hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, November 23, 2011

Peguam Syarie Menulis: Perbezaan hak anak luar nikah, kahwin syubhah


Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keturunan tidak layak berbin bapa boleh warisi pusaka ibu kandung

TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan bagi 2008 hingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 152,182 anak tak sah taraf dilahirkan dan 257,5411 bagi 2000 hingga 2008.

Statistik itu mengikut kes dilaporkan ke JPN dan kita percaya statistik sebenarnya lebih lagi memandangkan banyak kes kelahiran anak tak sah taraf yang tidak didaftarkan, sudah pastinya angka ini amat membimbangkan.

Anak tak sah taraf berkait secara langsung dengan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru, untuk membendung permasalahan ini berterusan maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina harus ditutup serapat-rapatnya.

Kita wajib mencari jalan bagi menutup ruang untuk perlakuan zina seperti membataskan pergaulan lelaki dan wanita, menutup tempat maksiat seperti pusat hiburan atau rumah urut.
Mengikut peruntukan undang-undang contohnya, seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mentakrifkan ‘anak tak sah taraf’ anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, anak tak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Nasab anak ini hanyalah kepada ibu dan keturunannya.

Ini bermakna anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki bergelar bapa. Nafkah saraan anak tak sah taraf di bawah tanggungan ibunya dan bukan menjadi tanggungan lelaki yang bersama ibunya.

Dari sudut perwalian pula, anak itu tidak mempunyai wali dan perlu kepada wali hakim jika hendak bernikah. Anak luar nikah tidak dinasabkan kepada mana-mana lelaki, sebaliknya dinasabkan kepada ibunya/keturunannya.

Dari sudut perwarisan pula, jika ibu kandungnya meninggal dunia, anak itu berhak mendapatkan bahagian dari pusaka ibunya.

Anak tak sah taraf berbeza dengan anak yang lahir daripada persetubuhan syubhah (wati syubhat) atau persetubuhan meragukan.

Perkahwinan syubhah bermaksud akad perkahwinan yang dianggap sah oleh pasangan kerana semua syarat perkahwinan dipenuhi tetapi pada hakikatnya akad itu tidak sah kerana sebab tertentu.

Contohnya bagi suami dan isteri, mereka beranggapan perkahwinan mereka sah kerana memenuhi rukun pernikahan iaitu dengan adanya wali, saksi, ijab kabul, pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Tetapi hakikatnya, akad itu tidak sah kerana wali tidak memenuhi syarat perwalian. Oleh demikian, jika ketika dalam proses perkahwinan tiada mana-mana pihak mengetahui status wali yang mewalikan pernikahan, maka anak itu adalah anak sah taraf.

Anak itu tetap dinasabkan iaitu dibin atau binti kepada lelaki berkenaan. Maka lelaki berkenaan ialah ayah kepada anak yang bakal dilahirkan dan berkewajipan menyediakan nafkah sewajarnya seperti mana layak diterima anak.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 114 menyatakan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya jika dilahirkan antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermula persetubuhan itu berlaku. Begitu juga hak anak berkenaan terhadap harta peninggalan bapanya.

Jika ada pihak ketika proses perkahwinan mengetahui status sebenar wali yang mewalikan pernikahan tidak menepati syarat, maka anak dari perkahwinan itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan bapa anak berkenaan.

Masyarakat diseru tidak meminggirkan atau menghina anak tidak sah taraf kerana mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Status anak tak sah taraf ini bukanlah atas kehendak anak yang tidak berdosa sebaliknya akibat kesalahan kedua-dua ibu bapanya.

Masyarakat juga harus membezakan antara anak tak sah taraf dengan anak lahir dari pernikahan yang meragukan dengan hak dan status dua keadaan anak ini berbeza mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Friday, November 18, 2011

Antara Dr. Hassan Ali & Dr. MAZA



Telah berlaku pertembungan dua pandangan diantara YB Dato Dr Hassan Ali dengan Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu pemberian  ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’.

Dr. Hassan Ali selaku exco agama Negeri Selangor semasa menjawab soalan Adun Sungai Burung, Mohd Shamsudin Lias menjelaskan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata pihaknya telah mengesan lapan cara yang dilakukan oleh pihak Kristian bagi mendakyahkan orang Islam.

