Dr Mohd Asri Zainul Abidin
4:38PM Sep 13 2012
Pada Sabtu
ini, saya Insya-Allah akan membentangkan kertas dalam Konvensyen Fiqh Politik
Islam Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak.
Tajuk yang
diberikan kepada saya ialah "Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan
Maqasid".
Oleh kerana
penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi sedikit di
ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.
Mentaati
pemerintah ini termasuk dalam fikah siasah iaitu fikah Islam yang berkaitan
dengan imarah, imamah ataupun kepimpinan dalam Islam.
Perbezaan
pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini kerana ada
golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini isu akidah.
Dalam erti
kata lain, sesiapa yang tidak taat kepada kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini
tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan:
"Kelima:
memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya. Tujuan untuk
membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah khilafiyyah, tentang keluar
menentang penguasa, mengenai mengikut salah satu imam mazhab yang
empat...." (Muhammad Tahir ibn ‘Asyur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186.
Tunisia: Dar Suhnun)
Walaupun
tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka, tetapi
memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar. Ia akan membawa
kekecohan bawa iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik.
Hal yang
sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada parti politik
mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka mengkafirkan ataupun memandang
sesat sesiapa yang tidak menyokong parti tertentu.
Sejarah
hitam kafir mengkafir di Malaysia adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan
menurut kehendak politik kepartian.
Rukun
kedamaian
Mentaati
ulil amri ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakan maslahah siasiyah
(kemaslahatan politik).
Mustahil
dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan kemaslahan
rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri. Ini seperti mana mustahil dapat ditegakkan
keamanan tanpa keadilan daripada pemerintah yang menguruskan kehidupan negara
dan rakyat.
Allah
menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa' ayat 58-59 yang bermaksud:
"Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
"Sesungguhnya
Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada
kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
"Wahai
mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka
kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (sunnah), jika kamu benar
beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan
paling baik akibatnya."
Ayat
perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab memilih
pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian pemimpin pula
berhukum dengan adil.
Apabila dua
tanggungjawab utama itu dilaksanakan, mana datangnya penegasan tanggungjawab
ketaatan.
Imam
al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali
bin Abi Talib:
"Tanggungjawab
pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia
melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah
memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar
mentaati pemerintah". (Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad,
al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)
Ibn Hajar
al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam kitab Fath al-Bari:
"Antara
jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabiin kepada para pemerintah Bani
Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat
kepada kami dalam firman-Nya ‘dan Ulil Amri dari kalangan kamu'.
"Maka
dijawab: 'Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu
menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam
sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika
kamu benar beriman dengan Allah. (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari
15/4. Beirut: Dar al-Fikr).
Dalam Tafsir
al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabiin yang terkenal Abu Hazim dengan
Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan. (Jilid 1/232. Beirut: Dar al-Fikr)
Ini kerana,
apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah kemaslahatan siasah
yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan. Maka, ketika
itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran
Allah dan rasul-Nya.
Tidak mutlak
Maka,
ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka ditaati tidak
sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Ketaatan kepada Allah dan
rasul-Nya adalah mutlak.
Allah dan
rasul tidak boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang
bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan manusia.
Hal ini
tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan kepada mereka tidak mutlak. Mereka
sentiasa terdedah kepada kepentingan diri seperti mana manusia lain, maka bukan
semestinya semua yang datang dari mereka itu untuk maslahat rakyat dan negara.
Kemungkinan
arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah
dengan prinsip-prinsip Islam.
Untuk itu
jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut yang bermaksud:
"Wahai
mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amr dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka
kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (Sunnah), jika kamu benar
beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan
paling baik akibatnya."
Ibn Hajar
dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi:
"Berkata
al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firman-Nya ‘taatilah Rasul' sebagai
isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak mengulanginya
pada ulil amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan mereka (ulil amri) yang
tidak wajib ditaati.
"Kemudian
Allah terangkan perkara itu dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat
dalam sesuatu...' seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan kebenaran
maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisihkan mengenainya
kepada hukum Allah dan Rasul-nya". (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath
al-Bari 15/4)
Taat dalam
perkara ijtihadi
Tidak
dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui oleh
rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak mungkar.
Maka
sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah
(kerosakan) yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam
batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat mesti taat.
Ini kerana
jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara yang
membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah
kemaslahatan awam.
Dalam
keadaan seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa
pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam.
Daripada
‘Abd Allah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW, sabda baginda:
"Dengar
dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam
perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara
maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar
dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di
atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa
jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah.
Bahkan dalam
hadis di atas baginda Nabi SAW menegaskan bahawa ketaatan kepada para
pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia tidak
menyanggahi Allah.
Kata
al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan:
"Maksudnya,
wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai
oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat". (Al-Nawawi,
Syarah Sahih Muslim 12/537, Beirut: Dar al-Khair).
Dengan itu,
jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan pandangan
pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi al-Quran dan
al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara nyata, maka kita diamkan
diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya.
Ini tidak
menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.
Membezakan
Maka, rakyat
hendaklah membezakan antara perkara mungkar, zalim dan mafsadah (merosakkan)
dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak
tetapi ia tidak mungkar, tidak zalim dan tidak merosakkan kepentingan awam.
Maka
bahagian yang kedua termasuk dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh
seorang muslim sekalipun dia tidak menyukainya.
Namun, jika
ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata, maka ia tidak ditaati.
PROF MADYA
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan
peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi
Malaysiakini.