hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, February 18, 2014

Kewujudan golongan anti hadis satu yang mengaibkan

KERAJAAN Malaysia dan ahli politik mesti mengecam ajaran sesat yang menolak keperluan kepada hadis, menolak kesahihan hadis sekaligus menolak baginda nabi Muhammad SAW sebagai pentafsir ayat-ayat mujmal dan ringkas dalam al-Quran.

Menolak hadis bererti menolak al-Quran kerana ALLAH memerintahkan nabi menjelaskan al-Quran kepada manusia. Penjelasan nabi datang dalam bentuk hadis dan sunnahnya.  Lihat ayat dari surah An-Nahl ayat ke 44 dan 64. Antaranya firman ALLAH:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan KAMI tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang KAMI beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 44)

Juga firman ALLAH:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan KAMI turunkan kepadamu al- Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. ( An-Nahl : 64)

Nabi jadi ikutan melalui hadisnya

Al-Quran mengarahkan kita menturuti Nabi dan mengambilnya sebagai ikutan sebagaimana disebut oleh ALLAH di dalam surah Al-Ahzab ayat ke-21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Ertinya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikir kepada ALLAH. ( Al-Ahzab : 21)

Tiba-tiba golongan anti hadis di Malaysia berkata hadis patut ditolak, sedangkan tanpa hadis nabi dan perincian kehidupannya tiada siapa mampu mengambilnya sebagai ikutan.

Taati Rasulullah bererti hadis sampai

ALLAH turut menwajibkan kita mentaati RasulNYA, sebagaimana termaktub arahan ini di dalam al-Quran, contohnya ayat surah Al-Nisa 13:

تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ وَمَن يُطِعِ اللّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya : (Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari ALLAH. Barang siapa taat kepada ALLAH dan Rasul-NYA, nescaya ALLAH memasukkannya ke dalam surga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.

Mentaati Rasul bererti hadis Rasulullah akan dijadikan oleh ALLAH untuk sampai kepada manusia bagi cabaran manusia yang beriman untuk mentaatinya dan ia adalah termasuk di dalam erti mentaati ALLAH.

Jelas, sesiapa menolak hadis adalah juga menolak al-Quran. Mereka yang berkepercayaan begini boleh membawa kepada murtad.

Sesiapa yang meragui kewujudan hadith lambat laun tentunya akan meragui al-Quran kerana al-Quran disampaikan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Melalui kaedah dan metod yang hampir sama juga pelbagai hadis sampai kepada kita. Iaitu melalui hafazan para sahabat dan penulisan kemudiannya dan diturunkan dari generasi ke generasi. Demikian juga hadis, bezanya hanyalah jumlah yang meriwayatkan hadith tidak seramai al-Quran.

Namun apabila telah ALLAH janji menjaga al-Quran dari penyelewengan sebagaimana disebut dalam surah Al-Hijr ayat ke-9, maka amat mesti pula ALLAH menjaga penjelas kepada maksud al-Quran iaitu Rasulullah dan hadis-hadisnya.

Hasil dari itu, jika kerajaan sebelum dan ketika ini bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap Syiah, kumpulan anti hadis ini adalah sama menyeleweng dan berbahaya. Maka wajiblah pihak berkuasa agama dan ahli politik mengambil tindakan dan bukan diberi muka pihak anti hadis berprogram di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri.

Ini satu yang mengaibkan Malaysia. Syiah ada negara seperti Iran namun kita bertegas mengambil tindakan, namun kumpulan sesat anti hadis langsung tiada negara hatta daerah di dunia ini yang menyokongnya, malangnya tindakan tidak cukup tegas pula.

Semoga umat Islam terpelihara dari doktrin sesat anti hadis yang dibawa oleh Kassim Ahmad dan pengikutnya. Inilah antara punca yang menjadikan umat Islam semakin lemah dan semakin mudah terjejas pegangannya.

DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Presiden

Multaqa Asatizah & Duat ( Murshid)

Sunday, February 9, 2014

PERSOALAN DALAM ISTILAH 'TERLAMPAU MEMUJI NABI'

Oleh: Panel Pendidikan YAYASAN SOFA Pimpinan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki As Sanusi (Murid Al Allamah Sayyid Alwi Al Maliki- Cucu Kepada Mufti dan Qhadi Serta Imam Al Khatib Makkatul Mukarramah dan Madinah Semasa zaman pemerintah Khalifah Turki Uthmaniyyah sebelum runtuhnya Khilafah dan Makkah serta Madinah jatuh ketangan Saudi))

Sebagai penjelasan terhadap salah faham terhadap sabda Rasulullah S.A.W: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”

(kami) memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut. Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.

Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.

Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan,
“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu; Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna; Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia dikalangan makhluk Allah seluruhnya.”

Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji NabiNya, melalui beberapa firmanNya termasuk: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (al-Qalam:4) Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.” (al-Hujuraat:2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita. Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.” (al-Nur:63). Tapi hari ini ada yang menyatakan bahawa menggelarkan Nabi SAW dengan “Sayyidina” itu sebagai salah dan melampau.

Mana mungkin memuji Nabi SAW itu sesat sedangkan para Sahabat RA yang mulia sering memuji Rasulullah SAW. Antara yang terdekepan dalam bab ini ialah Saidina Hassan bin Thabit RA sehingga telah diletakkan satu minbar khas baginya dalam Masjid Nabawi ketika zaman Nabi SAW lagi untuk memuji dan mempertahankan Baginda SAW. Maka antara syair Hassan ibn Thabit RA ialah:
“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar! Tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya! Tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas!”

Rasulullah SAW juga ada memuji dirinya sendiri agar kita semua tahu kadar kedudukan Baginda SAW seperti sabdanya :”Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).”“Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.”“Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (Imam Tabrani dan al-Baihaqi di dalam al-Dala’il)

Pada kesempatan yang lain, Baginda SAW bersabda: “Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) Di dalam hadith lain pula Abu Sa’id berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)


**Marilah kita memurnikan kefahaman kita dengan menjauhi sangka buruk terhadap mereka yang memuji, menyanjung dan mengagungkan Nabi SAW. Sesungguhnya kemuliaan Nabi SAW itu begitu tinggi hingga terbuka ruang yang begitu luas untuk kita memuji dan mengungkapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW dengan secanggih yang kita mampu. Manakala batasannya pula adalah terhad dan sempit iaitu jangan sampai menafikan sifat asasi Nabi sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Semoga Allah SWT mengizinkan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa memuji dan berselawat ke atas kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Thursday, February 6, 2014

Tiada Panggilan Sepenting Seruan Ilahi

Saya percaya hampir setiap masjid dan surau di Negara kita mempunyai papan tanda peringatan agar ‘mematikan hand phone’  semasa berada dalam masjid bagi mengelak dari menggangu ahli jemaah lain untuk beribadat, memuliakan majlis ilmu dan juga sebagai menghormati masjid. 

Namun begitu, bunyi deringan hand phone masih tetap kedengaran dalam masjid walaupun peringatan telah diberikan menyebabkan jemaah lain merasa terganggu apatah lagi deringan yang panjang beranika lagu ketika solat kerana tidak dijawab. Sibuk sangatkah kita sehingga tidak boleh ‘mematikan hand phone’ buat seketika bagi menghadap Allah swt dan menjawab panggilanNya? Bukankah Allah yang mengatur dan menentukan urusan kehidupan harian kita?

Imam Malik r.h telah meriwayatkan bahawa al-Bayadhiyyi r.a telah berkata:

أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّو نَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَا تُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ: أَنَّ الْمُصَلِّي يُنَا جِيْ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ يُنَاجِيْهِ وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ بِالْقِرْ آنِ.

"Bahawa Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar kepada orang ramai. Didapatinya ramai orang bersolat dan ramai pula yang mengeraskan (meninggikan) suara mereka dalam membaca al-Qur’an. (Melihat yang demikian) Maka Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya orang yang sedang bersolat itu sedang munajat atau berkomunikasi dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang diperkatakannya itu! Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara melebihi yang lainnya dalam membaca al-Qur'an." - H/R Ahmad dalam Musnad Ahmad (no. 19022).

Dalam riwayat Abu Daud (no. 1332) ada disebutkan:

أعْتَكَفَ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ فِيْ الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُوْنَ بِا الْقِرَاءِة فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلاَّ اِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ فِيْ الْقِرَاءِةِ أَوْ قَالَ فِيْ الصًّلاَةِ.

Rasulullah s.a.w memerhatikan orang-orang yang beriktikaf di masjid dan baginda mendengar mereka menguatkan suara mereka sewaktu membaca al-Qur'an. Baginda menyelak kain langsir dan berkata:

"Setiap daripada kamu sedang berkomunikasi dengan Tuhannya. Janganlah sebahagian daripada kamu mengganggu yang lainnya. Janganlah kamu menguatkan suara kamu melebihi yang lainnya sewaktu membaca al-Qur'an atau ketika kamu sedang solat.

Walaupun ulama membahaskan larangan ini dengan panjang lebar mengenai larangan Rasulullah saw itu dalam kitab-kitab mereka, namun secara asasnya mengganggu ahli jemaah lain dalam masjid adalah dilarang. Sekiranya membaca al-Quran dengan kuat pun ditegur oleh Rasulullah saw, apatah lagi dengan bunyi deringan hand phone yang lebih-lebih lagi mengganggu.

Sebagai contoh, sekiranya kita sedang berhadapan dengan raja atau sultan atau menteri adakah kita akan membiarkan hand phone kita dalam ‘mood’ biasa tanpa menukar kepada ‘silent mood’? Sekiranya dihadapan penguasa Negara pun kita bertindak ‘mematikan hand phone’ apatah lagi jika kita berhadapan dengan Penguasa Alam Semesta?


Kita seharusnya menjaga adab-adab dalam masjid agar tidak menyakiti jemaah lain supaya niat kita untuk beribadah di sana lebih bernilai dan diberikan ganjaran sewajarnya oleh Allah swt. 

Monday, February 3, 2014

Ya Rasulullah, Aku Merinduimu

Dengan izin dan rahmat Allah swt, saya telah diberikan peluang dan kesempatan untuk mengunjungi dua tanah suci pada 21/12/2013 untuk mengerjakan umrah bersama ash-Har Travel. Rombongan yang berjumlah seramai 35 orang itu berangkat dari KLIA dengan penerbangan Saudi Arabian.

Kami dijadualkan untuk ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah terlebih dahulu. Penerbangan yang mengambil masa 8 jam itu ahak meletihkan namun cukup teruja untuk menziarahi Baginda Rasulullah Sang Kekasih Allah. Saya sampai di Kota Rasul tatkala azan subuh berkumandang dari menara Masjid Nabawi.

Suhu yang dingin dan angin yang bertiup perlahan membuatkan tubuh kesejukan sewaktu turun dari bas yang membawa rombongan dari Lapangan Terbang Jeddah. Sewaktu pertama kali kaki melangkah memasuki Masjid Nabawi, hati mula terasa sayu terkenang jasad Baginda Nabi Yang Mulia bersemadi di bawah Kubah Hijau.

Saya beriktikaf sehingga masuk dhuha bagi mencari peluang dalam ribuan manusia untuk masuk solat dan berdoa di Raudhah. Seusai solat dhuha dan membaca al-Quran, saya menyelinap di celahan manusia yang berpusu-pusu mencari peluang untuk memasuki Raudhah dan Alhamdulillah saya berpeluang untuk masuk solat dan berdoa berdekatan Mihrab Rasulullah.

Saya mengambil peluang untuk berdoa semahunya di Raudhah sebagaimana yang dianjurkan oleh ulama. Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa Raudhah ini adalah antara tempat yang seharusnya diperbanyakkan berdoa. Maka saya panjatkan doa untuk kebahagian dunia akhirat buat diri sendiri, ahli keluarga dan sahabat handai.     

Setelah itu saya melangkah keluar dari Raudhah menuju Makam Kekasih Allah yang mulia. Ketika itu para penziarah tidak ramai dan memudahkan saya untuk berdiri betul-betul di hadapan Makam Rasulullah tanpa berasak-asak. Air mata mula mengalir tatkala menyampaikan salam dan selwata buat Baginda Rasul, Kekasih Allah yang amat dirindui. 

