaan setempat serta kehendak pengundi di Dun Pengkalan Kubor tersebut dan kekuatan jentera parti. Ia juga dibuat berdasarkan semangat muafakat Pakatan Rakyat untuk merampas kembali Dun Pengkalan Kubor dari tangan UMNO.  

Pengalaman dalam dua Pilihan Raya UMUM yang lalu, PKR bertanding bagi kerusi Dun Pengkalan Kubur manakala PAS bertanding bagi kerusi Parlimen Tumpat. PKR kalah di kerusi Dun Pengkalan Kubor tetapi calon Parlimen mendapat undi yang tinggi di Dun Pengkalan Kubor mengalahkan calon UMNO.

Bagi saya, peluang untuk menawan kembali Dun Pengkalan Kubor perlu dijadikan matlamat utama dalam menentukan siapakah yang perlu meletakkan calon bagi bagi kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam PRK ini.

Saya mengucapkan tahniah kepada majlis rundingan kedua-dua parti yang telah mencapai persetujuan mengenai calon bagi PRK ini dengan satu matlamat iaitu menumbangkan UMNO/BN di Kelantan.

Kepada semua jentera parti terutamanya jentera pemuda, kita perlu mengembeleng tenaga semaksima mungkin bagi memastikan Dun Pengkalan Kubor dapat kita tawan kembali. Akhirnya jangan kita lupa pergantungan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa afar menolong usaha dalam perjuangan kita.

Bertarikh 09 September 2014

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah,
Ketua,
Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat.

Friday, August 29, 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta



Tanggal 31 Ogos nanti, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 57 dengan tema kali ini ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’. Tema yang dipilih itu sangat signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat. Difahamkan, tema berkenaan adalah dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad

Bagi saya, ia merupakan satu tema yang unik dan membangkitkan rasa berlainan daripada tema-tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Negara kita sebelum ini. Tema kali ini membuatkan semua rakyat akan berfikir dan merenung sejarah perjuangan para pejuang kemerdekaan negara kita. Kerana cinta mereka kepada negara, nyawa mereka sendiri adalah sebagai taruhan yang tiada galang ganti.

Seorang tokoh pemikir arab al-A’ini menyebut bahawa beliau pernah bertanya A’rabi mengenai cinta. Maka dijawabnya ” Cinta itu satu perkara yang nyata lebih dari tersembunyi, tersembunyi lebih dari kelihatan, tersembunyi seperti tersembunyi kepanasan dan arang batu.”

Cintakan tanah air adalah satu fitrah yang diakui sendiri oleh Rasulullah saw sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dari Abdullah bin Abbas yang bermaksud:
Betapa engkau (Mekah) negeri yang terbaik dan engkau yang amat ku cintai. Jika bukan kerana kaumku yang mengusir aku daripada bumi engkau, maka sudah tentu aku tidak akan pergi melainkan kekal tinggal di bumi engkau.   

Dengan cintakan tanah air dan memastikan tanah air kita selamat serta aman, membolehkan kita mematuhi perintah Allah swt. Menegakkan hukum Islam, menyuruh kepada kebaikan dan menegah perkara mungkar. Ketika itu manusia akan dapat memenuhi sebahagian besar tanggungjawab sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini. Apabila seseorang cintakan tanah airnya, maka dia akan mempertahankan kedaulatan dan kemakmurannya daripada sebarang anasir yang tidak baik sama ada dari luar atau dari dalam. Saya percaya, setiap orang akan mempertahankan sesuatu yang dicintainya daripada diganggu oleh orang lain walaupun dengan nyawa sendiri.

Dalam Islam, terdapat kategori jihad mempertahankan tanah air apabila ianya diserang musuh sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fiqh Manhaji dan hukumnya wajib apabila termasuk dalam kerahan am. Ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf cintakan tanah air dan kewajiban mempertahankannya.

Maka atas nama cinta, semua rakyat Malaysia mestilah memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keamanan dan keharmonian yang ada. Kita sedar bahawa Malaysia diduduki oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama, oleh yang demikian setiap bangsa dan agama perlu mengamalkan sikap toleransi dengan menghormati agama, kepercayaan dan adat bangsa lain bagi mengekalkan keharmonian yang kita kecapi bersama.

Setiap warganegara mempunyai hak masing-masing yang dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang negara. Maka janganlah ada antara kita yang cuba membuat onar dengan memainkan sentimen perkauman seperti menghina adat, kepercayaan dan agama bangsa lain. Jika kita semua memahami perkara tersebut, maka kita akan menikmati rasa cinta pada tanah air yang lahir di hati kita.

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 57.


Thursday, July 10, 2014

Air Mata Tangisan : Buat Gaza Atau Brazil

Saya percaya bahawa semua rakyat Malaysia sudah tahu akan peristiwa yang menimpa penduduk Gaza sewaktu ramai diantara kita yang menangisi kekalahan Brazil di tangan Jerman 7-1. Adakah kita pernah menangisi tragedi penggempuran Israel terhadap penduduk Palestin sebelum ini sebagaimana kita meratapi kekalahan pasukan bola kesayangan kita itu?

Berita serangan Israel keatas Gaza itu mengejutkan kita, apatah lagi ianya berlaku di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Hati menjadi luluh dan pilu sewaktu melihat gambar-gambar mangsa kekejaman zionis laknatullah itu. Mangsa yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak bergelimpangan akibat terkena bom zionis.

Adakah patut saat umat Islam Gaza menangis hiba akibat serangan tersebut, kita masih lagi ghairah dan seronok menikmati perlawanan bola sepak piala dunia? Tegakah kita membiarkan mereka begitu sahaja sedangkan kita masih berseronok dengan piala dunia sambil menikmati barangan yang mempunyai hubung kait dengan Israel?
Ingatlah sebuah hadis nabi,
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
“Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka” (Riwayat al-Hakim)(dinilai sebagai dhaif)

Kalaupun kita tidak mampu untuk membantu mereka dalam bentuk tenaga atau kewangan, maka janganlah kita juga tidak membantu mereka dalam doa kita.