hasbunallah

hasbunallah

Thursday, December 8, 2011

Satu Masjid dan Seribu Kelab Malam


Masjid China

Hari ini, Utusan Malaysia memuatkan muka hadapan akhbar harian itu dengan tajuk “Hanya satu masjid” dengan memetik kata-kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun bahawa Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pemerintahan PAS hanya membina sebuah masjid sahaja iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali Masjid China yang menjadi kebanggaan Pas ini dibina dengan perbelanjaan kerajaan negeri sendiri, tanpa satu sen dari Kerajaan Pusat.

Bagi saya, membina masjid adalah penting tetapi mengimarahkan masjid yang telah dibina lagi penting. Apalah gunanya kalau kita asyik membina masjid baru, namun masjid yang sedia ada dibiarkan sunyi sepi tanpa para jemaah. Pembangunan jiwa juga amat penting bagi mendekatkan diri manusia kepada masjid.

Berapa banyak banyak masjid yang dibina di Negara kita ini tersergam indah dengan rekaan terbaru namun para jemaahnya hanya terdiri daripada beberapa kerat orang yang sudah pencen sahaja. Apakah yang ingin kita megahkan dengan pembinaan masjid sekiranya ianya dibina bukan atas dasar taqwa? Allah swt telah berfirman:
š  
Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang Yang membina Masjid Dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (Mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang Yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang Yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. dan (apabila tujuan mereka Yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah Dengan berkata:" tidaklah Yang Kami kehendaki (dengan mendirikan Masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". padahal Allah menyaksikan, Bahawa Sesungguhnya mereka adalah berdusta. (at-Taubah : 107)

  
 Maka Adakah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di tepi jurang Yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia Dengan Yang membangunkannya ke Dalam api neraka? dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang zalim. (at-Taubah : 109)
Apatah lagi jika pembinaan masjid itu hanyalah untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah semata-mata, maka sudah pasti pembinaan itu hanyalah sia-sia tanpa sebarang manfaat. Al-Hafiz Imam Ibn Kathir Rahimahullah menghuraikan panjang ayat diatas dalam membezakan masjid yang diasaskan atas dasar taqwa dengan masjid yang diasaskan atas dasar dhirar.

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud:

Tidak akan terjadi hari Qiamat sehinggalah umatku bermegah-megah dengan masjid.” (Riwayat Abu Daud)

Ia dihuraikan sebagaimana berikut:- Kata Nabi, hari Qiamat akan berlaku setelah umat Islam bermegah-megah dengan masjid. Inilah yang berlaku sekarang. Banyak masjid yang besar-besar, yang mahal-mahal bahan binaannya, yang siap dengan kolam dan taman, yang dalamnya dihiasi dengan perhiasan yang indah-indah dan dihebahkan pula kehebatannya di dalam media seluruh dunia tetapi kosong daripada jemaah. Manusia berbangga dengan masjid, bukan dengan banyaknya jemaah ke masjid. Pada zaman Rasulullah, masjid tidak dihiasi tetapi suasananya sangat meriah, sentiasa ada banyak orang yang beribadah di dalamnya siang dan malam.

Apalah hendak dibanggakan sekiranya kita membina masjid yang tidak diasaskan atas dasar taqwa tersebut dan pada masa yang sama beribu-ribu tempat hiburan, kelab malam dan sebagainya tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Oleh yang demikian, bagi saya telah memadai Kerajaan Negeri Kelantan membina hanya sebuah masjid dan dalam masa yang sama turut membangunkan jiwa bagi mengimarahkan masjid yang sedia ada. Bahkan cukup walaupun membina sebuah masjid dan dalam masa yang sama menutup seribu kelab malam dan hiburan.





No comments: