Salah faham yang pertama ialah
apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya
dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud
merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah
SWT. Hukum Hudud telah dinyatakan secara
jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud
untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.
Hujjah yang mengatakan bahawa
Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang
dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan
semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin,
dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh
Al-Quran dan Sunnah. Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai
saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali
nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk
mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga
seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak
lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan
tidak benar.
Sekiranya Hudud mahu dilabelkan
sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah
kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai
ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan
ekstrimis melainkan kesemua Muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam
belaka.
Salah faham seterusnya ialah
apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone)
yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan. Islam adalah sistem yang lengkap dan saling
melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak
boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu
jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i
(stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah
dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan
bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah
dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud
yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.
Contoh yang selalu dikemukakan
adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan
dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud
juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa
mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh
membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini
secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan
dizalimi. Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4
orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko
kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan
melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk
kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap
(Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak
boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.
Seseorang yang mengadu dirinya
dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat laporan polis dan melakukan
pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan
melakukan penyiasatan berdasarkan laporan dan keterangan yang diberikan.
Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku,
pegawai penyiasat akan menyerahkan laporan kepada pihak pendakwa.
Sekiranya tahap kesaksian untuk
pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi
yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di
bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah
lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan
doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis
ini (DNA test, laporan kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai
Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan
kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol
dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang
keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh
menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang
hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of
doubt). Manakala untuk kesalahan yang
boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap
kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap
penjenayah tersebut.
Mengaitkan Qazaf dengan kes
rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf
berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang
tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya,
seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan
keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh
didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga
mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari
benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4
orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat
dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah
salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa
anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah
peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf. Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah
Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya
beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.
Dalam kata lain, sekiranya
perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir,
Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah
Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana
peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.
Ibarat kata Tun Salleh Abbas,
bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa
Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang
ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah
yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di
samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan
akhlak."
Kesilapan melihat peruntukan
hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga
berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang
pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari
waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari
waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa
seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya
waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh
tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa
yang lain.
Sekiranya kita membaca
peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan
yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas
pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa
pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata
lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari
dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau
hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul
persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri
dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.
Seperkara lagi yang sering
diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman
terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah
Syariah. Kebanyakan mereka yang
menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka
yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah
Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik. Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka
yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem
perundangan Islam dapat dilaksanakan.
Umpamanya penentang Hudud
mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan
bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini
boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan,
salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri
Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah
Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut
memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak
dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam
perbicaraan itu.
Begitulah juga dengan peristiwa
yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang
mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya
menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut
bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika
diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya. Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim
telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan
dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur. Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian
bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama
serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu
kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang
tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang
munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.
Bagi mereka yang memahami
persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem
perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari
dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat. Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes
penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem
ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara'
seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.
Umpamanya, kes rogol mungkin
tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui
tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain.
Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada
seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan
kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya
lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam.
Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan
ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu
tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan
Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.
Apa yang menjadi masalah ialah
ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam
sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan
kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan
ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba
menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan
menghina hukum Islam. Wallahua'lam
Dipetik dari Portal RasmiMasjid Negara