KERAJAAN
Malaysia dan ahli politik mesti mengecam ajaran sesat yang menolak keperluan
kepada hadis, menolak kesahihan hadis sekaligus menolak baginda nabi Muhammad
SAW sebagai pentafsir ayat-ayat mujmal dan ringkas dalam al-Quran.
Menolak
hadis bererti menolak al-Quran kerana ALLAH memerintahkan nabi menjelaskan
al-Quran kepada manusia. Penjelasan nabi datang dalam bentuk hadis dan
sunnahnya. Lihat ayat dari surah An-Nahl
ayat ke 44 dan 64. Antaranya firman ALLAH:
وَمَا
أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ
الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Dan
KAMI tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang KAMI beri
wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan
jika kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 44)
Juga firman
ALLAH:
بِالْبَيِّنَاتِ
وَالزُّبُرِ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ
وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Ertinya : keterangan-keterangan
(mukjizat) dan kitab-kitab. Dan KAMI turunkan kepadamu al- Quran, agar kamu
menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan
supaya mereka memikirkan. ( An-Nahl : 64)
Nabi jadi
ikutan melalui hadisnya
Al-Quran
mengarahkan kita menturuti Nabi dan mengambilnya sebagai ikutan sebagaimana
disebut oleh ALLAH di dalam surah Al-Ahzab ayat ke-21:
لَقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ
وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Ertinya : Sesungguhnya
telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi
orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
berzikir kepada ALLAH. ( Al-Ahzab : 21)
Tiba-tiba
golongan anti hadis di Malaysia berkata hadis patut ditolak, sedangkan tanpa
hadis nabi dan perincian kehidupannya tiada siapa mampu mengambilnya sebagai
ikutan.
Taati
Rasulullah bererti hadis sampai
ALLAH turut
menwajibkan kita mentaati RasulNYA, sebagaimana termaktub arahan ini di dalam
al-Quran, contohnya ayat surah Al-Nisa 13:
تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ
وَمَن يُطِعِ اللّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ
خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Ertinya : (Hukum-hukum
tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari ALLAH. Barang siapa taat kepada
ALLAH dan Rasul-NYA, nescaya ALLAH memasukkannya ke dalam surga yang mengalir
di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan
yang besar.
Mentaati
Rasul bererti hadis Rasulullah akan dijadikan oleh ALLAH untuk sampai kepada
manusia bagi cabaran manusia yang beriman untuk mentaatinya dan ia adalah
termasuk di dalam erti mentaati ALLAH.
Jelas,
sesiapa menolak hadis adalah juga menolak al-Quran. Mereka yang berkepercayaan
begini boleh membawa kepada murtad.
Sesiapa yang
meragui kewujudan hadith lambat laun tentunya akan meragui al-Quran kerana
al-Quran disampaikan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Melalui kaedah
dan metod yang hampir sama juga pelbagai hadis sampai kepada kita. Iaitu
melalui hafazan para sahabat dan penulisan kemudiannya dan diturunkan dari
generasi ke generasi. Demikian juga hadis, bezanya hanyalah jumlah yang meriwayatkan
hadith tidak seramai al-Quran.
Namun
apabila telah ALLAH janji menjaga al-Quran dari penyelewengan sebagaimana
disebut dalam surah Al-Hijr ayat ke-9, maka amat mesti pula ALLAH menjaga
penjelas kepada maksud al-Quran iaitu Rasulullah dan hadis-hadisnya.
Hasil dari
itu, jika kerajaan sebelum dan ketika ini bersungguh-sungguh mengambil tindakan
terhadap Syiah, kumpulan anti hadis ini adalah sama menyeleweng dan berbahaya.
Maka wajiblah pihak berkuasa agama dan ahli politik mengambil tindakan dan
bukan diberi muka pihak anti hadis berprogram di Yayasan Kepimpinan Perdana
kelmarin yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri.
Ini satu
yang mengaibkan Malaysia. Syiah ada negara seperti Iran namun kita bertegas
mengambil tindakan, namun kumpulan sesat anti hadis langsung tiada negara hatta
daerah di dunia ini yang menyokongnya, malangnya tindakan tidak cukup tegas
pula.
Semoga umat
Islam terpelihara dari doktrin sesat anti hadis yang dibawa oleh Kassim Ahmad
dan pengikutnya. Inilah antara punca yang menjadikan umat Islam semakin lemah
dan semakin mudah terjejas pegangannya.
DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Presiden
Multaqa Asatizah & Duat ( Murshid)