Antaranya dengan menggunakan sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut  ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’. Katanya, cara lain termasuk menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau persatuan bagi tujuan memberi bantuan berbentuk kewangan terhadap mereka yang mempunyai kesempitan hidup seperti ibu tunggal, orang miskin, warga emas dan lain-lain. Selain wang tunai, tarikan lain termasuk pemberian keperluan harian, modal perniagaan dan pelbagai lagi.

Dr. Asri membidas bahawa kenyataan Dr Hassan Ali itu seolah-olah menghina umat islam kerana dianggap begitu mudah terpengaruh dengan injil tersebut. Beliau menyatakan bahawa tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian kerana mendapat alat kecil yang membaca Bible. Alangkah hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar bacaan Bible. Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh Bible mengatasi al-Quran.

Bagi saya, kenyataan Dr. Hassan Ali itu ada kebenarannya dan tulisan Dr. Asri juga ada betulnya. Saya percaya, orang islam yang kuat dan kukuh aqidahnya serta patuh pada ajaran al-quran dan sunnah tidak akan terpengaruh dengan sebarang dakyah agama lain. Namun begitu adakah kita fikir semua masyarakat Muslim di negara kita ini mempunyai simpulan iman sekuat Dr. Asri?

Contohnya, seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010. Jika kita teliti dengan sebaik mungkin, adakah Muslim yang kukuh iman dan aqidah mereka akan terjebak dengan gejala zina ini?

Berapa ramai orang Islam sendiri yang tidak suka pihak masjid atau surau memasang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara? Bahkan mereka bertindak membantah tindakan pihak masjid atau surau tersebut. Sebagai Muslim kita mesti beriktiqad bahawa al-Quran itu Kalamullah yang suci dan juga mukjizat terbesar tinggalan Rasulullah saw kepada kita. Namun begitu berapa ramai orang yang mengaku Islam tetapi kehidupan mereka jauh dari ajaran al-Quran sendiri. Kejauhan mereka dengan al-Quran itu akan membuatkan mereka lebih mudah dipengaruhi oleh dakyah-dakyah yang tidak benar kerana yang boleh membezakan kebenaran dalam Islam itu hanyalah al-Quran dan Sunnah sahaja.

Jadi sebagai exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, maka tidak salah Dr. Hassan Ali membuat kenyataan demikian bagi memberikan peringatan kepada masyarakat Islam mengenai dakyah kristian tersebut. Lagi pun tindakan tersebut juga adalah merupakan salah satu cara untuk menjaga dharuriyat khamsah yang telah digariskan dalam maqasid syariah. Malah dalam kaedah fiqh ada menggariskan satu kaedah iaitu saddu zara'i dengan cara pencegahan itu menutup jalan-jalan yang boleh menuju kepada keburukan.

Pun begitu, cadangan Dr. Maza juga perlu diambil berat dan tidak boleh dikesampingkan kerana dalam Islam setiap tegahan disediakan Allah suatu alternatif untuk kemudahan manusia. Oleh itu, pihak berkuasa agama perlu menyediakan alternatif bagi masyarakat Muslim yang memerlukan agar tidak terjebak kedalam dakyah agama lain.

Sebagaimana hujah Dr. Maza, kita tidak mahu dengan mendedahkan tindakan pihak musuh Islam sebagai salah satu cara untuk menutup kelemahan pihak kita. Malah banyak kelemahan pihak berkuasa agama perlu diperbaiki demi kepentingan Islam dizaman moden dan serba canggih ini. Contohnya berkaitan tauliah mengajar. Bagi saya majlis agama negeri tidak sepatutnya menjadikannya satu isu yang besar. Pihak majlis agama seharusnya hanya perlu memantau dari segi kandungan kuliyah yang disampaikan sama ada ia bertepatan dengan ajaran Islam atau tidak sahaja. Majlis agama perlu memastikan tiada ajaran sesat yang disampai atau diajarkan kepada masyarakat. Melarang mana-mana orang untuk menyampaikan ilmu atas dasar tidak mempunyai tauliah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Oleh yang demikian, pendapat Dr. Hassan Ali dan Dr. Maza tersebut perlu dimurnikan kerana kedua-duanya mempunyai kebenaran yang wajib direnungkan bersama. Kedua-dua pandangan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai bertentangan antara satu sama lain. Semoga kita bersama mengambil manfaat untuk diamalkan demi agama Allah swt.

Friday, November 11, 2011

Belasungkawa : Perginya Seorang Sahabat & Pejuang


Ramai  orang menetapkan 11/11/2011 untuk mengadakan upacara tertentu seperti perkahwinan, pertunangan dan sebagainya. Malah tarikh tersebut juga merupakan tarikh keputeran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan dan jajahan takluknya.

Namun begitu, tarikh tersebut juga merupakan satu belasungkawa bagi saya terutamanya, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) diatas pemergian saudara Kamarulzaman Bin Hj Abdullah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya di Paloh, Gua Musang sewaktu dalam perjalanan balik dari menyerahkan Amanat Razak kepada PM di Parlimen bagi menuntut royalti minyak untuk rakyat Kelantan. Arwah juga merupakan Pegawai Khas kepada YB. Dato Haji Husam Bin Musa, exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Saya menerima sms dari seorang sahabat pada jam 4:00 pagi mengkhabarkan berita duka itu menyebabkan saya tidak mampu untuk melelapkan mata kerana teringatkan ‘chat’ terakhir saya dengan arwah mengenai handphone beliau yang rosak dan perlu diganti baru. Perkara tersebut turut disahkan oleh otai fotografer saudara Jeming Hassan dan Topeng Perak sewaktu selesai solat jenazah arwah di Masjid Kota selepas Jumaat tadi. Ia membuatkan hati saya semakin sayu mengenangkan arwah.

Walaupun hanya perkenalan singkat dalam DPPNK, namun ia membuahkan kemesraan. Kerjasama terakhir saya dengan beliau adalah mengenai Wacana Hudud yang dianjurkan dengan kerjasama Karangkraf di Kuala Lumpur. Pelbagai ucapan takziah dihulurkan kepada keluarga arwah dan ia juga turut memenuhi wall facebook milik arwah. Sehinggakan ada diantara sahabat yang turut mengarang puisi khas diatas pemergian arwah tersebut.

Ramai sahabat seperjuangan arwah yang hadir untuk solat jenazah dan menghantar arwah ke tempat persemadian terakhir beliau di Tanah Perkuburan Tok Panjang. Sesungguhnya saya telah kehilangan seorang sahabat dan jemaah telah kehilangan seorang pejuang.

Ya Allah, Ampunilah dia (dari beberapa hal yang tidak disukai), maafkanlah dia dan tempatkanlah dia di tempat yang mulia (Syurga), luaskan kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air sejuk. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (atau isteri di Syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), isteri (atau suami) yang lebih baik daripada isterinya (atau suaminya), dan masukkan dia ke Syurga, jagalah dia dari seksa kubur dan Neraka.

Ya Allah! Ampunilah kepada orang yang hidup di antara kami dan yang mati, orang yang hadir di antara kami dan yang tidak hadir ,laki-laki mahupun perempuan. Ya Allah! Orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkan dengan memegang ajaran Islam, dan orang yang Engkau matikan di antara kami, maka matikan dengan memegang keimanan. Ya Allah! Jangan menghalangi kami untuk tidak memperoleh pahalanya dan jangan sesatkan kami sepeninggalannya.

Ya, Allah! Sesungguhnya Kamarulzaman Bin Abdullah dalam tanggunganMu dan tali perlindunganMu. Peliharalah dia dari fitnah kubur dan seksa Neraka. Engkau adalah Maha Setia dan Maha Benar. Ampunilah dan belas kasihanilah dia. Sesungguhnya Engkau, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

Ya, Allah, ini hambaMu, anak hambaMu perempuan (Hawa), memerlukan rahmatMu, sedang Engkau tidak memerlukan untuk menyeksanya, jika ia berbuat baik tambahkanlah dalam amalan baiknya, dan jika dia orang yang salah, lewatkanlah dari kesalahannya.

Setiap yang bernyawa pasti merasai peristiwa mati.. Hidup adalah pentas peristiwa yang kita lakarkan, manakala kematian adalah pelengkap potret kehidupan yang kita lakarkan. Moga potret kehidupan kita menjadi kenangan abadi yang dikenangkan dengan seindah kenangan oleh para makhluk khususnya pejuang kebenaran. Al Fatihah buat sahabatku Kamaruzzaman Abdullah; berehatlah dalam pelukan kasih sayang Tuhanmu. (memetik kata-kata Dr. Rosli Allani)

Aku pasti akan menyusulmu nanti dan moga Allah pertemukan kita ditempat yang terpuji…..

Wednesday, November 9, 2011

Peguam Syarie Menulis: Tebus talak imbangi kuasa suami, pertahan hak isteri


Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
2011/11/09

Nilaian bukan wang saja, boleh dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar

PERCERAIAN bukanlah satu perkara yang menarik untuk dibincangkan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga. Walau bagaimanapun, perceraian menjadi isu utama dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ada sebab mengapa pasangan mengambil keputusan untuk bercerai dan pembubaran perkahwinan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti jatuhnya talak dengan cara baik, melalui fasakh, taklik atau tebus talak.

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antara (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?. - Surah al-Nisa' Ayat 20-21

Malangnya, ramai tidak memahami perceraian tebus talak atau khuluk yang membabitkan permintaan isteri untuk diceraikan dengan cara menebus hak talak daripada suami dan isteri akan membayar mengikut jumlah dipersetujui. Dalam kata lain, isteri membeli talak dari suami.

Tebus talak terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bagaimanapun, tebus talak hanya boleh berlaku dengan adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh.

Dari segi amalan perundangan di Mahkamah Syariah di negara ini, kebiasaannya permohonan perceraian dilakukan pihak isteri melalui permohonan bercerai dengan cara baik contohnya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Jika suami tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya, maka tawaran tebus talak boleh dilakukan terhadap suami ataupun tawaran oleh pihak suami kepada isteri. Jika suami tidak bersetuju, kes akan dirujuk kepada jawatankuasa pendamai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Jika suami bersetuju untuk melepaskan isteri melalui tebus talak yang ditawarkan, maka perceraian akan melalui proses biasa dan direkodkan perceraian secara tebus talak mengikut Seksyen 49 (2) Enakmen Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mungkin ada yang tertanya berapakah jumlah bayaran tebus talak yang sewajarnya bagi pasangan bersetuju untuk bercerai secara tebus talak.

Merujuk Seksyen 49 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah bayaran tebus talak mengikut hukum syarak, taraf pihak-pihak serta sumber kewangan mereka setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya.

Contohnya, kes Talib lwn Sepiah, suami enggan menceraikan isteri walaupun dengan cara tebus talak. Oleh itu, mahkamah memutuskan kes itu dirujuk kepada pihak hakam malangnya selepas perbincangan serta rundingan, hakam gagal menyelesaikan kes itu.
Hanya selepas perlantikan hakam kali kedua, suami bersetuju menceraikan isteri secara tebus talak sebanyak RM100,000.

Nilaian tebus talak bukan berdasarkan kepada wang semata-mata, nilaian tebus talak boleh juga dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar (mas kahwin) sama ada banyak mahupun sedikit.

Namun, perlu ditekankan bahawa menjadi sunat kepada lelaki untuk mengambil tidak lebih daripada mahar (mas kahwin) yang diberikan kepada isteri mengikut beberapa pandangan ulama.

Tebus talak boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika isteri dalam haid, berbeza dengan talak biasa yang memerlukan isteri berada dalam keadaan suci ketika lafaz talak dilakukan.

Perceraian secara tebus talak tidak boleh dirujuk kerana dikira sebagai talak bain dan jika pasangan ini ingin bersama semula, mereka perlu akad nikah semula bagi menghilangkan kemudaratan yang berlaku pada tempoh perkahwinan itu.

Jika tebus talak dijatuhkan kepada talak raji’e yang boleh dirujuk, berkemungkinan suami boleh merujuk isteri dalam tempoh edah dengan tujuan memudaratkan isterinya.

Tebus talak yang diberikan kepada isteri adalah sebagai mengimbangi kuasa talak yang ada pada lelaki. Jika lelaki tidak menyukai isterinya maka boleh digunakan talak bagi melepaskan isterinya dan sebaliknya jika isteri tidak menyukai suaminya, maka boleh digunakan tebus talak

Oleh itu, wanita khususnya pihak isteri seharusnya mengetahui hak mereka kerana perceraian tidak bergantung kepada lafaz talak oleh suami malah Islam juga memberi ruang kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui cara lain dan salah satunya adalah melalui tebus talak.

Pihak lelaki juga seharusnya tidak bertindak zalim dengan meletakkan bayaran tinggi sebagai syarat kepada isteri melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antara (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (Surah al-Nisa’, ayat 20-21)

Wednesday, November 2, 2011

Festival Seksualiti Merdeka: Apabila Hak Mengatasi Agama


Festival Seksualiti Merdeka 2011 (Queer without fear) yang sedang berlangsung mulai semalam sehinggalah 13 Okt 2011 yang disokong oleh lebih 20 pertubuhan dan NGO telah diadakan di Kuala Lumpur.

Festival yang dianjurkan atas dasar hak asasi manusia ini memperjuangkan hak kesamarataan gender tanpa mengira sama ada lelaki, wanita, interseksual serta kecenderungan seks sesuatu kumpulan gay, lesbian, homoseks, penkid dan sebagainya. Festival yang turut dimuatkan dengan program bengkel, konferens, persembahan dan sebagainya ini bagi menuntut masyarakat agar memberikan hak yang sewajarnya kepada golongan ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu[1].

Namun demikian, penganjur dan golongan ini lupa bahawa kebanyakan agama di dunia ini melarang aktiviti seks bebas dan seks sesama jantina kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama malah ia juga turut mengundang kemudharatan yang amat besar. Walaupun hak asasi setiap manusia terutamanya di Malaysia ini dijamin oleh Perlembagaan serta deklarasi tersebut, ia tetapi perlu dilihat dalam keterbatasan agama supaya kita dapat membezakan diantara martabat kita sebagai manusia dengan martabat binatang yang tidak mengerti apa-apa.

Lagi pula hak asasi manusia ini terbahagi kepada dua iaitu hak mutlak dan hak bersyarat[2]. Bagi Muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk memperjuangankan hak asasi manusia ini dipelbagai bidang dan sektor dengan berpandungan sunnah Rasulullah saw yang membawa wahyu Allah swt[3].

Inilah yang bakal terjadi apabila manusia mula jauh dari penghayatan agama. Mereka akan hilang arah sehinggakan tindakan mereka hanyalah berpaksikan fikiran akal semata-mata berdasarkan ilmu logik. Apa sahaja yang diterima akal walaupun ianya jelas bertentangan dengan kemurnian agama, mereka akan memperjuangkannya bermati-matian.

Pandangan saya disini adalah dalam konteks sebagai seorang Muslim yang beriman dengan lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang perlu dipaterikan dalam jiwa kita yang mengaku sebagai Muslim. Jika terputus salah satu tali dari kesebelasan rukun-rukun tersebut, maka hancurlah iman kita.

Dalam memperjuangkan deklarasi hak asasi manusia, kita juga lupa bahawa Rasulullah saw sendiri telah membuat deklarasi hak asasi manusia di Padang Arafah sewaktu menyampaikan khutbah Baginda yang terakhir[4]. Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:
Allah berfirman “Wahai hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman dalam diriku, dan aku juga menjadikan kezaliman diantara kalian sesuatu yang haram (terlarang), maka janganlah kalian saling menzalimi” (HR: Muslim dan Ahmad)

Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dalam sebuah artikel beliau menyatakan bahawa Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat.

Ajaran Islam bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Allah. Semua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah atau penggunaan frasa hak asasi manusia di dalam Islam saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza.

Sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanisme, individualisme dan rationalisme seperti fahaman Barat. Dasar atau sistem hak asasi dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak dalam Islam digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan tertentu saja bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan saja kepada kehendak manusia semata-mata tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi dalam Islam tidak semata-mata hak asasi manusia tetapi sebenarnya merangkumi hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah[5].

Kebanyakan para pejuang hari ini mendasarkan perjuangan hak asasi manusia ini mengikut acuan barat semata-mata yang menyebabkan kita orang Islam yang turut serta dalam gabungan tersebut jauh tersasar dari panduan agama yang turut menggariskan hak-hak kewajipan sebagai seorang Muslim.

Oleh kerana itulah, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) telah mengemukakan Islamic Human Rights Declaration 1990 atau lebih dikenali sebagai Deklarasi Kaherah bagi mengimbangi Universal Human Rights Declarations yang dibuat oleh PBB. Ini adalah kerana, para pemimpin Negara Islam melihat banyak artikel yang terdapat dalam deklarasi PBB tersebut bertentangan dengan konsep dan ajaran agama Islam. Deklarasi Kaherah tersebut kemudiannya telah diperakui oleh PBB pada 9 Jun 1993[6].   

