hasbunallah

hasbunallah

Friday, December 16, 2011

Bersatu: Apakah Dasarnya?



Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran :103)

Ayat diatas adalah merupakan hujah utama bagi sesiapa sahaja yang mengajak atau menyeru kearah perpaduan. Malah, sesiapa sahaja yang ingkar daripada bersatu maka akan dikatakan ianya telah menyalahi suruhan Allah swt. Kebanyakan daripada kita hanya menekankan mengenai ayat Allah yang menyuruh kepada persatuan atau perpaduan dan jangan berpecah belah semata-mata. Mereka seperti lupa akan asas utama untuk bersatu iaitu ‘tali Allah’ yang terdapat dalam bahagian pertama firman Allah swt tersebut.

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: “Tali Allah” mempunyai enam pendapat:
1. Kitab Allah, iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas’ud, Qatadah dan al-Dhahak.
2. Jemaah. Inilah pendapat al-Sya’bi daripada Ibn Mas’ud.
3. Agama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas R.Anhuma, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
4. Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, Ata’, Qatadah dan Abu ‘Abid.
5. Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah.
6. Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.

Maka, asas sebuah penyatuan yang digariskan oleh Allah swt ialah bahawa penyatuan itu mestilah diasaskan dengan ikatan agama dan bukannya semata-mata bersatu kerana bersatu diatas sesuatu yang tidak jelas apatah lagi sekiranya terdapatnya unsur mungkar maka ia adalah terlarang.

Sayid Qutb berkata: “Di sini jelaslah bahawa persaudaraan itu adalah persaudaraan yang lahir dari takwa dan Islam yang menjadi tiang seri yang pertama, iaitu tiang seri yang berasaskan pegangan yang kukuh dengan tali Allah, iaitu dengan perjanjian-Nya, sistem-Nya dan agama-Nya dan bukannya persaudaraan yang lahir semata-mata bermasyarakat yang berlandaskan sesuatu fahaman yang lain atau kerana sesuatu matlamat yang lain atau persaudaraan yang berasaskan pegangan pada sesuatu tali yang lain dari tali-tali jahiliah yang banyak.”

Maka, apakah patut kita bersatu semata-mata kerana bangsa? Berapa banyak persatuan mahupun perkumpulan yang diasaskan kerana bangsa ataupun asas yang tidak jelas menuju kepada kehancuran. Mereka akan menjadi buta mengenai kebaikan dan keburukan atau halal atau haram apabila melibatkan perkumpulan atau persatuan mereka. Mereka sanggup melepaskan atau menolong ahli atau rakan mereka sekalipun perbuatan tersebut adalah salah dari segi hukum. Allah swt telah berfirman:-


dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. (al-Maidah : 2)

Al-Sonhadji berkata: “Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, iaitu jangan berselisih di antara kamu sesama Islam, kelak membawa ke jalan yang sebaliknya, iaitu jalan yang ditegah oleh Allah. Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing mamandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.”

Perpaduan yang dibina atas dasar selain dari agama dan peraturan yang telah ditetapkan Allah swt adalah suatu perpaduan yang rapuh serta tidak bertepatan dengan arahan Allah swt. Islam tidak pernah menghalang kita berbangga dengan bangsa dan bahasa kita, malah Rasulullah saw juga sangat menyintai bangsa dan bahasa baginda. Namun yang penting ialah bangsa dan bahasa itu ditegakkan di atas nilai Islam yang suci sebagai agama yang diturunkan oleh Allah swt dan Islam menjadi platform perjuangannya. Janganlah kita terlalu yakin bahawa perpaduan yang dibina atas dasar selain dari Islam itu mencapai matlamat kerana Allah swt telah berfirman:-


Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman)walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana. (al-Anfal : 63)

Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah, iaitu persaudaraan yang membuat segala dendam kesumat yang turun temurun dalam sejarah, segala pembalasan dendam, segala tamak haloba peribadi dan segala panji kaum itu kelihatan begitu kecil di samping persaudaraan ini dapat menyatupadukan mereka dalam satu barisan di bawah panji-panji Allah Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.

Kedua: Firman Allah s.w.t: “Jangan kamu berpecah belah”, ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:

1. Daripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Qatadah.
2. Daripada Rasulullah s.a.w.

Sayid Qutb berkata: Tiang seri yang kedua ialah tiang seri persaudaraan, iaitu persaudaraan kerana Allah, persaudaraan di atas sistem hidup Allah dan persaudaraan untuk menghakikatkan sistem hidup Allah.

Ketiga: Firman Allah s.w.t: “Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”


Al-Maraghi berkata: Terdapat dua jenis perselisihan yang berlaku antara manusia, iaitu:

1. Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia. Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad s.a.w) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian ) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu… (Terjemahan Surah Hud: 11: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama. Contohnya, dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap berbahaya.

2. Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.

Keempat: Firman Allah s.w.t: “Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Al-Syaukani berkata: “Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.”

Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah. Pada hari ini, suasana umat Islam begitu rapuh ukhuwahnya. Hal ini menyebabkan musuh dapat menguasai umat Islam dari segenap aspek, sama ada politik, kuasa, ekonomi hatta corak kehidupan yang mereka jalani terpaksa mengikut telunjuk musuh-musuh Islam.

Justeru itu, seruan semboyan agar bersatu itu perlulah didasarkan dengan perpaduan akidah yang benar dan kukuh barulah ianya benar-benar menepati kehendak syariat dan bukan hanya sekadar retorik perpaduan semata-mata sedangkan perpaduan yang dicanangkan tersebut jauh dari landasan syariat agama.

Wallahu A’lam.

No comments: