Catatan oleh Tuan Syed Nazmi bin Tuan Taufik al-Idruss & Mohd. Abd. Rashid. al-Kubrawiy.
30 Ogos 2015 (Ahad)
سَمَّعَ سَامِعٌ بِحَمْدِ اللهِ
وَحُسْنِ بَلَائِهِ عَلَيْنَا رَبَّنَا صَاحِبْنَا وَأَفْضِلْ عَلَيْنَا عَائِذًا
بِاللهِ مِنَ النَّارِ
Semoga ada yang memperdengarkan
pujian kami kepada Allah (atas nikmat yang diberi) dan dugaannya yang baik bagi
kami, wahai tuhan kami, jadilah peneman kami, dan berilah kebaikan kepada kami
dengan perlindungan dari api neraka (Riwayat Muslim)
Kami menunaikan solat Subuh di
Musolla Nuruddin yang diimamkan oleh KH Ali Badri. Ketika saya membetulkan saf
dibelakang imam, TG Baba Abdul Karim datang berdiri di sebelah saya sambil
menghamparkan kain selendangnya di atas lantai sebagai sejadah untuk saya. Saya
jadi terkedu tatkala seorang Tuan Guru berbuat demikian, sedangkan saya ini
bukan siapa-siapa jika hendak dibandingkan dengan ilmu yang dimilikinya. Memang
betul sebagaimana kata pepatah Melayu, tidak hilang bisa ular menyusur akar.
|
KH Ali Badri & Baba Abdul Karim |
Seusai
wirid dan doa, TG Baba Abdul Karim meminta wakil rombongan untuk tampil
kehadapan bersamanya memberikan tazkirah dan tausiyah kepada ahli jemaah. Ustaz
Abu Aswad tidak hadir berjemaah kerana keuzuran, lalu kami bersepakat agar KH
Ali Badri sahaja yang mewakili rombongan.
Berdasarkan
catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, KH Ali Badri dalam tausiyah beliau telah
menyentuh perihal bagaimana pesat dan tersebarnya ajaran agama yang dibawa oleh
Ulama terdahulu ke serata Nusantara,
antaranya Jawa, Acheh, Patani dan Kelantan.
Kemunculan
pondok-pondok pengajian agama di persekitaran ini amat rancak dan ianya
disesuaikan dengan adat dan budaya semasa. Pesantren istilah yang digunakan di
Indonesia, Pondok di sebelah Malaysia dan Patani dan Ponpes di Jawa. Ilmu Tauhid,
Feqah Syafie dan Tasauf adalah ilmu teras pondok yang diajarkan dari dahulu
sehingga kini di kesemua tempat pengajian tradisional.
Apa
yang dirisaukan adalah apabila umat Islam terlebih mencintai dunia dan takutkan
kematian lantaran terulit dengan kepersonaan duniawi yang menjadikan bukan
Islam senantiasa meratah dan memecahkan umat Islam.
|
Ustaz Abu Aswad menyampaikan cenderahati kepada Baba Abdul Karim |
TG Baba
Abdul Karim pula mengisahkan kejatuhan Bal’am bin Ba’ura dan jauhnya dari
rahmat Allah swt apabila leka dengan duniawi dan meninggalkan ajaran Nabi Musa
a.s. Banyak kisah yang diceritakan oleh Baba Abdul Karim sebagai contoh
pengajaran buat kami termasuklah kisah ana Nabi Nuh as, Isteri Nabi Luth as dan
Azazil.
Baba Abdul
Karim juga menitik beratkan mengenai syukur. Allah swt telah mengurniakan kita
ilmu, aqal dan iman yang membuatkan kita boleh menilai baik dan buruk. Anugerah
tersebut juga membezakan kita dengan makhluk-makhluk lain. Oleh itu amat patut
kita bersyukur kepada Allah swt atas nikmat pemberian tersebut.
|
Bergambar bersama TG Baba Hj Abdul Karim |
Kemudian
kami pulang kerumah penginapan untuk berkemas barang-barang sambil menunggu
sarapan bagi disediakan oleh pihak pondok. Kami bersembang-sembang mengenai
kisah perjuangan rakyat Patani yang panjang.
Semasa
bersarapan, TG Baba Abdul Karim datang ke penginapan kami. Sikap beliau yang
mesra dan memuliakan tetamu itu membuatkan saya rasa terharu. Beliau turut
berkongsi kisah keluarga beliau yang berasal dari Patani tetapi telah dijadikan
tawanan oleh tentera Siam dan di bawa ke Bangkok.
|
Surau lama Nat Tanjung |
Setelah
bersiap, Ustaz Abu Aswad menyerahkan cenderhati kenang-kenangan kepada Tuan
Guru Baba Haji Abdul Karim Hasbullah serta bergambar, kami bertolak ke Nat
Tanjung (Menangyung), Daerah Yaring (Jering) Wilayah Pattani, dalam jam 9.40
(8.40 WT) untuk melawat sebuah surau yang dikatakan lebih lama pembinaannya
dari Masjid Wadi Husin.
Sebagaimana
catatan Tuan Syed Nazmi al-idruss, kami sampai di Surau Nat Tanjong jam 9.53
pagi. Dalam taklimat Ustaz Abu Aswad, beliau menjelaskan bahawa ia telah dibina
lebih 400 tahun lalu dari kayu tanpa
paku oleh Tok CiK Auk yang berasal keturunan DiRaja Patani. Walaupun beliau
berketurunan Raja Patani, namun dikatakan beliau tidak menginginkan jawatan.
Kemudiannya beliau hijrah ke negeri Kedah.
Surau tersebut dibina berasaskan 3 maqam darjat kesufian. Ia dijadikan tempat mendapatkan hikmat
kerohanian dan pusat suluk tariqat Naqsyabandiah.
|
Di hadapan Masjid lama Nat Tanjung |
Jika
diperhatikan binaannya, masjid lama tersebut mempunyai persamaan antara Masjid
Kampung Laut, Masjid Wadi Hussien dan Masjid Agung Demak. Pembinaanya tidak
menggunakan sebarang paku, tetapi sebaliknya menggunakan pasak kayu sahaja. Ia
dikatakan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Antara yang menarik perhatian
saya ialah ukiran pada dinding luar masjid tersebut menyerupai Khatamun
Nubuwwah.
|
Pelajar dan guru Pondok Beseng menyambut kami |
Kemudiannya
kami meneruskan perjalanan menuju ke Pondok Islahuddin Tok Bendang, Yala.
Berdasarkan catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, rombongan kami sampai disana
pada pukul 11.48 am (10.48 WT). Kehadiran kami disambut oleh para guru dan
pelajar pondok.
Pada
pandangan saya, pondok ini telah menerima arus kemodenan pendidikan. Keadaannya
sekarang tidak ubah seperti sekolah-sekolah arab atau agama di Kelantan.
Bangunannya besar, aliran moden seperti sains digabungkan bersama aliran arab
atau agama.
|
Ustaz Abu Aswad, KH Ali Badri & Dr. Wan Abdul Qadir |
Kami diraikan
di di dalam suatu majlis khas yang dihadiri juga oleh guru-guru dan pelajar
Maahad. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh seorang pelajar Maahad
dari awal surah al-Mu’minun.
Kemudiannya
Mudir Maahad Islah al-Din, Dr Wan Abdul Qadir mengalukan kedatangan kami dan
menerangkan sejarah penubuhan Maahad pada tahun 1963 dan memaparkan salasilah
keturunan beliau dan keluarga secara panjang lebar yang bernasabkan marga
Azamat Khan.
|
Ucapan oleh Ustaz Abu Aswad |
Sebagaimana
catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, Dr Wan Abdul Qadir menjelaskan bahawa Pondok
Islah al-Din Tok Bendang, Yala atau dikenali juga sebagai Maahad Islah al-Din
Vittaya atau juga dikenali sebagai Pondok Beseng ini ditadbir oleh Dr Wan Abdul
Qadir bin Wan Ahmad bin Wan Mustafa al-Azamat Khan di bawah pentadbiran
Muassasah al-Syaikh Wan Mustafa Tok Bendang Daya lit Ta’alim al-Khairiah.
Kemudian,
selaku ketua rombongan Ustaz Abu Aswad dijemput untuk memberikan ucapan. Beliau
menerangkan tujuan lawatan kami ini adalah untuk mengukuhkan silaturrahim dan
mempelajari ilmu akhlaq dan adab dari
para guru. Seterusnya pelajar MIAH diberikan penghormatan untuk memperdengarkan
qasidah.
|
Tausiyah oleh KH ALi Badri |
Setelah
itu, KH Ali Badri pula dijemput untuk memberikan tausiyah. Dalam ceramah beliau, diterangkan salasilah
nasab keturunan Azamat Khan di Nusantara yang telah dibuatnya menggunakan carta
lengkap.
Seterusnya
kami dijamu makanan laksa yang diserikan dengan tiga jenis kuah yang
sedap-sedap kuah siam, kuah pinang dan kuah santan. Inilah kali pertama saya
merasai laksa siam yang kuahnya seperti kurma ayam. Boleh tahan juga rasanya. Apatah
lagi menu sampingannya ialah buah durian dan rambutan. Tambahan pula saya
bergandingan dengan Tuan Syed Nazmi al-Idruss yang memang pantang tengok buah
rambutan.
|
TG Baba Hj Wan Ahmad bin Wan Mustafa |
Sebelum
bertolak, kami mengambil kesempatan untuk menziarahi bapa kepada mudir Maahad,
Tuan Guru Baba Wan Ahmad bin Wan Mustafa yang berumur 91 tahun sedang gering
semenjak tiga tahun lalu. Kunjungan yang mengharukan dikala doa keselamatan
dibacakan serta qasidah dialunkan.
Kami
bertolak meninggalkan Maahad Islahuddin Witayya jam 15.05 tengahari (14.05 WT)
menuju Perjalanan kami diteruskan ke Pondok Banggol Lengging atau Yayasan
Maahad al-Bu’uth al-Islamiah Yala, pimpinan Tuan Guru Baba Haji Muhammad Ramli
Bin Hussin.
|
Ustaz Abu Aswad memberikan penerangan di samping Baba Li |
Sebagaimana
catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, kami sampai di Yayasan Maahad al-Bu’uth
al-Islamiah, Banggol Lengging, Yala pada jam 16.10 (13.10 WT), disambut oleh
Tuan Guru Baba Muhammad Ramli Bin Husin (Baba Li) yang uzur sebelah tangannya
kerana kena angin tetapi masih bertenaga dan bersemangat.
Kami
dijamu nasi bungkus sebaik saja kami sampai di bangunan Maktabah Pondok. Baba
Li menerangkan bahawa bangunan Maktabah ini adalah dari pembiayaan al-Habib
Alawi bin Abbas al-Maliki Makkah yang pernah Baba belajar denganya dahulu dan
Habib pernah datang ke Maahad ini dan tidur di situ.
|
Ustaz Abu Aswad menyampaikan cenderahati kepada Baba Li |
Semangat
Baba Li amat kuat di dalam penyebaran Islam sebelum dan selepas beliau menjawat
Setiausaha Ulama Fattoni. Banyak usahanya mendapat perhatian dan persetujuan
Kerajaan Siam terutama dalam membela masyarakat Islam Selatan di zaman Haji
Muhamad Nor Taha menjadi salah seorang Menteri Thailand. Usahanya yang amat
disanjung adalah persetujuan pemakaian hijab oleh pelajar perempuan di
sekolah-sekolah aliran kebangsaan.
Namun,
di samping usaha yang baik dan cemerlang itu, Baba Li pernah ditembak beberapa
kali oleh pengkhianat sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi
Hospital di Bangkok selama setahun.
Masjid
di Pondok Baba Li telah diinfaqkan oleh dermawan dari Terengganu, Tengku
Ibrahim bin Tengku Ismail. Pondok Baba Li juga merupakan pusat Naqsyabandiah
dan sering diadakan bacaan Ratib Haddad di situ.
|
Bergambar bersama TG Baba Hj Ramli |
Kami dibawa
melawat ke kawasan pembinaan dua bangunan baru bagi kelas pengajian Pondok yang
hampir siap dan berada di situ sehinggalah jam 17.05 petang (16.05 WT).
Ustaz
Abu Aswad memberikan penerangan mengenai kisah perjuangan Baba Li dalam
menyebarkan dakwah dan membangunkan pondok.
Seterusnya
kami meninggalkan Pondok al-Bu’uth al-Islamiah Baba Li dengan mengambil
semangat usaha dan kekentalan hati Baba Li di dalam menegakkan Islam di
tahanairnya.
Perjalanan
kami selanjutnya ke bumi Kelantan untuk pulang ke tanahair setelah 4 hari
berada di bumi Selatan Thai yang penuh keberkatan. Kami melalui lebuhraya
Selatan Thai yang berbukit menuju ke Narathiwath selepas solat zuhur dan asar
di Masjid Safinah al-Jannah, Jelapan, Nibong, Yala.
|
Majlis Wida' |
Tepat jam 19.55 (18.55 WT) kami sampai di Sempadan Sungai Kolok dan
mengadakan majlis perpisahan dengan Baba-Baba Selatan yang menguruskan perjalanan
Rehlah Ilmiah kami dan bermaafan dengan semua peserta rombongan sebelum
berurusan dengan Imigresen Thailand.
|
Teman perjalanan |
Kemudiannya
kami memasuki kawasan sempadan Rantau Panjang dan memasuki pejabat Imigresen
Malaysia Rantau Panjang. Malangnya, pejabat sempadan Malaysia hanya ditugaskan
seorang pegawai Imigresen yang berurusan dengan passport pengunjung luar dan
warga Malaysia. Tiada kawalan PDRM atau askar atau RELA yang menjaga
keselamatan persempadanan. Tuan Syed Nazmi al-Idruss merungut kepada saya
bahawa kawalan sempadan Negara kita agak longgar. Apatah lagi malam tersebut
merupakan malam sambutan ulang tahun kemerdekaaan Negara.
Selanjutnya
kami ke Masjid Beijing Rantau Panjang untuk solat Magrib dan Isya secara
berjamaah sebelum pulang ke MIAH. Dalam jam 21.30 WM kami sampai di MIAH,
Alhamdulillah.
Selesai
dicatatkan pada 22hb. September 2015 jam 1.45 tengahari.
Ucapan terima
kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Ustaz Abu Aswad al-Kubra, teman
pencatat Tuan Syed Nazmi Bin Tuan Taufik al-Idruss, teman penghibur KH Ali
Badri Azmatkhan dan Habib Mohseen al-Habsyi serta semua teman perjalanan. Semoga
Allah mempertemukan kita dalam rehlah yang lain.
NAMA Tok Bendang Daya pada satu ketika
dulu cukup popular bagi masyarakat Patani, Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu
dan lain-lain. Walau bagaimanapun orang jarang dapat membezakan siapakah
sebenarnya Tok Bendang Daya itu. Tok Bendang Daya sebenarnya ada dua orang,
iaitu Tok Bendang Daya I, beliau ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad
al-Fathani. Yang seorang lagi ialah Tok Bendang Daya II, beliau ialah Syeikh
Abdul Qadir al-Fathani, iaitu anak kepada Tok Bendang Daya I yang tersebut.
Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) adalah salah seorang panglima atau
hulubalang Fathani Darus Salam, juga sebagai pengasas Pondok Pengajian Bendang
Daya. Pondok tersebut kemudian menjadi pondok pengajian yang paling banyak
pelajarnya di dunia Melayu setelah dipimpin oleh anak beliau, iaitu Syeikh
Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Memang pada zaman itu sistem pengajian
pondok di Patani paling menonjol dari tempat-tempat lainnya di dunia Melayu.