Saleem Azzam mengatakan bahwa Islam telah memberikan suatu peraturan ideal tentang hak-hak asasi manusia kepada umat manusia empat belas abad yang lalu. Hak-hak tersebut dimaksudkan untuk menganugerahi manusia kehormatan dan martabat serta menghapuskan pemerasan, penindasan dan ketidakadilan[7].

Pemberian kebebasan terhadap manusia bukan bereti mereka dapat menggunakan kebebasan tersebut secara mutlak, tetapi dalam kebebasan tersebut terkandung juga hak dan kepentingan orang lain yang harus dihormati. Pada dasarnya hak asasi manusia dalam Islam terkandung dalam 5 perkara pokok yang terangkum dalam ad-Dhoruriyyat al-Khamsah atau juga disebut juga al-Huquq al-Insaniyah fi al-Islam . konsep ini yang harus dijaga oleh setiap umat Islam supaya menghasilkan kehidupan yang lebih manusiawi, berdasarkan atas penghormatan individu sesama individu, individu dengan masyarakat, masyarakat dengan masyarakat, masyarakat dengan Negara dan kumpulan agama dengan kumpulan agama yang lain[8].     

Berbalik kepada Festival Seksualiti Merdeka tersebut, pihak pengajur mahukan Negara dan masyarakat memberikan pengiktirafan kepada golongan yang mempunyai keinginan seks sesama jenis dan mereka yang membuat penukaran jantina. Atas nama hak asasi manusia, mereka menghujahkan bahawa setiap individu berhak untuk memilih cara hidup tersendiri yang mereka sukai.

Dalam menuntut hak asasi sekelompok manusia atau golongan tertentu, kita juga seharusnya ingat apakah kita perlu mengabaikan hak asasi orang lain untuk hidup dan bermasyarakat tanpa adanya perasaan tidak selesa, marah dan jijik dengan perlakuan sesetengah pihak yang menuntut hak asasi mereka.

Sebagai peguam, saya juga turut kecewa dengan tindakan Majlis Peguam Malaysia yang bertindak sebagai penyokong program tersebut. Sokongan yang diberikan oleh badan yang menaungi semua peguam di Malaysia itu sedikit pun tidak melambangkan ianya turut mendapat sokongan ahli-ahlinya terutamanya peguam Muslim. Bahkan ramai peguam Muslim yang bernaung di bawah Majlis Peguam itu membantah keras tindakan tersebut. Majlis Peguam seolah-olah tidak sensitif dengan pendirian ahlinya yang beragama Islam. Saya sendiri amat terkilan dengan tindakan Majlis Peguam tersebut yang membelakangi kehendak ahlinya yang beragama Islam.   

Oleh yang demikian, walau apa pun hak asasi yang kita tuntut maka jangan kita lari landasan agama Islam yang kita imani dalam kehidupan kita kerana kesilapan kita dalam pengabaian asas tersebut turut menjejaskan keimanan kita kepada Allah swt.



[1] Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948
[2] Md. Akhir Hj Yaacob, Hak Asasi Manusia Menurut Islam (satu pendekatan perbandingan). Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur. 1985 m/s: 19.  
[3] Muhammad Zafrullah Khan, Islam And Human Rights. Islam International Publication Ltd, United Kingdom. 1999 m/s 14.
[4] Husamuddin MZ, Arafah Dan Deklarasi HAM. Dipetik dari eramuslim.ubik.net/
[5] Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Hak asasi dalam Islam tak sama fahaman Barat. Dipetik dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HakasasidalamIslamtaksamafa
[6] The Cairo Declaration On Human Rights In Islam 1990.
[7] Prakata Saleem Azzam pada “Deklarasi Islam Universal Hak Asasi Manusia”, dalam Hak Asasi Manusia Dalam Islam, ed. Harun Nasution dan Bahtiar Effendi (Jakarta: Pustaka Firdaus, 1987) p. 157
[8] Yefrizawati, Hak Asasi Manusia Dalam Perspektif Hukum Islam. e-USU Repository 2005 Universitas Sumatera Utara.