hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, March 31, 2010

Pertemuan Dengan Kumpulan Dikir


29/03/2010 (Isnin) satu pertemuan antara kumpulan dikir Sri Air Mata, Tanjung Kuala dengan YB Dato’ Haji Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Adun Kelaboran) telah diadakan di Kampung Tanjung Kuala pukul 10.00 malam. Kehadiran kami disambut dengan persembahan dikir oleh kumpulan tersebut serta kumpulan dikir jemputan Sri Istana, Kampung Sri Tujuh.

Sebagai pengacara majlis, saya mengingatkan bahawa para pendikir telah anugerahkan Allah s.w.t dengan suara yang cukup lunak merdu. Maka ianya patut disyukuri dan digunakan untuk menyeru masyarakat supaya mentaati Allah s.w.t dengan alunan lagu-lagu nasihat.

Ianya turut dijelaskan lagi oleh YB Mohd Zaki Hj Ibrahim sewaktu menyampaikan ucapan aluan. Beliau menegaskan bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab dalam masyarakat mengikut bidang tertentu. Beliau yang terlibat dalam politik mempunyai tanggungjawab dalam kerajaan negeri untuk menyedarkan masyarakat supaya terus berpegang dengan agama Allah. Manakala kumpulan dikir pula mempunyai tanggungjawab dalam bidang seni untuk mendidik masyarakat yang sekarang ini kalut dengan pelbagai gejala sosial.

Manakala YB Dato Haji Kamaruddin Jaafar pula menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan kegiatan seni. Malah seni ini mendapat tempat yang khusus dalam masyarakat terutamanya dikir barat yang mana hanya di Kelantan sahaja wujudnya. Beliau juga ingin mewujudkan hubungan baik dengan kumpulan seni dan bersedia membantu kumpulan seni.

Diakhir pertemuan ini, YB Dato Kamaruddin Jaafar telah menyampaikan sumbangan baju kepada kumpulan dikir Sri Air Mata.

     

Sunday, March 28, 2010

Pendidikan Seks Di Sekolah


Cadangan kerajaan untuk mewujudkan mata pelajaran pendidikan seks di sekolah mengundang pelbagai reaksi dari ibu bapa dan masyarakat. Ada yang menyokong cadangan tersebut dan tidak kurang pula yang tidak bersetuju. Antara tujuan kerajaan untuk mengadakan subjek tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai perkara-perkara berkaitan seks dan anatomi tubuh badan manusia. Ini adalah kerana bagi menangani gejala sosial dikalangan remaja terutamanya jenayah rogol, cabul,zina serta pembuangan bayi yang telah menjadi masalah utama negara masa kini.

Pada pandangan saya, pihak kerajaan perlu membuat suatu kajian yang teliti berkenaan pro dan kontra serta efek yang mungkin timbul daripada implimentasi mata pelajaran pendidikan seks di sekolah tersebut. Masyarakat tentunya tidak mahu kerajaan memutuskan perkara ini dengan tergesa-gesa tanpa membuat penilaian yang rapi kerana perancangan yang tidak matang (premature) dalam isu yang besar ini akan menyebabkan timbulnya isu yang lebih besar diluar jangkaan kita. Kerajaan juga perlu mengambil pengajaran daripada negara-negara yang telah menjadikan pendidikan seks sebagai salah satu pelajaran yang diajar di sekolah seperti Amerika Syarikat.

Sebelum dilaksanakan cadangan tersebut, pihak kerajaan perlu jelas dalam menentukan matlamat akhir dalam perlaksanaan pembelajaran subjek pendidikan seks tersebut. Adakah ianya untuk mengelak para remaja terjebak dengan jenayah zina atau hanya sekadar untuk mengatasi masalah rogol dan pembuangan bayi semata-mata. Kita yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t perlu jelas dalam perkara ini bagi menentukan hala tuju kita mengenai cadangan tersebut. Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk membendung jenayah rogol dan pembuangan bayi, saya percaya dengan adanya pendidikan seks disekolah akan meningkatkan lagi indek jenayah tersebut.

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (at-Tahrim: 6)


Ayat diatas adalah antara ayat-ayat al-Quran yang menjadi dasar dalam mendidik ahli keluarga terutamanya anak-anak agar mematuhi segala suruhan Allah s.w.t dan menjauhi segala laranganNya.

Ibn Jarir dan Ibn Munzir meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a mengenai sabda Rasulullah s.a.w:

Taatlah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah serta suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-laranganNya. Kerana hal itu akan memelihara mereka dan kamu dari api neraka.[1]

Oleh yang demikian, sebagai orang yang mengaku sebagai Muslim perlu menjadikan kedua-dua nas ini sebagai asas pendidikan anak-anak. Sebagaimana kepercayaan kepada Rasulullah dan kitab yang diturunkan Allah menjadi antara rukun-rukun iman yang wajib kita imani, maka kita kenapa harus kita ingari perintah-perintah tersebut.

Allah s.w.t telah menjelaskan dalam firmanNya:

Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.(al-Isra’ : 32)


Saya percaya bahawa ramai orang dikalangan masyarakat risau dengan perkara ini kerana ditakuti mata pelajaran tersebut akan mencetuskan lagi keinginan para remaja untuk mengetahui malah untuk melalui sendiri keseronokan seks tersebut.

Sebagai orang Muslim, kita wajib mendidik anak-anak kita ini melalui garis panduan yang telah ditetapkan Islam dan bukannya meniru mana-mana bangsa yang tidak sedikitpun ambil berat mengenai pendidikan Islam. Kenapa perlu kita ikuti masyarakat lain sedangkan kita mengatakan bahawa kita ini beriman dengan segala-gala rukun Iman? Padahal Allah s.w.t telah menyebut di dalam al-Quran,

Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21)


Allah sw.t. telah menjamin bahawa Rasulullah itu merupakan tauladan ikutan yang baik untuk dicontohi dalam kehidupan manusia. Dalam perkara ini adakah pihak kerajaan yang mencadangkan mata pelajaran seks tersebut mengambil kira perkara-perkara ini dalam menetapkan silibus mata pelajaran tersebut.

Ada antara penyokong cadangan tersebut menghujahkan bahawa Dr. Abdullah Nashih Ulwan ada menyebut dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyatul Awlad, bahawa pendidikan seks anak-anak adalah antara pendedahan ilmu yang patut diajar.

Namun perlu diteliti bahawa Dr. Abdullah meletakkan pendidikan seks kepada anak-anak disenaraikan pada tempat ketujuh dalam senarai seperti berikut:
1.      Tanggungjawab pendidikan Iman
2.      Tanggungjawab pendidikan akhlak
3.      Tanggungjawab pendidikan fizik
4.      Tanggungjawab pendidikan intelektual
5.      Tanggungjawab pendidikan Psikologi
6.      Tanggungjawab pendidikan sosial
7.      Tanggungjawab pendidikan seksual

Jadi, sekiranya kita mahu mengadakan pendidikan seks untuk anak-anak, dimanakah kita tinggalkan enam tanggungjawab pendidikan yang lain yang telah disenaraikan terlebih dahulu.

Model pendidikan anak-anak seperti yang dinyatakan oleh Dr. Abdullah Nashih Ulwan adalah antara yang termasyhur disebut oleh para ulama-ulama. Jika dilihat dalam kitab beliau, pendidikan iman adalah paling utama perlu diterapkan kedalam jiwa anak-anak. Ia dengan sendirinya menunjukkan betapa peri pentingnya iman sebagai asas pendidikan manusia. Berapa banyak kita lihat manusia yang mempunyai pendidikan tinggi namun ianya sesat dalam ilmu kerana tidak mempunyai asas keimanan yang kukuh. Malah ada diantara mereka kelihatannya menentang hukum-hukum yang telah ditentukan Allah s.w.t dengan menganggapnya kuno dan bertentangan dengan hak asasi manusia!

Jadi, sekiranya kita hanya menerapkan pendidikan seks kepada anak-anak yang kononnya boleh mengelakkan merebaknya gejala sosial sedangkan tiada asas keimanan yang kukuh dan sempurna diterapkan, saya percaya ia bukan sahaja akan menemui kegagalan malah akan meningkatkan lagi gejala sosial tersebut.

Kenapa tidak sahaja kita perkenalkan pendidikan akhlak Islam kepada anak-anak yang merangkumi aspek pergaulan dan batasan-batasan yang perlu dijaga. Saya yakin dan percaya, jika kita cari jalan penyelesaian yang tidak diteraskan kepada agama ianya pasti akan menemui kegagalan.

Oleh yang demikian, cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan sebenar-benarnya dengan mengambil kira pendapat para ulama-ulama agar ianya selari dengan kehendak Islam sebagai sebuah agama yang kita imani.   


[1] Dr. Abdullah Nashih Ulwan, Pedoman Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. Penerbit Asy- Syifa’, Bandung. Cetakan Kedua 1995; 152.

Sunday, March 14, 2010

Facebook 'Kerajaan Langit'


Tidak saya sangka ‘Kerajaan Langit’ juga turut mempunyai Facebook. Ingatkan manusia di bumi sahaja yang sekarang ini bagaikan mabuk dengan laman sosial tersebut, tetapi ‘Kerajaan Langit’ juga mengambil peluang yang terbuka luas ini untuk menyebarkan dakyah fahaman songsang lagi sesat Ayah Pin ini.

Yang saya peliknya, telah ramai orang Islam terutamanya menjadi pengikut ajaran ini. Malah ada diantara mereka itu yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi. Nampaknya manusia ini terlalu mudah untuk menerima ajaran songsang seperti ini walaupun ajaran mereka jauh terpesong dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Mereka menerima bulat-bulat dakwaan Ayah Pin bahawa dia adalah wakil Tuhan di bumi untuk menyatukan semua agama serta mempunyai kuasa yang luar biasa. Inilah jadinya bila silap memilih guru. Harapkan cahaya hidayah namun yang dapatnya kelam kesesatan. 

Saturday, March 6, 2010

Diskusi Semasa: Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang


Pagi ini saya telah berpeluang untuk menghadiri satu program yang bertajuk Diskusi Semasa: Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang anjuran Urusetia Penerangan Kerjaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Muslimat Legal Team (Muslet) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bertempat di Dewan Besar Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Antara pembentang kertas kerja yang telah dijemput ialah Ass. Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz (Pensyarah Undang-Undang UIAM), Dato Haji Wan Abd. Mutalib Embong (Mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu) dan Tuan Haji Mohd. Hassan Salleh (Bekas Pegawai Kewangan Petronas).

Para peserta telah didedahkan oleh para panelis mengenai asas tuntutan royalty oleh Kerajaan Kelantan bagi menjawab beberapa kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Mustapha Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang menafikan bahawa Kelantan berhak untuk mendapatkan royalty minyak.  

Para penalis terutamanya Dr. Shamrahayu dan Dato Wan Abdul Mutalib menyatakan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak pernah menyebut bahawa negeri hanya berhak untuk mendapatkan royalty minyak sekiranya telaga minyak tersebut ditemui dalam jarak 3 batu nautika sahaja dari pantai negeri tersebut.

Penafian oleh kedua-dua menteri tersebut seolah-olah menidakkan perjanjian petroleum yang telah ditandatangan bersama. Walaupun Akta dan Perjanjian tersebut tidak pernah menyebut perkataan royalty, namun disana terdapat perkataan ‘cash payment’ atau bayaran tunai sebanyak 5% yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan negeri. Kalau tidak mahu beri royalty pun tidak mengapa, tapi berikan bayaran tunai sebanyak 5% tersebut yang menjadi hak rakyat Kelantan.