Oleh itu pelajar-pelajarnya berdatangan daripada berbagai-bagai tempat di dunia
Melayu.
Terkenal
Yang sangat
menarik tentang sejarah hidup ulama ini bahawa sangat ramai muridnya yang
membuka pondok di tempat-tempat lain di dunia Melayu, ramai juga yang menjadi
tokoh-tokoh besar terkenal dalam masyarakat, ditambah lagi dua orang anak
beliau yang menjadi ulama besar yang terkenal. Kedua-duanya ialah Syeikh Wan
Ismail al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak De El Makkah dan yang
seorang lagi ialah Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih terkenal dengan
sebutan Pak Cu Him Kedah. Aktiviti Pak De El mengajar di Mekah menjadi pakar
rujuk ulama-ulama dunia Melayu pada zamannya terutama dalam bidang akidah dan
ilmu-ilmu `Arabiyah. Pak Cu Him pula terkenal dengan Pondok Gajah Mati di
Kedah. Pendek kata kedua-dua ulama itu masih banyak diperkatakan orang, kerana
sampai artikel ini saya tulis masih ramai murid kedua-duanya yang masih hidup,
bahkan beberapa orang di antara mereka masih aktif dalam pelbagai bidang
keIslaman.
PENDIDIKAN
DAN AKTIVITI
Syeikh Abdul
Qadir (Tok Bendang Daya II) yang lahir di Sena Janjar tahun 1234 H/1817 M
adalah adik kepada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (1233 H/1817M - 1325
H/1908 M). Sejak kecil lagi Abdul Qadir dididik oleh ayah dan ibunya menghafal
berbagai-bagai matan terutama matan ilmu tauhid, nahu dan saraf. Seiringan
dengan itu ditekankan menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang
dipandang sebagai asas untuk membolehkannya meningkat lebih maju pada masa-masa
akan datang. Oleh sebab Pondok Bendang Daya yang dipimpin sendiri oleh ayahnya
Syeikh Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dipandang sebagai pondok yang
berautoriti pada zaman itu, maka dipercayai Syeikh Abdul Qadir al-Fathani tidak
belajar ke pondok-pondok lainnya. Walau bagaimanapun beliau hanya pergi
menziarahi beberapa pondok terkenal yang masih masuk keluarga Sena, iaitu
Pondok Teluk Manuk, Pondok Wadi Husien, Pondok Cenak dan Pondok Pauh Bok. Pondok-
pondok tersebut letaknya sangat berjauhan. Pada zaman itu perjalanan ditempuh
dengan berjalan kaki dan masih melalui hutan tebal. Sekurang-kurangnya dalam
dua tahun sekali acara ziarah mesti dilakukan kerana untuk mendekatkan hubungan
kekeluargaan dan informasi dalam berbagai-bagai hal dan peristiwa.
Perkara-perkara yang tersebut di atas sangat ditekankan oleh Syeikh Wan Mustafa
al-Fathani, hal ini selain beliau sebagai bekas hulubalang Fathani Darus Salam,
beliau juga dipandang sebagai orang tua dan berpengaruh di kalangan keluarga
besar Sena dan Bendang Daya di mana saja mereka berada. Sebaliknya dari
pondok-pondok yang tersebut hampir setiap bulan ada saja utusan ke Pondok
Bendang Daya.
Oleh sebab
Syeikh Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) memandang kedua-dua orang anaknya; Wan
Muhammad Zain dan Wan Abdul Qadir sudah cukup memadai ilmu-ilmu yang diterima
langsung daripadanya, maka beliau mengirim kedua-dua anaknya itu ke Mekah.
Dipercayai kedua-dua orang anak beliau itu sempat belajar kepada Syeikh Daud
bin Abdullah al-Fathani, walaupun tidak begitu lama namun melebihi lima tahun.
