hasbunallah

hasbunallah

Monday, September 24, 2012

Taat pada penguasa ada batasnya


Dr Mohd Asri Zainul Abidin
4:38PM Sep 13 2012

Pada Sabtu ini, saya Insya-Allah akan membentangkan kertas dalam Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak.

Tajuk yang diberikan kepada saya ialah "Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan Maqasid".

Oleh kerana penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi sedikit di ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.

Mentaati pemerintah ini termasuk dalam fikah siasah iaitu fikah Islam yang berkaitan dengan imarah, imamah ataupun kepimpinan dalam Islam.

Perbezaan pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini kerana ada golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini isu akidah.

Dalam erti kata lain, sesiapa yang tidak taat kepada kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan:

"Kelima: memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya. Tujuan untuk membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah khilafiyyah, tentang keluar menentang penguasa, mengenai mengikut salah satu imam mazhab yang empat...." (Muhammad Tahir ibn ‘Asyur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186. Tunisia: Dar Suhnun)

Walaupun tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka, tetapi memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar. Ia akan membawa kekecohan bawa iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik.

Hal yang sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada parti politik mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka mengkafirkan ataupun memandang sesat sesiapa yang tidak menyokong parti tertentu.

Sejarah hitam kafir mengkafir di Malaysia adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan menurut kehendak politik kepartian.

Rukun kedamaian

Mentaati ulil amri ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakan maslahah siasiyah (kemaslahatan politik).

Mustahil dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan kemaslahan rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri.  Ini seperti mana mustahil dapat ditegakkan keamanan tanpa keadilan daripada pemerintah yang menguruskan kehidupan negara dan rakyat.

Allah menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa' ayat 58-59 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

"Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ayat perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab memilih pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian pemimpin pula berhukum dengan adil.

Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan, mana datangnya penegasan tanggungjawab ketaatan.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib:

"Tanggungjawab pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah". (Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)

Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam kitab Fath al-Bari:

"Antara jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabiin kepada para pemerintah Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat kepada kami dalam firman-Nya ‘dan Ulil Amri dari kalangan kamu'.

"Maka dijawab: 'Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah. (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4. Beirut: Dar al-Fikr).

Dalam Tafsir al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabiin yang terkenal Abu Hazim dengan Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan. (Jilid 1/232. Beirut: Dar al-Fikr)

Ini kerana, apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah kemaslahatan siasah yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan. Maka, ketika itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran Allah dan rasul-Nya.

Tidak mutlak

Maka, ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka ditaati tidak sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya adalah mutlak.

Allah dan rasul tidak boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan manusia.

Hal ini tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan kepada mereka tidak mutlak. Mereka sentiasa terdedah kepada kepentingan diri seperti mana manusia lain, maka bukan semestinya semua yang datang dari mereka itu untuk maslahat rakyat dan negara.

Kemungkinan arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut yang bermaksud:

"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi:

"Berkata al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firman-Nya ‘taatilah Rasul' sebagai isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak mengulanginya pada ulil amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan mereka (ulil amri) yang tidak wajib ditaati.
"Kemudian Allah terangkan perkara itu dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu...' seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan kebenaran maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisihkan mengenainya kepada hukum Allah dan Rasul-nya". (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4)

Taat dalam perkara ijtihadi

Tidak dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui oleh rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak mungkar.

Maka sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah (kerosakan) yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat mesti taat.

Ini kerana jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam.

Dalam keadaan seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam.

Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW, sabda baginda:

"Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah.

Bahkan dalam hadis di atas baginda Nabi SAW menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia tidak menyanggahi Allah.

Kata al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan:
"Maksudnya, wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat". (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/537, Beirut: Dar al-Khair).

Dengan itu, jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan pandangan pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara nyata, maka kita diamkan diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya.

Ini tidak menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.

Membezakan

Maka, rakyat hendaklah membezakan antara perkara mungkar, zalim dan mafsadah (merosakkan) dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak tetapi ia tidak mungkar, tidak zalim dan tidak merosakkan kepentingan awam.

Maka bahagian yang kedua termasuk dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh seorang muslim sekalipun dia tidak menyukainya.

Namun, jika ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata, maka ia tidak ditaati.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sunday, September 23, 2012

Sayang nabi: Dari nurani ke demonstrasi


Dr Mohd Asri Zainul Abidin
4:19PM Sep 21 2012

Innocence of Muslim sebuah karya bangsat yang menjijikkan. Ini diakui oleh banyak pengkritik filem di Barat sekalipun.

The New York Daily News menyebutnya sebagai "an obscenely inept vanity project that is far beneath any reasonable standard of movie-making".

Saya tidak bersetuju apabila seorang anggota parlimen DAP menyatakan demonstrasi aman bantahan terhadap filem Innocence of Muslims hanya membuang masa umat Islam.
Kenyataannya itu tidaklah begitu jauh dari ‘fatwa' beberapa ahli agama muda Umno yang mengharamkan semua jenis demonstrasi aman sekalipun untuk melahirkan bantahan penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pandangan mereka juga saya tidak setuju sejak dahulu.

Saya tidak pasti apakah tujuan anggota parlimen DAP tersebut membuat kenyataan itu sedangkan Pakatan Rakyat sebelum ini berkempen untuk rakyat turun ke jalan menyatakan bantahan mereka dalam pelbagai perkara. Tidak pula tokoh DAP yang anggota PR berkenaan menyatakan rakyat telah membuang masa dan sepatutnya mencari pendekatan yang lain. Namun apabila tiba kepada perkara yang sensitive bagi umat Islam, maka timbul pandangan bahawa itu membuang masa.

Sebagai rakyat Malaysia, ahli politik lagi, beliau sekalipun bukan Muslim patut tahu bahawa insan yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah itu lebih lebih berharga dari segalanya dalam kehidupan Muslim.

Haram, haram, haram

Saya juga tidak setuju dengan sekumpulan agama dalam Umno yang sibuk untuk mengharamkan demonstrasi aman membantah filem yang menghina Nabi SAW kerana kononnya itu tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi SAW dan bukan amalan salafussoleh.

Malangnya, mereka tidak bising apabila kerajaan saban tahun membuat sambutan maulid yang mengandungi perhimpunan, perarakan, kibaran slogan dan bendera dan pelbagai lagi. Itu semua hakikatnya demonstrasi ataupun tunjuk perasaan. Sama ada sayang ataupun marah, kesemuanya perasaan. Apa yang dibuat saban tahun itu bukan dari petunjuk Nabi SAW. Bahkan tiada alasan yang kukuh untuk dibuat demikian rupa dan saban tahun pula.

Pun begitu, ia tidak ‘sakan' dibantah. Namun apabila tiba isu menunjukkan rasa sayangkan Nabi SAW serta marahkan penghinaan kepada baginda, dan alasan untuk itu juga kukuh, tiba-tiba fatwa haram dikeluarkan lagi.

Alasannya, Nabi SAW dan sahabat tidak pernah buat. Menariknya, fatwa itu disiarkan dalam blog, Facebook dan Twitter yang kesemua media itu juga tidak pernah digunakan pada zaman Nabi SAW dan sahabat RA.

Apapun saya suka dengan Pemuda Umno dan PAS yang berhasrat untuk menyatakan bantahan aman mereka. Saya juga bercakap dengan Saudara Khairy Jamaludin untuk menganjurkan bersama ‘Malam Seni Cintakan Nabi SAW".

Beliau turut bercadang mengajak pihak PAS juga. Penggiat seni Puan Erma Fatima mencadangkan kepada saya untuk diajak semua pihak terutama penggiat filem bersama. Ini isu kita bersama. Saya suka suasana ini. Muslim itu, siapa pun dia, Nabi Muhammad SAW tetap agung di lubuk jantung hatinya.

Demo zaman kini

Saya akur demonstrasi aman bukan satu-satunya jalan dalam menyatakan perasaan. Demontrasi juga bukan semestinya penyelesaian. Masih terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan cinta dan mempertahankan baginda SAW.

Pada hari ini, kita boleh menulis di media, di Facebook, menghasilkan video, berseni dan pelbagai lagi. Namun, bukan semua orang mampu untuk melakukan pendekatan itu, sedangkan Nabi SAW itu dicintai oleh setiap Muslim dari pelbagai latar belakang.

Bukan sahaja yang pandai menulis dan membaca, juga yang buta huruf dan tidak bersekolah tinggi. Bukan sahaja orang muda yang aktif di media maya, juga orang tua yang uzur dan yang hanya mampu menulis di kertas sahaja.

Demonstrasi aman dapat menghimpunkan semua mereka, untuk berkongsi rasa dan menzahirkannya. Maka demonstasi aman memberi ruang kepada banyak pihak.

Dunia Barat sekalipun hampir berjaya menghapuskan buta huruf dan penggunaan media maya begitu luas dan bebas, namun demonstrasi aman masih satu pendekatan yang terus digunapakai oleh mereka.

Bagaimana dunia akan tahu hasrat rakyat Catalonia hari ini untuk bebas dari Sepanyol jika tidak lebih juta rakyat yang keluar ke jalan menyatakan hasrat mereka. Siapa yang akan tahu tentang pencemaran alam sekitar, penindasan golongan minoriti dan seumpamanya jika tidak suara demonstrasi para pejuangnya.

Demonstrasi aman saluran yang membolehkan perubahan dibuat di serata dunia. Demikianlah demonstrasi aman itu berfungsi dalam kehidupan politik manusia pada hari ini. Jika manusia lain sanggup berhimpun untuk membantah pencemaran alam, mengapa tidak kita keluar membantah pencemaran imej Nabi SAW yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara yang lekeh, mengapa tidak kita keluar membantah penghinaan perkara yang asas dalam kehidupan kita. Nabi SAW ketika mengulas pertanyaan sahabah yang mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut:

"Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan dari jampi yang sebenar." (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).

Jika dikias, kalau orang berdemonstrasi dalam perkara yang salah, kita berdemonstrasi dalam perkara yang betul!

Haramkan keganasan

Namun kita menentang demonstrasi ganas yang merosakkan harta awam, ataupun yang gagal mengawal diri dan memelihara akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW itu sendiri.

Jangan tuduh pihak yang tidak terlibat. Jika itu berlaku maka itu ‘defeating the purpose'. Apa yang berlaku di Benghazi, Libya memalukan dan merosakkan nama Islam itu sendiri. Ia seakan membenarkan dakwaan dusta bahawa Islam itu ganas. Perbuatan membunuh duta dilarang oleh Nabi SAW.

Ketika wakil Musailamah al-Khazzab yang mengaku nabi dan mereka itu telah mengkhianati baginda datang, baginda bersabda:

"Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku (arahkan) bunuh kamu berdua."

Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: "Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak boleh dibunuh". (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la kata al-Haithamiy [wafat 807H] sanad-sanad mereka adalah hasan.)

Kata Syams al-Haq al-Abadi: "Pada hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan"( `Aun al-Ma'bud, 7/314. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Namun, itu tidak bererti demonstrasi aman yang tidak ganas diharamkan. Jika ada pemandu yang tidak dapat mengawal diri dan berlaku kemalangan, tidak mungkin untuk diharamkan semua kereta dan jalan raya.

Haramkan keganasan, tetapi ruang tetapi ada untuk cara yang baik dan aman.

Cinta nabi tetap subur

Seorang Muslim yang sebenar cintakan Nabi SAW. Cintanya kepada Nabi SAW itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik.

Nabi SAW sendiri mengakui hakikat ini.

"Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar' (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak.

"Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap.

"Lantas Nabi SAW pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat al-Bukhari).

Apatah lagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej baginda kepada dunia ini. Cinta mereka membara. Lihatlah sahabah Nabi SAW Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi SAW.

Pada zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh. Ketua Quraish Abu Sufyan - ketika itu belum menganut Islam - bertanya kepadanya:

"Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu.

"Jawab Zaid: Aku tidak suka Muhammad berada di tempat dia berada sekarang terkena duri sedangkan aku pula berada di samping keluargaku.

"Kata Abu Sufyan: "Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad" (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Lihatlah sahabat teragung Nabi SAW Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu Ya'la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik RA yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam.

Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar RA memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, apabila Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis.

Nabi SAW bertanya: "Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar? Jawabnya: Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam."

Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi SAW tidak memperoleh kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam.

Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu.

Demikian hati budi seorang Muslim. Semua itu adalah manifestasi dari apa yang Nabi SAW sabdakan:

"Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari).

Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat ini. Mereka kehairanan kenapa Muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka disakiti.

Sesiapa yang hendak jadi ahli politik dalam masyarakat Muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman mereka.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Wednesday, September 19, 2012

Peringatan Buat Para Daei


 Pada akhir Ramadhan yang lalu, saya telah dijemput untuk memberikan kuliyah subuh di Masjid as-Somadi, Geting. Ketika solat subuh, imam yang betrugas ketika itu telah membaca ayat-ayat dari surah al-Baqarah termasuklah ayat 44. Saya jadi terkedu bila memikirkan maksud ayat tersebut kerana selepas solat nanti, saya akan memberikan kuliyah subuh kepada para jemaah. Terdetik dihati saya rasa takut jika saya turut tergolong dari kalangan yang Allah swt maksudkan di dalam ayat tersebut. Maka disini saya kongsikan perbahasan ulama mengenai ayat tersebut sebagai peringatan buat saya dan perkongsian buat sahabat semua. Moga bermanfaat buat kita.   

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (al-Baqarah :44)

AS-SABUNI berkata di dalam tafsirnya, Safwah al-Tafasir : “Munasabah ayat ini ialah sentiasa menceritakan tentang Bani Israel, celaan dan hinaan terhadap mereka kerana tingkah laku dan perangai mereka. Ini kerana mereka kerap menyuruh orang lain melakukan kebaikan, sedangkan mereka enggan melakukannya. Mereka juga menyeru ke arah petunjuk dan hidayat, sebaliknya mereka ingkar.”

Al-Imam as-Sawi berkata: “Ayat ini diturunkan kepada sebahagian ulama Yahudi yang berkata kepada kaum kerabat mereka yang Islam: “Tetaplah kamu atas agama Muhammad kerana sesungguhnya ia benar. Mereka menyeru manusia supaya beriman sedangkan mereka tidak melakukannya, lantas diturunkan ayat ini.”
PATUTKAH KAMU MENYURUH MANUSIA SUPAYA BERBUAT KEBAIKAN SEDANG KAMU LUPA AKAN DIRI KAMU SENDIRI; PADAHAL KAMU SEMUA MEMBACA KITAB ALLAH, TIDAKKAH KAMU BERAKAL?. (Surah al-Baqarah ayat 44)

Firman Allah: `Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan’, iaitu Allah s.w.t. menujukan firman-Nya kepada pendita-pendita Yahudi dengan maksud menempelak mereka. Adakah patut kamu menyeru manusia ke arah kebaikan dan beriman dengan Muhammad.

Ibn Jarir at-Tabari berkata: “Ulama tafsir telah khilaf berhubung makna kebaikan yang disebut dalam ayat ini selepas mereka berijmak, bahawa setiap ketaatan kepada Allah merupakan kebaikan.” Ibn Jauzi menyebut di dalam Zad al-Masir mengenai tiga pendapat berhubung maksud kebaikan:
i. Berpegang dengan kitab mereka, iaitu mereka menyuruh untuk mengikutnya dan melaksanakannya seperti riwayat Ibn Abbas.
ii. Mengikuti Muhammad s.a.w. seperti riwayat Ibn Abbas.
iii. Bersedekah, iaitu mereka menyuruh bersedekah sedangkan mereka bakhil seperti yang disebut oleh az-Zajjaj.

Abu Hayyan di dalam tafsirnya, al-Bahru al-Muhit berkata: “Dihina pada akal dan dikeji apabila seseorang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan dia sendiri tidak melakukannya. Sebaliknya mereka melarang mengerjakan kejahatan, sedangkan mereka sendiri yang melakukannya. Hingga katanya: Perbuatan di dalam ayat ini disebut dengan lafaz Mudhari’ (sedang berlaku dan akan berlaku), sedangkan ia sudah berlaku di kalangan mereka. Justeru difahami daripada penggunaan ayat ini pada banyak tempat yang bermaksud `berterusan dan banyaknya kekeliruan’ mengikut ahli bahasa.”

As-Samarqandi di dalam tafsirnya, Bahr al-Ulum menaqalkan pendapat Qatadah yang berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyuruh melakukan kebaikan, hendaklah dia sendiri suka mendahuluinya dan mengerjakannya. Sebaliknya, sesiapa yang melarang melakukan kejahatan, hendaklah dia yang paling awal menjauhkannya.” Kemudian beliau menyebut satu hadis yang diriwayatkan daripada Anas katanya: “Apabila Rasulullah dimikrajkan, Baginda melalui satu kaum yang bibir mereka digunting dengan gunting dari neraka. Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka ini?” Jawab Jibril: “Mereka ini umatmu yang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan mereka lupa diri mereka sendiri.”

Allah s.w.t. meneruskan lagi persoalannya seraya bertanya: `Sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri’, iaitu kamu meninggalkan tanpa beriman dan tanpa melakukan kebajikan. Ibn Kathir berkata: “Firman Allah s.w.t. itu bermaksud, bagaimana layak dan mungkin bagimu wahai golongan ahli kitab, menyeru manusia ke arah kebaikan yang merupakan intipati, sedangkan kamu sendiri lupa kepada diri kamu.”

Al-Fakh ar-Razi menyebut di dalam tafsirnya mengenai maksud lupa, iaitu sebagai satu ibarat lupa terhadap sesuatu selepas beramal. Orang yang lupa atau pelupa tidak ditaklifkan, iaitu tidak diminta bertanggungjawab. Dan orang yang tidak ditaklif, tidak seharusnya dikenakan celaan Allah disebabkan lupanya tadi. Justeru, maksud sebenar kamu lupa akan diri kamu sendiri ialah kamu lalai daripada menunaikan hak diri kamu dan berpaling daripadanya untuk mendapat manfaat.

Abu Hayyan pula berkata: “Diibaratkan meninggalkan perbuatan mereka disebabkan lupa sebagai mubalaghah (melampau). Ia seolah-olah mereka meninggalkannya kerana tidak terlintas langsung pada fikiran mereka. Dan disandarkan lupa dengan jiwa atau diri sebagai penguat betapa lalainya mereka.”

Dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar, seharusnya seseorang mempunyai lima syarat supaya dakwahnya kepada manusia akan berkesan. Abu al-Laith as-Samarqandi melalui kitabnya, Tanbih al-Ghafilin menyebut lima syarat tersebut:
i. Berilmu, ini kerana orang yang jahil tidak memahami konsep makruf dan mungkar.
ii. Ikhlas kerana Allah semata-mata dan menegakkan agama-Nya.
iii. Kasih sayang kepada orang yang dinasihati dengan bahasa yang lembut dan ramah tamah, di samping menjauhi sifat keras sebagaimana pesanan Allah kepada Nabi Musa dan Harun untuk berdepan dengan Firaun.
iv. Bersifat sabar dan tenang.
v. Harus mengerjakan segala yang dianjurkan agar tidak dicemuh orang kerana perbuatannya sendiri sehingga ia tidak termasuk dalam ayat ini.