“Selamat sejahteralah ke atas Engkau wahai Junjungan yang mulia, Rasul yang agung pemurah lagi penyayang, moga-moga dirahmati dan diberkati Allah ke atasnya, sesungguhnya selamat sejahteralah wahai Nabi Allah, selamat sejahteralah wahai makhluk pilihan Allah, selamat sejahteralah wahai Habibullah, aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa dan sesungguhnya engkau adalah hambaNya lagi pesuruhNya, aku bersaksi, bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menyempurnakan tanggungjawab dan telah memberi nasihat kepada umat dan engkau telah berjihad kerana meninggikan agama Allah, maka selawat dan salam ke atasmu berkekalan sehingga hari kiamat. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepada Baginda kemuliaan dan pangkat-pangkat darjat yang tinggi serta anugerahkan kepadanya tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji sekali-kali.”

Terkenang kasihnya Baginda Rasul kepada umatnya dalam menilai kasihnya kita kepada Baginda. Berapa banyak air mata kita yang tumpah kerana merindui Baginda Rasul berbanding air mata Baginda Rasul yang mulia tumpah kerana kasih kepada kita sebagai umatnya?

Kemudiannya saya menyampaikan salam buat dua orang sahabat Baginda Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq dan Saiyidina Umar al-Khatab.

Sepanjang 4 hari saya berada di Kota Radulullah ini, hampir setiap waktu saya mengambil peluang untuk menziarahi Baginda, menyampaikan salam dan selawat kepada baginda. Kebanyakkan masa saya habiskan untuk beriktikaf di Masjid Nabi supaya tertebus
rindu dengan kedekatan saya dengan Baginda Rasulullah.

Tatkala tiba masanya untuk berangkat ke Kota Suci Mekah, terasa sayu untuk berpisah dan berjauhan dengan Baginda Rasul. Air mata mengalir dan dada menjadi sebak tatkala melakukan ziarah wida’.

Ya Allah, janganlah jadikan kunjungan keatas KekasihMu ini sebagai satu kunjungan yang terakhir bagiku. Tetapi jadikanlah kunjungan ini permulaan bagi keakraban sebuah cinta dan kasih yang berpanjangan selamanya harum.


Ya Allah, jadikanlah rinduku pada kekasihMu ini sebagai salah satu bukti kecintaanku padanya dan jadikanlah ia sebagai semangat yang kuat untuk bertemu dengan kekasih Mu ini lagi. 

Sunday, January 5, 2014

PATUTKAH POLITIK DICAMPUR AGAMA?

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Semalam ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.

Rentetan dari itu juga ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran kristian.

Tujuan Politik

Samada kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama. Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.

Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata:

“Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu –ketika itu- orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya: “Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?”. Mereka menjawab: “Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan”. Nabi s.a.w bersabda: “Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran”.

Dalam riwayat Ibn Khuzaimah ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya”

Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.

Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! V for Vendetta adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk ‘V for Vendetta’. Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkers dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara. Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.

Cuma, sebenarnya bukan isu kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan kristianisasi, hinduisisasi ataupun seumpamanya.

Demikian juga sama apabila ada pihak yang mengharamkan muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun kemudiannya membolehkan muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.

Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.

Politik Agama

Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNYA, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan rasulNYA. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu.

Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNYA. Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.

Dalam sejarah Kristian ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik. Umpamanya dalam isu penjualan indulgences atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu purgatory, relics, saints dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup. Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka.

Inilah hasil apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.

Politik Islam?

Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so called’ agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.

Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka? Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh. Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata. Dalam konteks hari ini, apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?

Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa?

Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Saya tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.

Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam. Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:

“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.. bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.”


Wednesday, October 23, 2013

Bagaimana Kristian menterjemah 'Tuhan'?


ULASAN Jika dilihat daripada faktor sejarah, penyebaran agama serta penginstitusion Islam dan Kristian jelas berbeza biarpun mempunyai asal usul kebudayaan agama ‘Abrahmite'.

Agama Islam disebarkan melalui kesinambungan dakwah dari tanah Arab ke Asia Selatan dan benua Melayu menggunakan teks asal dalam Bahasa Arab. Semua penganut dimestikan belajar bahasa Arab dan mengaji Al-Quran dalam bentuk asal.

Teks serta ajaran juga dikawal oleh institusi setempat seperti istana yang mempunyai kuasa penguatkuasaan dan perundangan. Institusi tersebut juga bertanggungjawab dalam penyelarasan teks dan akidah penganut serta penguatkuasaan kawalan. Namun, penyebaran agama Kristian pula mempunyai asal-usul yang berbeza.

Di Malaysia, agama Kristian disebarkan melalui mubaligh daripada pelbagai mazhab, menggunakan teks dari pelbagai benua. Mereka mengikut tafsiran sendiri.

Agama Kristian, ekoran pemisahan dari kesinambungan kuasa Rom dan kebangkitan pergerakan Protestan telah mengguna pakai sistem liberal dan kebebasan dalam pengolahan teks dalam bahasa dan konteks setempat.

Ia dilakukan tanpa penyeragaman dan tanpa kawalan dan penguatkuasaan. Maka lahirlah pelbagai kemelut pengalihan bahasa serta penggunaan istilah serta perkataan yang mempunyai maksud tersendiri secara organik.

Perkara ini juga terjadi kerana pihak gereja hilang kawalan dan terpaksa bertanding dalam proses dakwah dengan mazhab lain. Mereka mula mencari cara baru melalui exploitasi proses integrasi fahaman setempat.

Sejarah kontroversi di pelbagai tempat

Kemelut politik agama dari sudut pengolahan teks agama Kristian dalam bahasa setempat bukan suatu perkara yang baru. Masalah serta konflik berlaku antara agama, denominasi atau mazhab dalam agama Kristian itu sendiri.

Pada tahun 2008, di India, tercetus kontroversi antara kepimpinan institusi agama Hindu dan Kristian ekoran penerbitan Kitab Injil atau Bible dalam bahasa suku kaum asal. Illustrasi Bible yang dikenali sebagai "New Community Bible" dinyatakan mengandungi teks serta naratif dari Bhagavad Gita, mantra serta rujukan kepada prinsip Ahimsa Mahatma Ghandi.

Bible tersebut juga mengandungi naratif Jesus sebagai seorang miskin dari India lengkap dengan ilustrasi serban dan tanda dahi atau ‘bindi' yang diamalkan masyarakat Hindu. Bible tersebut diiktiraf oleh kepimpinan tertinggi mazhab Roman Katolik dan dipertahankan sebagai mesej kemanusiaan kepada semua. Namun pelbagai pihak termasuk Kristian bermazhab Protestant membuat bantahan atas sebab tersasar dari prinsip asal dan menyesatkan umat dari prinsip tersebut.

Perkara yang serupa juga dilaporkan dalam Bible di India yang sering mencetuskan kontroversi mengenai dakwah dan cubaan mengkristiankan orang Hindu secara sistematik dengan exploitasi istilah dan budaya setempat. Di India juga, penentangan terhadap dakwah Kristian bersifat ganas dan keras. Perkara ini juga bukan kes terpencil.

Seorang pengkaji Korea Sangkeun Kim dalam bukunya berjudul Strange Names of God, The Missionary Translation of Divine Name, menghalusi mengenai kontroversi pengalihan bahasa nama tuhan dalam Bible di India, Jepun dan Peru. Kim dalam kajian kes beliau mencatatkan kontroversi antara agama Kristian dengan Hindu, Buddha dan agama Orang Asal.

Di Selatan India, penggunaan istilah "Son of Ishvara" sebagai rujukan kepada Yesus Kristus dalam Bible bahasa ehtnik India Selatan mencetuskan kontroversi. Kepimpinan tertinggi Buddha menyatakan secara terbuka bahawa ada unsur unsur memesong dan menipu masyarakat untuk tujuan dakwah.

Kes tersebut juga membawa masalah fahaman penganut Kristian yang pincang kerana istilah ‘Ishvara' yang digunakan di Bible tempatan juga mencetus kekeliruan kerana istilah asal Ishvara juga merangkumi isteri beliau.

Perkara ini membawa salah faham yang serius kerana menyifatkan Yesus sebagai seorang yang mempunyai isteri dan membawa krisis maksud dalam konteks asal di kalangan penganut Kristian.

Perkara sama juga dilaporkan di Jepun, dengan rujukan Bible yang dialih bahasa dan diolah oleh Anjiro, seorang bekas penganut Buddha yang dikatakan mengeksploitasi budaya serta agama asal Jepun untuk tujuan dakwah.

Anjiro dalam proses alih bahasa telah mengambil istilah istilah seperti ‘Jodo' yang bermaksud syurga, ‘tamashii' untuk maksud roh, ‘tennin' untuk maksud malaikat, ‘jigoku' untuk maksud neraka dan ‘Dainishi' untuk maksud tuhan.

Penggunaan istilah istilah ini yang mempunyai maksud serta rujukan tersendiri dalam bahasa Jepun dalam konteks agama Buddha telah mencetus kontroversi ekoran ‘Dainishi' dalam bahasa Jepun bermaksud Matahari Ulung.

Setelah kontroversi tersebut diperdebatkan, istilah ‘Dainishi' di tukar kepada ‘ Daiusu' menurut istilah Latin Deus yang bermaksud tuhan mengikut loghat Jepun.

Selepas kejadian itu, pada tahun 1552, kesemua istilah istilah kontroversi di tukar kepada istilah lain mengikut kerangka baru yang dikenal pasti. Begitu juga di Peru antara tahun 1588, melibatkan istilah Orang Asli Peru keturunan Quechua.

Setelah tanah orang asli ditakluk dan ditukar agama mereka, pihak mubaligh melihat bahawa Orang Asli Kristian masih mengamalkan agama lama mereka.

Pada masa itu, pihak mubaligh menggunakan istilah Orang Asli seperti ‘Dios' dan ‘Appo' yang merujuk kepada kepercayaan asal suku kaum Andes ini dan membentuk perkataan baru ‘Appodios' .

Perkara ini juga dijelaskan dalam jurnal University Edinburgh berjudul 'The appropriation of Quehua language by the church and the Cristianisation of Peru in early Sixteenth and Seventeenth Centuary'.

Penggunaan istilah Quehua ini dibuat atas andaian bahawa Orang Asli Peru tidak mempunyai kapasiti untuk memahami tuhan baru mereka dan lemah dari struktur semantik, biarpun ia dilaporkan tidak berasas.

Pembanterasan anti-Kristian 1737

Berlainan pula cerita di China dalam isu ‘The Chinese Rite Controversy', yang mana mubaligh yang menerima sambutan positif berakhir dengan tentangan hebat dari Maharaja Kangxi yang mengusir semua golongan itu dari China.

Peristiwa itu juga merupakan titik tolak polisi pembanterasan anti-Kristian pada 1737. Peristiwa di China merupakan satu lagi masalah pengambilan istilah tempatan yang membawa maksud yang bercanggah dengan pemujaan dan kepercayaan nenek moyang.

Pada satu masa, perkembangan istilah istilah ini membawa kepada konflik di mana gereja mula masuk campur untuk menghalang penganutnya melakukan pemujaan fahaman mereka demi melindungi erti kata baru Kristian.

Penggunaan istilah serta campur tangan gereja untuk membetulkan fahaman ekoran dari penggunaan istilah ini telah membawa salah faham sehingga Maharaja Kangxi memutuskan agama Kristian sebagai ajaran sesat Buddha dan Tao.

Kebimbangan pemimpin dan masyarakat Islam dalam perkara penggunaan istilah ‘Allah' adalah bertempat, berdasarkan rekod lampau gereja Katolik yang kurang memberangsangkan.  Perkara ini juga dirumitkan lagi setelah pihak Vatican secara langsung membuat intevensi dalam kes ini.

Namun di Malaysia, biarpun penggunaan Istilah ‘Allah' oleh pihak gereja mempunyai risiko pengolahan maksud namun ia juga membawa risiko pemesongan agama Kristian itu sendiri.

K SHAN pengerusi Institut Kebangsaan Intergriti Pilihan Raya dan Demokrasi (NIEI) serta aktivis sosial.


Dipetik dari Malaysiakini