Pada tahun-tahun terakhir Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sibuk dengan
penulisannya. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar juga kepada beberapa ulama
lain, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Kedua-dua ulama berbangsa Arab itu usianya
hanya lebih beberapa tahun daripada beliau.
Atas
kehendak kedua-dua ulama yang besar pengaruhnya di Mekah ketika itu, Syeikh
Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani diminta mengajar di Masjidil Haram dan di
rumahnya sendiri. Dalam masa belajar dan mengajar itulah beliau bersahabat
dengan ulama-ulama yang berasal dari tanah Jawi (dunia Melayu) lainnya, di
antara mereka ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman
al-Kalantani dan lain-lain. Sama ada kepada Syeikh Nawawi al-Bantani mahupun
Syeikh Wan Ali al-Kalantani, terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan
Syeikh Abdul Qadir.
Oleh sebab
ayahnya, Syeikh Mustafa (Tok Bendang Daya I) memikirkan bahawa kedua-dua
anaknya sudah cukup lama belajar di Mekah, sedangkan anaknya yang bernama Wan
Abdul Lathif dirasakan perlu pula mendalami ilmunya di Mekah, maka beliau
memanggil kedua-dua anaknya supaya kembali ke Jawi untuk memimpin Pondok
Bendang Daya. Tok Bendang Daya I bersama anaknya Abdul Lathif berangkat ke
Mekah, alangkah terkejut dan gembiranya beliau setelah sampai di Mekah kerana
baru diketahuinya kedua-dua anaknya telah dibenarkan mengajar di Masjidil Haram,
Mekah. Selama ini beliau tidak mendengar khabar itu, disangkanya kedua-dua
anaknya itu hanyalah sebagai pelajar saja.
AKTIVITI DI
PONDOK BENDANG DAYA
Setelah Tok
Bendang Daya I memandang bahawa anaknya Abdul Qadir lebih tinggi nilai
keulamaannya daripada Muhammad Zain, maka beliau menyerahkan kepercayaan untuk
memimpin Pondok Bendang Daya itu kepada Abdul Qadir. Syeikh Abdul Qadir
mengevaluasi sistem pengajian pondok pada keseluruhan sektornya, dari sehari ke
sehari Pondok Bendang Daya bertambah terkenal, nama beliau sendiri menjadi
harum ke seluruh tanah Patani, ke seluruh tanah semenanjung Melayu, bahkan
hingga ke peringkat sejagat dunia Melayu yang membentang demikian luasnya.
Berduyun-duyun orang datang menghantar anakmereka memasuki Pondok Bendang Daya
itu.
Seluruh
waktu beliau digunakan untuk mengajar, dimulai dari sesudah sembahyang Subuh
hingga istirahat sekitar jam 11.00. Sesudah Zuhur pelajaran disambung lagi
hingga waktu Asar. Sesudah Asar merupakan jam istirahat bagi Tok Bendang Daya
II, waktu itulah digunakan untuk bersukan. Tetapi sukannya bukan seperti
sekarang, sukannya digunakannya untuk menanam sirih dan menyiram tanaman sirih
yang telah hidup. Dalam waktu yang sama digunakan juga untuk menternak lembu.
Dalam kedua-dua pekerjaan itu beliau sekali-kali tidak membenarkan murid-murid
menolongnya, kerana pekerjaan itu dianggap untuk mengeluarkan peluh menjaga
kesihatannya.
Berwibawa
Tok Bendang
Daya II adalah seorang tok guru pondok yang berwibawa kerana sangat banyak
keramatnya yang nyata. Doanya sangat dikabulkan Allah. Menurut riwayat, pada
suatu malam bulan Ramadan beliau juga pernah mendapat Lailatul Qadar di perigi
Bendang Daya sebagaimana yang berlaku terhadap ayahnya. Ketika itulah beliau
berdoa, meminta dalam tujuh keturunannya mesti ada yang menjadi ulama. Salah
satu di antara keramatnya, jika orang akan menyabung ayam ataupun berlaga
lembu/kerbau, melalui kawasan rumahnya ataupun kira-kira masih kelihatan
bumbung rumahnya, maka orang yang menyabung ataupun berlaga itu tidak akan menang.
Bahkan pelaku pekerjaan itu akan ditimpa pelbagai musibah. Apa saja jenis
bunyi-bunyian seumpama gendang, gong dan lain-lain, jika dibunyikan, kedengaran
di rumahnya ataupun di kawasan Pondok Bendang Daya, nescaya alat bunyi-bunyian
itu akan pecah ataupun rosak.
Oleh hal-hal
yang tersebut itulah bagaimana jahat dan bengisnya manusia pada zaman itu tidak
berani membantah, apatah lagi berbuat jahat kepada Tok Bendang Daya II itu. Di
manakah letaknya rahsia kehebatan Tok Bendang Daya II itu, mudah saja jawabnya,
bahawa tiada lain hanyalah ketaqwaannya kepada Allah jua segala peristiwa
keredhaan Allah boleh berlaku. Allahlah yang mengurniakan kekeramatan yang
dikehendaki-Nya.
KARYA-KARYA
Tok Bendang
Daya II banyak meninggalkan karangan, selain itu juga kegiatannya dalam
penyalinan pelbagai kitab yang dikarang oleh ulama-ulama yang terdahulu
daripadanya. Di antara karyanya yang sempat disalin dan ditahqiqkan oleh
muridnya Tok Kelaba ialah Syarabatul Washilin al-Muflihinal Maqbulin, tarikh
salinan tahun 1314 H/1896 M. Pada manuskrip kitab ini Tok Kelaba menyebut
bahawa Tok Bendang Daya II itu adalah seorang al-'Arif ar-Rabbani, iaitu
seorang yang telah mencapai martabat `Wali Allah'. Sebutan yang sama juga
pernah beliau tulis di bahagian kulit luar karyanya, Hidayatus Sail fi Bayanil
Masail. Manuskrip tersebut menjadi milik penulis, keadaan manuskrip uzur
sekali. Pada saya juga terdapat sebuah manuskrip Tok Bendang Daya II yang
membicarakan tasawuf dan kumpulan amalan-amalan ilmu hikmah karangan beliau. Manuskrip
yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Oleh sebab karangan-karangan
beliau ada yang tinggal di Bendang Daya yang tidak teruruskan, ada juga yang
dibawa ke Mekah oleh saudara kandungnya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan
oleh anaknya Syeikh Ismail al-Fathani sehingga karangan-karangan beliau banyak
belum diketahui. Pengumpulan ke arah menyelamatkannya sedang saya jalankan.
MENINGGAL
DUNIA
Tok Kelaba
mencatat tahun meninggal dunia gurunya Tok Bendang Daya II di dalam karyanya
Hidayatus Sail fi Bayanil Masail, ``Diwafatkan dia pada Mekah al-Mukarramah
pada tahun seribu tiga ratus sepuluh dua (1312 H, pen) dari Hijrah Nabi s.a.w.
pada hari Ahad enam belas hari bulan Zulhijjah. Syahid akhirat, dengan sebab
sakit muntah jerah, kadar sehari semalam. Dikuburkan dia pada penjiratan Ma'ala
di hilir kubur Saiyidatina Khadijah al-Kubra, zaujah (isteri, pen:) Saiyidina
al-Mustafa Muhammad s.a.w., 1312 H'' (1894 M, pen). Adalah kepergian beliau ke
Mekah pada tahun yang tersebut kerana menjunjung perintah Sultan Fathani Darus
Salam untuk menghajikan beberapa orang keluarga Diraja Fathani Darus Salam.
Daripada lima orang anaknya, tiga lelaki dan dua perempuan, Tok Bendang Daya II
telah menurunkan zuriat yang ramai. Di antara mereka ramai yang menjadi ulama
besar dan tokoh masyarakat yang bertebaran di pelbagai Negara.