Ali bin Abi Talib berkata: “Dua jenis manusia yang menyusahkanku, iaitu orang alim yang melanggar peraturan Allah dan orang jahil yang suka beribadat. Padahal kamu semua membaca Kitab Allah”, iaitu keadaan kamu yang membaca kitab Taurat, yang terdapat padanya sifat Muhammad s.a.w.

Berhubung maksud al-Kitab ini, terdapat dua pandangan ulama:
i. Kitab Taurat, ini pendapat Jumhur.
ii. Al-Quran, justeru tidak layak diucapkan kenyataan ini kepada Yahudi.

`Tidakkah kamu berakal?’, iaitu adakah kamu tidak cerdik dan faham bahawa yang demikian itu amat buruk dan kembalilah daripadanya. Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berkata: “Dinamakan akal itu akal, kerana ia mengikatnya dengan mengambil manfaat daripada kebaikan serta berwaspada daripada kemudaratan.”

Muhammad bin Wasi’ menyebut: “Telah sampai kepadaku perkhabaran bahawa kepada ahli syurga diperlihatkan ahli neraka, lantas mereka berkata: “Sesungguhnya kamu dahulu di dunia telah menyuruh kami taat dan kami melakukannya hingga layak kami masuk syurga.” Kemudian jawab ahli neraka: “Benar dulu kami menyuruh kamu mengerjakannya tetapi kami sendiri tidak melakukannya.”

Al-Imam al-Maghari berkata: “Bani Israel mempunyai acara keagamaan yang mengingatkan mereka dengan segala nikmat Allah. Ia menjadikan semangat mereka hidup dan bangkit dalam menegakkan agama dan beramal dengannya, tetapi selepas tempoh yang panjang, hati mereka menjadi keras dan keluar daripada segala ajaran agama, tidak mengikut kebaikan, tidak berjalan di atas jalan petunjuk, dan berpegang semata-mata dengan pendita-pendita mereka pada zahirnya, dan bertaklid secara umum. Akhirnya dalam urusan agamanya, mereka hanya mengetahui urusan ibadat dan beberapa acara keagamaan. Sedangkan yang lainnya dianggap tidak berfaedah. Mereka bertuhankan hawa nafsu dan hanya berpandu kepada takwilan sehingga kepentingan nafsu mereka tidak bertentangan dengan kitab.”

Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran: “Bersama dengan nas al-Quran ini yang menentang keadaan yang berlaku kepada Bani Israel, sesungguhnya isyarat ini juga kepada seluruh manusia termasuk ulama dan cendekiawan agama dengan sifat yang khusus, tanpa mengkhususkannya kepada sesuatu kaum atau generasi. Sesungguhnya kebinasaan golongan agama ialah kerana agama dijadikan sebagai pekerjaan dan amalan, bukan lagi bersifat akidah. Mereka hanya berkata dengan mulut tetapi tidak ada di dalam hati mereka. Mereka menyeru kepada kebaikan sedangkan mereka tidak melakukannya. Begitu juga mereka menyeru ke arah kebaikan sedangkan mereka mengabaikannya. Di samping itu juga mereka meminda kenyataan daripada asalnya. Mereka mentakwilkan nas-nas yang qatie (putus lagi thabit) mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Mereka mengkaji dan mencari segala fatwa dan takwilan yang bersamaan pada zahirnya bersama zahir nas. Akan tetapi sebenarnya berlaku khilaf dan kelainan pada hakikatnya daripada hakikat agama. Ini semata-mata untuk menghalalkan segala kehendak dan nafsu serakah mereka bagi mengumpul seberapa banyak harta dunia atau pangkat sebagaimana yang dilakukan oleh pendita-pendita Yahudi.

Tuan Guru Syeikh Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Dipetik dari blog Ibn Abbas 

Walaupun ayat diatas ditujukan khusus untuk kaum Yahudi, namun kaedah menyebut bahawa sesungguhnya ‘ibrah (pengajaran) pada ayat-ayat Allah turut diambil pada umum lafaz.
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
Pengajaran (diambil) pada umum lafaz, bukan sekadar khususnya sebab (penurunan ayat)