hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, December 7, 2011

Perebutan Hadhanah


Hadhanah disisi syara' ialah menjaga seseorang yang tidak dapat menguruskan dirinya dan mendidiknya dengan pelbagai elemen yang sesuai dengan perkembangannya. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, hadhanah berakhir sehinggalah umurnya mumayyiz. (Fiqh Manhaji).

Setiap kali berlakunya perceraian antara suami dan isteri, perebutan hak penjagaan anak atau hadhanah akan menjadi isu yang besar menyebabkan pihak-pihak akan turun naik Mahkamah bagi mempertahankan hak mereka. Masing-masing berkeras dan amat sukar untuk bertolak ansur serta mempertahankan bahawa setiap mereka adalah yang paling berhak untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut.

Pihak-pihak yang bertikaian seolah-olah lupa bahawa anak-anak yang menjadi perebutan mereka itu adalah kurniaan Allah swt daripada hasil perkahwinan mereka sendiri. Benih suami yang dipersenyawakan dalam rahim isteri selama 9 bulan 10 hari (dalam keadaan normal) kemudiannya dilahirkan ke dunia yang penuh pancaroba ini. Namun begitu, mereka seperti enggan mengakui hakikat tersebut sehingga tindakan mereka seolah-olah adalah anak milik mereka secara mutlak tanpa adanya perkongsian dengan suami atau isteri.

Kebanyakannya, apabila salah seorang daripada suami atau isteri mendapat perintah hadhanah, mereka bertindak menghalang pihak yang satu lagi untuk mendapatkan haknya seperti melawat anak-anak, membawa anak-anak keluar, memberikan kasih sayang kepada anak-anak dan sebagainya. Mereka bertindak seperti ingin memutuskan hubungan antara anak-anak tersebut dengan ibu atau bapa mereka sendiri.

Hikmah pensyariatan hadhanah ialah untuk menjaga kemashlahatan dan kebajikan anak-anak agar tidak terabai apabila berlakunya perceraian antara suami dan isteri. Ia bukanlah dilihat dari segi siapakah yang lebih berhak untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut tetapi siapakah yang mempu untuk menyedia dan menjaga kebajikan anak-anak tersebut dengan lebih sempurna anta suami dan isteri.

Pihak-pihak yang bertikai perlu mengambil kira kepentingan perkembangan anak-anak dalam mendapatkan hak hadhanah tersebut kerana anak-anak adalah amanah Allah swt untuk dijaga dan didik dengan sewajarnya. Janganlah dek kerana mempertahankan hak suami atau isteri semata-mata sehingga menafikan hak anak-anak untuk mendapatkan kasih sayang dari ibu atau bapa mereka sendiri.

Walaupun salah seorang daripada suami atau isteri yang mendapat hak hadhanah, janganlah mereka sangka bahawa mereka telah mendapat hak yang mutlak. Hadhanah ini adalah menentukan siapakah yang bertanggungjawab untuk menyusun penjagaan dan pendidikan anak-anak yang masih kecil dan bukannya hak yang boleh menghalang hak orang lain yang ada dalam hadhanah tersebut.  Janganlah kita Berjaya mendapatkan hak hadhanah tetapi kemudiannya menafikan hak orang lain untuk turut serta menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka.

Ingatlah bahawa setiap tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah swt dan akan diminta pertanggungjawaban pada setiap pengabaian dan penafikian kita terhadap hak-hak orang lain.

Wallahu A’lam    

No comments: