SETIAP
soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada
pada penjawabnya.
Kadang-kadang
ada yang mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata
rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya
boleh.
Jawapan bagi
persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum
yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan
dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang
menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka
berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan
bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
azab neraka.’” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).
Ayat ini
memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan
gaya.
Ummul
Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir
kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas
kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh
Rasulullah SAW.
Dalam satu
riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah),
pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja
beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa
parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”
Mendengar
kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di
hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau
tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.
Di sinilah
dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir
kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada
sandarannya. Sahlah
berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar.
Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya
Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis
zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan. Ditanya
al-Aâllamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab
dengan membolehkannya. Ditanya
ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa
dan boleh dilakukan.”
Semua
jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di
atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.
Adapun
tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan
mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara
seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang
mengundang kepada syahwat dan lain-lain. Itulah yang
disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan,
suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.
Adapun
tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa
kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok
kerana zikrullah). Perasaan
seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan
anugerah Allah kepada mereka. Mereka
hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda
keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.
Inilah yang
disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah”
itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).
Ketenangan
adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang
boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang
dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang
mereka perolehi hasil anugerah Allah.
Atas itulah
pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk
menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada
dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa,
“Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”
Oleh itu
berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan
pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
Dipetik dari
http://www.facebook.com/haniff.abutalib
No comments:
Post a Comment