Program ini telah memberikan penjelasan yang cukup baik kepada rakyat Kelantan mengenai status sebenar hak yang sepatutnya mereka perolehi dari negeri mereka. Ramai yang ingin mendapatkan penjelasan daripada ahli penal mengenai isu ini.

Apa hendak jadi dengan dua menteri yang mengaku sebagai anak Kelantan tapi menafikan hak rakyat Kelantan sendiri.

Thursday, March 4, 2010

Tak Bagi Salam dan Tak Basuh Kaki


Apa yang boleh saya simpulkan mengenai isu ini ialah sebagai ‘Masuk Rumah Orang Tak Beri Salam dan Tak Basuh Kaki’ kepada juak-juak UMNO yang masih tidak sedar diri. Mungkin dengarnya seperti saya sedikit beremosi, tapi itulah realitinya apabila puak-puak UMNO masih cuba tidak mahu sedar.

Sebelum ini, adalah Menteri dan Timbalan Menteri yang mengaku sebagai anak Kelantan bersama juak-juaknya dok asyik ceramah bertujuan untuk memutar belitkan fakta serta memberikan kekeliruan kepada rakyat Kelantan bahawa Kelantan sebenarnya tidak berhak dan tidak layak untuk mendapat royalti.

Tapi alih-alih baru-baru ini, puak-puak yang tak sedar diri ini terhegeh-hegeh membuat pertemuan dengan bos mereka untuk membincangkan mengenai wang ehsan. Bos pulak hendak salurkan wang ehsan tersebut kepada ‘tali barut’ mereka Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Berapalah agaknya yang akan betul-betul sampai kepada rakyat wang tersebut?

Saya tertanya-tanya, siapa yang memerintah Kelantan sebenarnya? UMNO atau Pas? Yang mereka hendak buat sesuka hati dalam rumah orang ini apahalnya. Mereka seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan rakyat Kelantan yang mahukan Pas terus memerintah Kelantan dengan mencampuri semua urusan kerajaan negeri.  Cakap tak serupa bikin!!!

Bila GEGAR anjurkan ceramah dan majlis solat hajat mengenai royalti yang dihadiri oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Stadium Sultam Muhammad IV baru-baru ini, adalah seorang Pak Menteri mengkritik kenapa tidak bawa isu royalti minyak ini ke Mahkamah sahaja daripada dok ceramah kepada rakyat yang diupah untuk datang mendengarnya.

Namun apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan usul untuk membawa isu royalti minyak ini ke Mahkamah, ada pulak Pak Menteri yang lain mengutuk usul tersebut dengan menyatakan bahawa sepatutnya perkara ini perlu diselesaikan melalui rundingan dan bukannya melalui proses Mahkamah. Saya tidak pasti sama ada Pak Menteri tersebut ‘alert’ atau tidak mengenai beberapa siri rundingan yang telah dibuat oleh Kerajaan Kelantan sebelum ini menemui kegagalan. Yang mana satu betul, seorang Menteri mencabar kerjaaan untuk membawa isu ini ke Mahkamah dan manakala seorang lagi menegaskan ia sepatutnya diselesaikan melalui rundingan. Bercelaru sungguh Pak Menteri kita ini!!!  

Terbarunya pulak, ada seorang Timbalan Menteri yang mengaku anak Kelantan bertindak seperti tuan rumah apabila bertindak merasmikan pelepasan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi sedangkan apa jawatannya dalam kerajaan negeri bagi membolehkan beliau berbuat demikian?

Bercelaru sungguh jadinya apabila manusia tidak mahu ‘sedarkan’ diri mengenai status mereka yang umpama sekadar tetamu sahaja dan bukannya tuan rumah.

Kalau saya, tetamu yang masuk rumah saya tanpa memberi salam dan tidak basuh kaki ini dah lama saya hambat mereka keluar kerana mereka ini jenis yang tidak sedarkan diri!!!!!